Agama ini umpama senapang...
Kenapa? Aku akan sambung puisi
ini di penghabisan artikel.
...................
Masing-masing berebut Rasulullah ï·º,
Aku bukanlah syabab yang berjubah
setiap masa,
Aku suka berpakaian kasual. Aku
akan pakai baju berkolar dan seluar jeans bila masanya sesuai. Ada kalanya pula
aku berjubah, juga bila masanya sesuai. Biarlah ada pihak yang sibuk berdebat
sama ada ianya sunnah jibiliyah (amalan sesuatu kaum) atau sunnah tasyri'iyah
(amalan yang diperintahkan). Aku memakai dengan niat untuk aku manifestasikan
cinta pada Rasulullah ï·º.
Tidak berjubah bukanlah bermakna tidak cintakan Rasulullah ï·º, jubah bukanlah tiket ke
syurga. Flexible, gaya hidup begini memberi aku peluang untuk mendapat kenalan
yang ramai, bukan hanya daripada satu golongan sahaja.
Ya,
Aku juga berkawan dengan mereka
yang rasakan diri mereka ‘jauh’ daripada menjadi orang baik-baik, mereka
rasakan diri mereka jahat dan mereka selesa begitu. Ada juga yang sengaja
menjauhkan diri dari agama. Aku tidak memberi ancaman neraka kepada mereka,
tidak juga mengeluarkan hukum haram menjauhkan diri daripada Tuhan yang
akhirnya akan menjauhkan lagi seorang hamba dengan Penciptanya. Sebaliknya, aku
bertanya akan sebab-sebabnya. Dan apabila ditanya mengapa mereka menjauhkan
diri dari agama, rata-rata mereka memberi jawapan serupa,
“Aku tak tahu ‘Islam’ jenis yang
mana yang betul untuk diikut, serabut”
Aku keliru pada awalnya, kerana
pada aku, hakikinya Islam ini hanyalah satu, mana ada lain-lain. Aku cuba buka
minda, membayangkan diri aku sendiri berada ditempat mereka. Melihat keadaan
negara majoriti islam sendiri sebagai contoh, iaitu negara kelahiran aku,
Malaysia. Aku melihat dari luar, sebagai pelajar Malaysia yang belajar di
negara jauh, di negara bukan majoriti Islam.
Dari politik, hinggalah ke pentas-pentas dakwah,
Islam ini dikoyak-koyak dan
ditampal-tampal mengikut ukuran sedap ‘baju’ masing-masing. Ada yang
mamperjuangkan bangsa, digunakan hujah Rasulullah ï·º sebagai paksi perjuangannya. Ada juga yang memperjuangkan
exclusivity Islam, juga mengheret sandaran-sandaran kepada Rasulullah ï·º sebagai penghalal usaha.
Ada juga satu golongan lagi yang membawa pendekatan Islam yang berkawan dengan
semua orang, juga menuntut menjadi pejuang politik mesra sunnah yang sebenar. Ada
juga yang laungkan takbir di akhir gejala maksiat, sebagai syarat mengislamikan
amalan. Rakyat keliru, rakyat menyampah, rakyat semakin ‘malas’ dengan Islam
yang banyak versi.
Semua pihak mula menggunakan
Rasulullah ï·º sebagai hujah mereka.
Jangan salah tafsir, aku sangat
menyokong usaha menggabungkan nilai islam dalam segala aspek kehidupan. Tetapi,
aku sangat tidak bersetuju dengan tindakan menggunakan sunnah yang telah
diputar-belit sebagai ‘perisai’ untuk segala keputusan kita. Sewajarnya sunnah
itu difahami, lalu disusuli dengan gerak-geri. Bukanlah tindakan didahulukan,
kemudiannya menampal mana-mana hujah sunnah supaya ianya kelihatan islamik.
Malangnya, perkara ini bukan
dilakukan oleh orang jahil agama, tetapi orang yang tahu selok-beloknya, iaitu
orang yang berilmu dalam agama.
Beginilah,
Sebagai student architecture, aku
bagi anologi mudah berkaitan bangunan,
Kita semua tahu, golongan yang
arif berkenaan perihal bangunanlah yang mampu membina sesebuah bangunan bukan?
Janganlah kita lupa, seseorang yang arif berkenaan bangunan jugalah yang mampu
meruntuhkan bangunan. Mereka ini tahu di mana terletaknya tiang utama yang
merupakan kekuatan bangunan tersebut dan boleh memanipulasikan reka bentuk,
atau dengan mudah mereka boleh meletupkan tiang utama untuk meruntuhkan
bangunan berkenaan.
Apakah kaitannya dengan agama?
Begini, aku wujudkan anologi
baru,
Ada dua orang pemuda, berserban,
berkopiah, bawa quran, dan masing-masing berzikir tak henti-henti. Kedua-dua
Sheikh A dan Sheikh B ini berjalan menuju ke kedai makan untuk mengisi perut.
Sampai di kedai, kedua-duanya duduk di meja makan yang sama, memesan makanan
yang serupa iaitu chicken chop. Mereka pun makan.
Selesai makan, kedua-duanya
mengucapkan alhamdulillah.
Tiba-tiba, Sheikh B bersuara.
“Mamak! Tambah lagi satu chicken
chop!”
Sheikh A sedikit terkejut dengan keputusan
Sheikh B untuk menambah makanan, kerana makanan yang dimakan tadi sudah sangat
mengenyangkan baginya. Sheikh A melihat Sheikh B menghabiskan makanan pinggan
ke-2 dengan penuh perasaan ingin tahu. Lalu Sheikh A bertanya.
“Wahai Sheikh B, bukankah
Rasulullah ï·º menggalakkan kita berhenti
makan sebelum kenyang?”
Sheikh B menjawab,
“Wahai Sheikh A, pembaziran
adalah dilarang dalam Islam, maka berilah aku habiskan makanan ini dahulu.
Lagipun, hadis yang dikemukakan olehmu tadi dhaif, sanadnya lemah”
Sambil mengangguk, Sheikh A akur
akan kata-kata Sheikh B itu kerana ia ada kebenarannya juga. Tetapi jauh disudut hatinya dia rasa ada perkara yang tak kena. Seketika kemudian,
Sheikh B pun berjaya menghabiskan makanan sambil diperhatikan Sheikh A.
Tiba-tiba, Sheikh B bersuara lagi,
“Mamak! Tambah satu lagi chicken
chop!”
Sheikh A tersentak dan sedikit marah, lalu dia
bertanya,
“Wahai Sheikh B, apakah ini?
Bukankah Islam mengajar kita bersederhana dalam semua hal? Kenapa sampai 3
pinggan ni?!”
Maka Sheikh B pun menjawab,
“Bukankah yang ganjil itu sunnah
Rasulullah? Aku terpaksa makan 3 pinggan untuk menepati sunnah..”
Pengajarannya, akan wujud manusia
di dalam dunia ini yang akan menggunakan hujah agama untuk menghalalkan
tuntutan nafsunya. Hujah mereka sahih, tetapi konteksnya batil. Dengan bantuan
Allah, agama ini akan dijulang oleh mereka yang berilmu tentang agama. Tetapi,
mereka yang berilmu agama jugalah yang berpotensi menghancur dan mengelirukan
agama mengikut kehendak mereka.
Sedihnya, aku nampak jelas ianya
berlaku dalam kalangan kita, dalam kalangan pemuda,
Aku doakan, moga aku, dan pembaca
kalian dijauhkan dari wabak ini.
Sekarang ni,
Baca betul-betul,
korang dah semakin menghampiri point utama aku.. heh heh heh..
Dilema ini berlaku terutamanya dalam
kalangan ‘budak baru nak up’ dalam agama, aku pun termasuk sama.
Kekeliruan dalam kalangan ‘pendakwah
muda’.
Bila terlampau nak dikenali
sebagai ‘Islamic icon’, seseorang ‘pendakwah’ akan mula kaitkan segala aktiviti hidupnya
dengan hujah islam. Baguslah kalau kita nak satukan islam dengan kehidupan
seharian kita. Tetapi, yang jadi masalahnya, apabila seseorang pendakwah itu
tidak mahu kelihatan ‘tidak alim’ dan mula menghalalkan semua gerak-geri naluri
manusianya. Hiburan misalnya. Tidak salah hiburan dalam islam jika ianya
bertetapan dengan syaratnya. Tetapi ada yang post gambar berkaraoke campuran
lelaki-perempuan di instagram, pastu buh caption “pertemuan bersama sahabat ini
Allah yang aturkan”. Aduhhh... Nampak tak permainan dia?
*tepuk dahi*
Ada juga yang kata main video game
bagus. Kononnya ia amalan yang menjurus ke arah qawiyyul jism dan boleh
menjulang nama islam di persada dunia.
*tepuk dahi*
Nak main game, main je lah. Hukumnya
harus kalau tidak melebih-lebih. Tapi takyah lah nak ‘islamic-kan’ sangat..
Nampak macam desperado. Nampak macam kita takut manusia tak lagi gelar kita ‘islamik’.
Haaa...
Dah mula faham apa yang aku nak
sampaikan? Alhamdulillah...
Hinggakan sampai ke tahap ada yang mengatakan tidak mengapa berdakwah dengan menggunakan wasilah menggoda. Kononnya
agar mad’u (golongan yang didakwah) tertarik dengan agama. Diputar-putarkan
tengkuk sunnah Baginda dan hujah Islam mengikut nafsu dirinya. Begitu murah agama ini jika kita
tidak faham yang dakwah itu untuk Allah. Bukan untuk menghalalkan perangai
kita, bukan juga untuk ‘nama’ dan populariti. Ini semua susulan dari fenomena
yang saya telah ceritakan dalam
artikel terdahulu.
Ekorannya, mereka yang
seakan-akan ‘jauh’ dari agama akan semakin menjauhi agama kerana wabak ini.
Mereka keliru nak ikut yang mana satu. Sebelah sini memetik surah An-Nur ayat
31 untuk mengajak golongan yang didakwahnya menundukkan pandangan. Sebelah sana
pula mengatakan kita perlu pakai makeup tebal-tebal agar dapat menarik golongan
didakwah. Contohnya poster yang saya terjumpa di twitter ini:
“Rendahnya martabat daie sampai
disamakan dengan model Victoria Secret!”-Akhi Inche Gabbana
Virus ini bukan sahaja menular
dalam kalangan para pendakwah wanita, tetapi da’ie (pendakwah) lelaki juga tidak
terkecuali.
Aku sangat bersyukur jikalau
kalian yang dahulunya mengikuti perkembangan perkara-perkara lagha, poster artis penuh di dinding, wallpaper One Direction kat phone (jangan bash.. LOL), kini
berubah kepada mengikuti perkembangan islamik dari individu-individu 'islamik' tertentu.
Tidak salah menjadikan seseorang
sebagai idola, kerana mungkin Allah berikan hidayah kepada kita melaluinya.
TETAPI,
Bukanlah fitrah agama untuk
mengikut seseorang ‘individu’ secara membuta tuli,
Terutamanya jika seseorang itu
terkenal dengan perangainya yang fasik, kita disuruh untuk mengkaji dahulu sebelum
menerimanya maklumat daripadanya,
“Wahai orang-orang yang beriman!
Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah
(untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum
dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)
- sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” –Al-Hujurat
ayat 6.
“Teme, berhati-hati dalam belajar
agama. Perhatikan sumber, perlu lihat juga penyampainya. Bimbang jikalau kita
tersesat, susah nak patah balik, kerana ia dah mempengaruhi fikrah (cara
berfikir) kita” -Guru
Aku pegang kata-kata itu sehingga
kini,
Taknak jadi seperti lembu,
Kalau kalian berterusan berdegil
nak jadi lembu, rasa selesa dicucuk hidung dan diheret ke mana-mana termasuklah
ke arah binasa, teruskanlah, aku tiada hak memaksa..
Hak me’lembu’ juga hak bersama.
Tapi aku lebih gemar menjadi
manusia yang sihat akalnya..
Tak semua perkara kita boleh
islamic-kan, kadang-kadang kita perlu rendahkan ego dan terus tinggalkan.
Aku sedar ramai yang kata aku ni pelajar
architecture, tak layak bicara soal agama..
Sedangkan pelajar ilmu dunia pun
berhak belajar agama, kami pun nak masuk syurga,
*flips beard*
Aku tidak mengeluarkan hukum, aku
lontarkan kritikan sosial kerana agama ini Tuhan aku yang punya, aku taknak dipersoalkan kelak.
Yang dah boleh mula belajar
senyap ialah mereka yang google-google sahaja sebagai pengisi masa lapang selepas
SPM, lepastu merasa dirinya bertaraf mufti dunia.
Hentikanlah diri anda sebelum
menjadi lebih bahaya.
Tolong, aku merayu,
Kepada umum, termasuk pujukan
kepada diriku sendiri,
Belajarlah basic agama, kalau tak
mampu ke madrasah pun, bukalah ceramah-ceramah di youtube, jangan nanti kita
dipersoal oleh Allah kerana cetek ilmu agama sedangkan kemudahan telah
terhidang di depan mata,
Ini bukanlah untuk kepentingan
aku, ianya untuk kepentingan kita bersama di zaman fitnah ini,
Aku tak sanggup dah tengok generasi
aku menghancurkan agama sendiri.
Hinggakan jika kalian nak join
jemaah pun, belajarlah agama dahulu kalau nak selamat, agar kalian dapat
menilai intipati islam pada jemaah seperti fitrah islam yang sebenar. Bukan
islam versi yang diajarkan oleh jemaah kalian.
Moga-moga kita semua boleh
berdikari.
Dah.. cukup..
Aku sayang kalian kerana Allah.
..........................................
Agama ini umpama senapang,
Ilmunya boleh dipelajari, dikuasai, dan dimiliki oleh
sesiapa.
Penguasaannya tidak mengenal usia,
Boleh menyelamatkan dunia dan akhirat kita,
Boleh membantu kita ‘menembak’ ancaman-ancaman yang membawa
ke neraka,
Agama ini umpama senapang,
Ilmunya boleh dipelajari, dikuasai, dan dimiliki oleh
sesiapa.
Ada kalanya ia jatuh ke tangan yang merbahaya,
Akan ditembak sesuka hati merata-rata,
Digunakan untuk kepentingan diri sendiri sesuka nafsunya,
Ia tidak lagi menjadi penyelamat, tetapi fitnah kepada
agama,
Agama ini umpama senapang,
Tidak mustahil anda juga ada,
Tetapi, jika anda sedar bahawa anda berpotensi meledakkan
pelurunya mengikut nafsu durjana,
Maka aculah senapang pada cermin, binasakan nafsu sebelum ia
berleluasa.
-Teme Abdullah, 6 Oktober 2015.