nuffnang

Teme's GANG

Merdeka bagi aku...


Jujur...

Sebelum ni, bila orang kata yang Malaysia ni hebat dan dikenali di seluruh dunia, apa yang terlintas dalam fikiran teme ialah “Alah.. Malaysia ni negara kita, mestilah kita puji negara kita sendiri..”. Kadang-kadang rasa macam Malaysia selalu di overrated oleh Malaysian sendiri. Bagi aku, Malaysia ni tak dikenali sangat pun, banyak lagi negara-negara yang hebat kat luar sana.. Malaysia ni kecik sangat.. Biasa-biasa je..

Sehinggalah aku diberi peluang untuk keluar dari Malaysia dalam satu jangka masa yang hampir setahun setakat ini. Aku menetap di rumah family British muslim bersama 2 penyewa non-muslim yang lain. Dipendekkan cerita, landlord aku kenal Tun Dr Mahathir Mohamad, dia kenal apa itu Malaysia. Malah majoriti kenalan universiti aku di sana kenal Malaysia. Bangga.. beruntung aku lahir di Malaysia..



Makanan kita, jangan cerita lah..

Makanan barat memang terkenal, kat mana-mana dalam dunia ni pun kita boleh jumpa western food. Tapi sejujurnya, tak dapat lawan keenakan dan kepelbagaian makanan di Malaysia. Kita ada makanan india, makanan cina, makanan melayu dan makanan pelbagai kaum lagi yang kita sama-sama nikmati. Kat Malaysia mungkin kita muak dengan nasi lemak, tapi rasa rindu pada nasi lemak ketika musafir jauh di negara orang memang tak dapat diggambarkan. Sampai sanggup bersusah payah meredah lautan bergelora sebab nak cari ikan bilis untuk makan nasi lemak. Walaupun pokok apple ada kat belakang rumah, tetap tak boleh tandingi durian. Kemahiran memasak student dari Malaysia pun sangat-sangat dikagumi. Kata mereka, student Malaysia pandai gunakan rempah ratus dengan bijak.. 
*eheh hidung ni, janganlah kembang-kembang..*



Lebih mengejutkan lagi,

Malaysia dikenali sebagai ‘syurga dunia bagi muslim’.. serious tak tipu..
Majoriti respond yang aku terima apabila aku perkenalkan diri dari malaysia ialah “wahhh.. tempat banyak makanan halal tu ye?”, “wahhh.. tempat yang masjid banyak tu?”, “wahhh.. tempat yang permaisurinya (Raja Permaisuri Agong) pakai hijab tu?” dan lain-lain. Boleh dikatakan semuanya tentang ketokohan Malaysia sebagai satu hub islam.

Cuba cari negara mana dalam dunia ni ada nama Allah besar-besar jelas terpampang selain Makkah? Malaysia ada, kat Terengganu. Malah nama-nama negeri dalam Malaysia sangatlah menggambarkan negara ini negara yang islamic. Darul iman, darul makmur, darul ridhuan dan bermacam-macam darul lagi lah. Pendakwah-pendakwah kontemporari serta ulama terkenal seperti Ustaz Nouman Ali Khan, Mufti Ismail Menk dan  Sheikh Hamza Yusuf pun kerap memuji Malaysia dan umat islam di negara tercinta kita ni. Beruntungnya kita... Alhamdulillah...



Okay.. cukuplah di permukaan, kita mula menyelam...
Kalian dah baca sampai sini, aku harap korang teruskan membaca lagi..
*Hirup kopi*

Insiden MH370 dan MH17,
Sedar atau tidak, dua insiden ini telah melonjakkan ‘populariti’ Malaysia di serata dunia. Kita peroleh simpati dari seluruh dunia, semua mendoakan kita. Doa kita sentiasa mengiringi mangsa-mangsa dan keluarga mereka. Ujian berat buat negara tersayang kita ni, inalillah. MAS (Malaysian Airlines) memang banyak mengharumkan nama Malaysia sejak awal penubuhannya. Layanan MAS dari urusan beli tiket hinggalah ke atas kapal terbang menjadi contoh terbaik buat negara yang terkenal dengan adab ketimuran, sopan-santun, sangat-sangat menjaga hati tetamu.. Tapi adakah setiap musibah itu Allah turunkan dengan sia-sia? Atau ada teguran halus yang Allah ingin sampaikan buat negara yang terkenal dengan imej islam ini? Allahualam.. sama-sama kita fikirkan..

Alangkah berbesar hatinya saya, dan alangkah osemnya jika MAS mampu menetapkan satu peraturan pemakaian yang menutup aurat dan berlandaskan syariat islam. Jujur dari hati seorang rakyat biasa ini, saya rasa sebak melihat pramugara/pramugari yang terpaksa menghidangkan minuman beralkohol kepada penumpang. Serious, saya sedih..

Saya tahu, ianya bukanlah satu langkah yang mudah seperti mengetuk papan kekunci untuk menulis artikel di blog. Saya juga terlalu muda untuk memikirkan hal pengurusan syarikat besar seperti MAS. Tetapi, saya yakin yang usaha pihak pengurusan MAS akan mendapat balasan kebaikan dari Allah. Bukan sahaja kita dapat tunjukkan contoh islam yang syumul kepada dunia, malah usaha ini juga akan menarik ramai pelanggan.. percayalah..



Warning.. kita akan menyelam dengan lebih dalam..
Kepada mereka yang tak sanggup teruskan pembacaan, dialu-alukan untuk berhenti..
*tarik nafas panjang*

Pabila isu babi, menjadi lebih serious dari isu ajnabi.

Terasa bangga melihat kesepaduan rakyat Malaysia menegakkan hak untuk mendapatkan bekalan makanan yang bersih dan suci. Beruntung kerana ada pihak yang lantang bersuara soal masyarakat. Tetapi, kadang-kala kita seolah-olah tersalah pilih isu. Contohnya, cuba anda semua bawak babi ke kedai makan lepastu duduk makan dan berpegangan tangan bersamanya (atas risiko sendiri, sebarang kecederaan yang bakal berlaku tiada kaitan dengan teme). Sudah tentu anda akan menarik lebih banyak perhatian dan teguran berbanding dengan mereka yang sedang seronok berasmaradana bersama pasangan haram masing-masing.. Trylah kalau tak caya.. Ini realiti.. 

Aku ingat lagi sewaktu aku berusia 5 atau 6 tahun, aku tengok tv.. aku tonton lakonan lelaki & perempuan berpegangan tangan, berpelukan dan bermesra-mesra.. lalu teme junior yang keliru itu bertanya pada ibunya "mama.. kenapa lelaki & perempuan tu pegang-pegang? bukan ke Allah marah?". Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan yang lebih dasyat, mama aku bagi jawapan selamat "mereka dah berkahwin". Kalau boleh.. kalau boleh.. aku sangat-sangat berharap yang generasi anak-anak aku, bebas dari persoalan sebegini. Aku nak mereka merdeka.. Aku nak minda mereka bebas.. Aku akan berjuang untuk itu..


"hoi teme.. kita dah merdeka lah.. ko nak merdeka apa lagi?"

Ya, kita sudah merdeka..
Kita sanjung pengorbanan pahlawan-pahlawan tanah air yang gugur dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan untuk Malaysia sehinggalah ke generasi sekarang. Moga roh-roh pemimpin, pahlawan dan pejuang kemerdekaan tanah air dicucuri rahmat dan diletakkan bersama-sama mereka yang mendapat syahid di sisi Allah. Tapi korang.. apalah erti kemerdekaan dan kesyukuran jika kita tidak meneruskan perjuangan Tok Janggut, Dato Bahaman, Mat Kilau dan sebagainya?

Mungkin tiada lagi belenggu pada fizikal kita, kita sudah merdeka dari zahirnya..
Tapi adakah fikrah(cara berfikir) kita telah dimerdekakan? Rajinkan diri keluar ke ibu negara, contohnya ke Pavillion, dan lihatlah apa yang sedang berlaku kepada generasi kita. Lihatlah aktiviti, pemakaian, hiburan dan gaya hidup generasi kita. Tiada rantai yang mengikat kita, tiada gari yang membelenggu kita.. tetapi hakikatnya hati dan minda kita sedang berperang dengan jahiliyyah.. inilah perjuangan kita..


“alah teme.. tadi duk puji-puji Malaysia.. ni tetiba bunyi macam kritik pulak ni pehal?”

Adakah kritikan itu kerana tidak sayang? Lagipun, aku bukan memberi kritikan, aku memberikan cetusan dan cadangan.. Aku sayangkan Malaysia.. Walaupun kota London jauh lebih maju dan kehadapan berbanding Malaysia yang masih muda, hati aku tetap bersama tanah air tercinta. Kerana inilah kampung aku, aku lebih suka menghabiskan sisa-sisa aku di dunia di Malaysia... Tetapi tegas aku katakan, bagi aku, merdeka itu apabila kita terlepas dari belenggu dunia dan terikat dengan tali Allah semata-mata.


Sungguh.. aku sangat berhati-hati ketika menulis artikel ini..
Sebarang salah silap harap dimaafi..
Sesungguhnya saya muda lagi, banyak lagi perlu dipelajari..
Nak publish artikel ni pun duk pikir berkali-kali..

Negara kita sentiasa menjadi perhatian dunia, ia juga sentiasa perhatian Pencipta.
Moga generasi kita dikenali sebagai generasi yang menyuburkan islam di malaysia.
Perjuangan kita masih belum selesai wahai ikhwah & akhwat sekalian..

Merdeka negara itu bermula dari merdekanya diri sendiri..


Teguran ukhti Brittney kepada Spears


cerita tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah kembali.. nama yang sama cumalah coincidence.. kot..






Brittney (bukan nama sebenar...) berjalan balik ke rumah jaddi(atuk) dengan penuh megah, tetapi tetap mengatur setiap langkah kakinya. Sopan, kekal menundukkan pandangan sepanjang perjalanan. Berjalan dengan langkah yang kecil tapi pantas dan penuh berhati-hati, laju sikit daripada penguin. Baginya, seorang ukhti yang mengikuti usrah setiap minggu seperti dirinya perlu menjaga penampilan, kerana gusar jatuh maqam dan dipandang rendah.... katanya.

Terasa bangga, amat bangga kerana dia berjaya melaksanakan tugas nahi munkar. Gembira kerana beliau telah terlepas dari tanggungjawab mencegah dosa yang dilihat di hadapan mata. Teguran yang diberikan kepada saudari Spears tadi dirasakan seperti telah menghapuskan satu beban yang berat di bahu kirinya. Tidak tergambarkan perasaan tidak sabar untuk menceritakan kejayaannya sebentar tadi kepada jaddinya.

Sudah menjadi perkara lazim untuk ukhti Brittney menghabiskan cuti semester di rumah jaddi. Terlintas juga di minda untuk ikut kawan-kawan melancong, tapi ukhti Brittney mengambil langkah selamat untuk menolak ajakan rakan-rakan kerana pelancongan tersebut tiada bertemankan mahram. Sambil menyelam minum air, selain daripada dapat menjaga jaddi di kampung, ukhti Brittney juga dapat menimba ilmu dari atuknya.





Setibanya di rumah jaddi.


“Assalamualaikum.... jaddi... Britbrit dah balik ni”


Nada suaranya kuat dan nyaring, tetapi seakan tersekat-sekat. Mungkin kerana terlampau teruja dengan perkhabaran yang akan diceritakan kepada jaddi. Terlampau ketara hingga hidungnya kejang 5 saat.


“Waalaikumussalam.. pintu tak kunci tu..”


Jaddi menjawab. Ukhti Brittney melangkah masuk perlahan sambil matanya meliar mencari jaddinya. Kelihatan jaddi sedang khusyuk di hadapan laptop di ruang tamu, fokus baca blog temerity... ehh!? Abaikan.... Abaikan......


“Jaddi.. Britbrit nak cerita sikit kat jaddi ni”

“Cerita apa? Semangat semacam je ni... jaddi pun naik mengah tengok kamu”


Jaddi mengalih pandangan daripada screen laptop ke arah cucunya itu sambil tersenyum minat. Brittney duduk di atas kerusi berhadapan dengan jaddi lalu merapatkan kerusi tersebut dengan jaddinya. Brittney menceritakan apa yang dilihat dan dilakukannya keatas saudari Spears. Dia bercerita dengan penuh semangat. Tetapi, temponya menjadi semakin perlahan selepas mengesan perubahan pada reaksi jaddinya. Muka jaddi yang riang sebentar tadi bertukar senyum kelat, senyum terpaksa. Kedut-kedut di dahi jaddi mengketarakan lagi kerut di keningnya.

Brittney berhenti bercerita buat seketika kerana ada perkara yang seakan-akan tidak kena. Dia meneruskan dengan satu pertanyaan kepada jaddinya.


“Jaddi nak cakap apa-apa ke?”

“.......”

“Jaddi?”

“Brittney! Kenapa kamu duduk atas kerusi tu!! Cushion tu baru je jaddi basuh, tak kering sepenuhnya lagi..!”

“oh yeke? Maaf.. Manalah Britbrit tahu jaddi baru basuh.. kenapa tak cakap awal-awal tadi..”


Sekarang dahi Brittney pula berkerut, kerja nak berkerut je dua beranak ni. Ukhti Brittney tersentak kerana jaddi secara tiba-tiba memarahinya. Lalu jaddi mengemukakan satu soalan.


“Kenapa kamu masam?”

“hmmm.. jaddi lah.. bukan nak beritahu Britbrit awal-awal.. ni terus marah Britbrit je..”

“haaaaa.. tahu pun..”

“tahu apa jaddi?”

“Yang kamu tiba-tiba ‘sound’ si Spears tu kenapa? Adakah dia tahu tuntutan melabuhkan tudung? Adakah dia pernah dengar akan kewajipannya sebelum ni? Kamu ada explain tak?”

“...............”


Air muka Brittney berubah, perlahan-lahan dia tertunduk. Dia tak terlintas lansung persoalan tersebut ketika menegur Spears, apa yang penting baginya ialah melepaskan tanggungjawabnya. Baru dia faham kenapa dakwah itu kerja bukan calang-calang orang, kerana ia melibatkan hati manusia. Brittney kemudian mengangkat mukanya dan meneruskan percakapan.


“Tapi jaddi.. Britbrit pantang tengok orang buat maksiat, rasa macam nak terus tegur”

“Baguslah macamtu.. tapi lagi bagus kalau kamu sabar..”

“Sabar?? Takkan Britbrit nak diam je?”

“Adakah sabar tu maksudnya diam aje?”

“......”

“Sabar ni, apabila kamu diam ketika marah dan memikirkan langkah atau kata-kata yang paling sesuai untuk nasihati orang tu tanpa buat dia sakit hati.. jangan ikutkan nafsu..”


“Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik…..” -An-Nahl: 125
  
Brittney mendiamkan diri. Bukan kerana marah, tetapi kata-kata jaddi mula masuk ke hatinya. Dia mula sedar yang hikmah itu perlu dalam berdakwah, bukan hanya ilmu. Britbrit kelihatan menyesal. Dengan riak wajah yang risau, Brittney berkata..


“Mesti Spears rasa malu time Britbrit tegur dia tadi kan jaddi?”

“Kamu tegur kat depan orang lain ke?”

“hmmmm...”


Brittney mengangguk kesal. Matanya berkaca.
Mukmin itu menasihati dan menutup(aib dan kesalahan), Orang yang jahat itu menyingkap dan mendedahkan(aib dan kesalahan)”-Fudhail Bin I’yadh, Kitab Al-Wafi syarah Matan Al-Arbain An-Nawawiyyah.


“Kamu bukanlah jahat Britbrit, masih boleh perbetulkan cara teguran tu.. kamu baru setahun jagung, banyak lagi kene belajar..”

“Terima kasih jaddi... nanti Britbrit pegi jumpa Spears, minta maaf.”

“Ingat ye cu, kita berdakwah kerana ingin mengajak orang ke arah Allah, bukan semakin menjauhkannya.. Akhlak kita perlu dijaga, kerana sebagai orang yang bercakap soal agama, akhlak kita menjadi tumpuan mata-mata. Jangan sampai akhlak buruk kita bawa fitnah pada agama..”


Brittney tidak merasa bosan dengan leteran jaddi, kerana baginya, leteran seorang yang berilmu dan lebih berpengalaman dalam hidup ibarat mutiara yang berharga. Jaddi terus mengeluarkan kata-kata nasihat.
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”-Taha : 44


“Kita perlu lembutkan cara dakwah kita, sekalipun kita berbicara dengan manusia sekejam dan sezalim firaun. Kalau tidak, apalah bezanya kita yang berilmu dengan mereka yang jahil. Ilmu mendekatkan kita dengan Tuhan. Sepatutnya, kalau seseorang itu kuat pegangan agamanya, perkara pertama yang terpancar darinya ialah akhlak yang baik.”

“Baik jaddi... akan saya ingat sampai bila-bila”
“Sesungguhnya aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka sedikitlah orang yang memberi peringatan”–Imam Hasan Al-Basri





Lalu jaddi meneruskan membaca blog temerity.. ehhhh...

................
fokus pada nasihat di sebalik cerita...



Allah tak dengar doa aku ke?



Ada cerita seorang akh ni, Ahmad (bukan nama sebenar)..

Alhamdulillah, dari kecil, dia takda masalah akademik. Dalam bahasa kasar, ‘nerd’. Bagi dia, akademik ni boleh settle sebelah mata je (ok.. ni macam melampau sikit la.. tapi korang baca je la ek?). 

Tikala rakan-rakannya yang lain mengharap pada result UPSR, dia relaks je, rasa biasa je bila keluar result. Gembira sebab dapat hadiah PS2 je. Begitu juga PMR, melihat rakan-rakan yang menangis-nangis kegembiraan dengan result yang cemerlang, dia rasa biasa.. gembira sikit je.. kerana baginya kacang je PMR ni.. teruk kan? Seperti biasa, dia lalui SPM dengan penuh bergaya. Bila Ahmad tunjukkan slip SPMnya pada orang, mereka kagum, ternganga.. Tapi Ahmad masih boleh lagi terdetik dalam hati “Sepatutnya aku boleh dapat lebih lagi kalau aku kiasu sikit dulu”.. teruk.. bersyukur, tapi tak reti nak betul-betul bersyukur...

Sampailah ke alam selepas SPM, Ahmad duduki satu peperiksaan penentuan...
*tarik nafas panjang*

Dia usaha, dia doa, dia tambah solat sunat (nak bertawasul dengan amalan lah kononnya), dia qiam mintak dipermudahkan segalanya.. Peperiksaan yang agak susah sikit berbanding SPM, baru dia tahu langit tinggi atau rendah. Apabila Ahmad meluahkan kerisauannya kepada kawan-kawan. Respon mereka semua hampir sama “alah kau Ahmad, apalah sangat susah bagi kau.. sebelum ni kau cakap susah jugak, tapi excellent je”. Allah sahaja tahu perasaan risau dan gelisah Ahmad pada ketika itu. Dia boleh lalui peperiksaan tersebut, tapi dia terlebih risau pada resultnya. Sampailah saat keluar result, alhamdulillah result biasa-biasa. Tapi resultnya kurang 1 point dari apa yang dia harapkan. Tipis.. memang tipis..

Walaupun hanya 1 point, tapi ia mengubah segalanya.. mengubah masa hadapannya.. Nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepadanya dalam akademik selama ini seakan-akan terpadam dari ingatannya. Kesusahan yang satu telah mengaburi nikmat yang beribu-ribu. Tidak dinafikan manusia itu tidak boleh lari dari perasaan kekecewaan dan kesedihan. Tapi Ahmad seolah-olah merajuk dengan Tuhan..




Cewah.. ambik kau.. mukadimah je tu..


"...Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung"-Ali Imran : 173

Hasbunallahu Wani'malwakil,
Ayat ini mungkin cliché bagi kita. Tapi, betulkah kita menyerahkan segala pertolongan dan perlindungan kepada Allah? Betulkah kita faham bahawa Allah tahu bagaimana hendak menolong kita, atau kita seolah-olah merasakan kita lebih faham apa jenis bantuan yang kita perlukan berbanding pertolongan Pencipta kita?
*teme yang tersedak dengan penulisan sendiri sebenarnya...*

Tarik nafas panjang..

Kadang-kadang kita berdoa kepada Allah supaya dibanyakkan harta untuk kita, kita nak jadi kaya. Walhal Allah itu Al-Muqitt, Maha Pemberi Kecukupan dan Keperluan untuk kita. Dia tahu, kita sebenarnya bukan mahukan kekayaan pun, kita mahukan kebahagiaan. Tapi pada hemat kita, dengan kekayaan itu kita mampu peroleh kebahagiaan, lalu kita berdoa untuk kekayaan. Kerana itulah, saudagar yang menetap di villa mewah berbantalkan sutera berisikan serbuk emas pun belum tentu tidurnya lena (bapak melampau kan?). Tetapi, petani yang tidurnya beralaskan tapak tangan di pondok usang, tidurnya lebih lena dan nyenyak daripada yang kaya. Kenapa? Kerana kebahagiaan milik Allah, Dia yang memberi, Dia yang mencabut. Bukan emas...


Osemnya Tuhan kita, bukan setakat Dia memakbulkan, malah Dia perbetulkan permintaan kita.

Situasi yang terjadi pada Ahmad, dia berdoa untuk result exam yang cemerlang seperti yang dimahukannya. Kerana mengikut kefahamannya, dengan result yang cemerlang, dia dapat membanggakan ibu bapanya, dapat bersyukur, dan dapat mengenal Allah sebagai Maha Pemberi Rezeki.
Sangkaannya meleset, kebangaan ibu bapa itu bukanlah terletak pada result exam, malah pada kemampuan seorang anak untuk menarik mereka ke syurga. Kesyukuran itu bukanlah pada kesenangan, tetapi ia datang apabila Allah mengeluarkan Ahmad dari kesenangan dan belaian dunia lalu sedar hakikat hidup yang sementara. Kehendak Ahmad pula bukanlah rezeki, tetapi keperluan kita ialah rezeki.

“...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
–Al-Baqarah : 216


Begitu juga soal jodoh,




No, serious... Ada akh yang selalu berdoa supaya dijodohkan dengan muslimah yang bertahun-tahun diidamkannya. Nak dijadikan cerita lebih lebat, akh ni dah kenal semua ahli keluarga wanita yang diidamkannya. Sampai dah hafal nasab muslimah tu sampai 7 keturunan. Lama dah dia minat kat muslimah tu dalam diam, tapi akhirnya mereka tidak dijodohkan.. Lebih lebat lagi, dia dijodohkan dengan muslimah yang dia tak pernah kenal sebelum ni, tak pernah terlintas untuk hidup dengannya. Adakah Allah itu tidak memakbulkan? Bukan, Allah itu tahu siapa yang sesuai untuk dirinya, siapa yang terbaik untuk menjaga dirinya, siapa yang terbaik untuk mendidik zuriatnya, dan siapa yang terbaik untuk bersama-sama berpimpinan ke syurga..
*muntah pink....*

Bergantunglah pada Allah..
Pengetahuan kita terhad. Kita sendiri tak kenal diri kita. Kita tak tahu apa masa hadapan kita..
Apabila kepercayaan kita kepada Allah bertambah, ia menarik kita lebih dekat dengan Allah.. Lebih jauh dari bumi dan lebih mendekati langit.. lalu kita akan melihat objek-objek di dunia ini semakin kecil, sehinggakan kita tidak kisah apa yang terjadi kepada kita asalkan tidak hilang nama Allah dari hati kita..
maka tercabutlah al-wahan dari hati, bertambahlah zuhud pada diri..
fuh... berpeluh untuk sampai stage tu..
terasa diri ini sumpah masih jauh..



Percaya pada apa sahaja yang Dia tentukan untuk kita.. Kerana kita hamba, kita tak tahu apa-apa..


Esoklah aku bertaubat...

Pernah je...
Kita tahu sesuatu perbuatan itu salah, berdosa. Tapi kita buat jugak.
Yup, kita bukan jahil, kita tahu ianya salah.. tapi kita still buat jugak..
Iya, kita bukan ‘ter’buat..  kita memang sengaja pegi buat..
kenapa?                  

Yang pertama ialah sebab situasi keadaan sekeliling yang jadikan dosa itu seakan-akan harus.
Sampaikan apabila melakukan dosa, kita rasa biasa. Teringat pulak kata-kata seorang kawan yang belajar di sebuah universiti tiptop dalam negara, ketika di zaman jahiliyahnya. Mafhum percakapannya pada ketika itu seakan-akan begini, “bukannya apa teme.. bende ni (dating) biasa kat sini.. mak ayah dia pun tahu aku date dengan anak dia..”
*tepuk dahi*

Teringat juga akan satu situasi ketika di London, dalam studio bersama studio-mates. Cerita mudahnya, kami baru selesai satu projek, maka lecturer pun belanja sebotol beer seorang untuk meraikan. Yup, lecturer belanja arak. Tiba-tiba ada sorang mamat British ni datang kat teme lalu cakap “Ahmad (bukan nama sebenar).. Kau tak minum kan? Meh kasi aku” pastu dia selamba je minum.. dan dia muslim.. 
tergamam.. speechless.. keliru..

Yang kedua ialah situasi seseorang tu dalam keadaan bersendirian.
Haaaa.. yang ni rasanya lagi bahaya, sebab takda orang nak tegur. Serious, orang yang bergaya harum dengan calitan ‘pendakwah’ pun kadang kala boleh menjerumuskan diri sendiri dalam lumpur ketika bersendirian.
Dia takut Allah, tapi bila bersendirian, dia berpotensi melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.
*pause lama sebelum terus menulis... muhasabah diri*



Bro, sis...
Bukan nama manusia kalau tak buat dosa, dan bukan nama ahli syurga kalau tak bertaubat..

Bukanlah aku kata “kau manusia! Kau patut buat dosa..”
Kang takdak lah pulak bezanya teme dengan syaitan.
Apa yang aku ingin sampaikan ialah.... “kalau kau rasa dosa kau besar, rahmat pengampunan Allah lagilah besar..”

Dari Anas bin Malik r.a, dia berkata: "Aku terdengar Rasulullah SAW bersabda, 'Allah SWT berfirman,"Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepadaKu dan berharap kepadaKu akan Aku ampunkan apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak peduli, wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta keampunan kepadaKu, akan Ku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepadaKu tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula"-Hadis Riwayat Tirmidzi


Malu dengan Allah... baik sangat..

Selalunya, bila kita lakukan dosa dengan sengaja.. ia akan disusuli dengan rasa menyesal yang amat sangat.. rasa macam nak click ‘undo’ button.. nak peluk bantal, nak nangis kerana rasa bersalah..
Kalau tak rasa macamtu, dikhuatiri hati kita telah mati. Tapi jangan risau, mati hati boleh dihidupkan, mati jasad hanya tunggu perhitungan.

Ada pula yang terasa susah sangat nak berubah, payah nak bertaubat. Mana taknya, kawan-kawan semua freehair. Maka kita pun ambil pendekatan untuk free hair jugak sebab takut jadi alien. Ntah-ntah, kawan-kawan tu pun berfikiran sama, nak tunggu kawan-kawan lain buat dulu. Beruntungnya kalau ada yang berani pakai tudung dulu, lepastu kawan-kawan yang lain ikut. Besar pahala, serious...

Pokoknya..
Bertaubat.. kerana dengan bertaubat, segunung sampah boleh bertukar menjadi emas..
Allah sayang pada hambanya yang bertaubat kerana yakin Allah itu Maha Pengampun..
Tak kiralah sebesar mana dosa hambanya itu..

  
Umat islam ini istimewa,

Kalau sesiapa antara pembaca yang pernah masuk gereja, (well.. budak architecture banyak kali lah masuk kot) korang akan perasan ada confession booth. Tujuan confession booth ni adalah untuk pendosa-pendosa mengaku dosa mereka di hadapan father (paderi) lalu memohon pengantaraan pengampunan daripada paderi.
Istimewanya umat islam, kita takda perantaraan dengan Allah.. kalau kita rasa nak bertaubat, boleh mohon pengampunan secara lansung kepada Allah. Kita tak perlu ceritakan dosa kita pada sesiapa, hanya pada Allah..

Sayangnya Allah pada kita, sampai dia masih suruh kita jaga aib kita walaupun kita berdosa.

Tapi..
Pernah juga.. kita betul-betul menyesal, betul-betul berazam taknak ulangi dosa. Tapi kita tetap tergelincir ke dalam lubang yang sama. Maka syaitan pun bisik “Kau asyik ulangi dosa sama, confirm Allah tak ampunkan”. Maka kita pun rasa macam kita dah takda harapan nak ke syurga. Hebat betul belaian syaitan.
Tanggapan ini salah, selagi kita hidup, selagi itu kita berhak menerima pengampunan dari Allah.

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.””
– Az-Zumar : 53


.........................................
Kadang-kadang kita tahu perbuatan kita salah,
Tapi keseronokan bermaksiat itu mengatasi segalanya,

Dengan bisikin syaitan
"relaks.. bila-bila pun kau boleh bertaubat, awal lagi ni.."
Hati kita pun menyangka faktor muda menjauhkan diri dengan kematian,
Sedangkan syarat kematian ialah kehidupan,
Bukan penuaan...

Mungkin kini kita tangguhkan taubat,
Tanpa sedar bahawa azam bertaubat itu juga dari Tuhan,
Tidak takutkah kita, Allah cabut perasaan keinsafan?

Alangkah ruginya hidup lama-lama.. tapi pengakhiran di neraka..
nauzubillah..

"...Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka..." -At-Taubah : 67


Jangan sampai Dia, tidak menghiraukan kita..




Pss: maaf kurang lukisan kalini... lukis guna touchpad sebab drawing tablet rosak.. doakan dia cepat sembuh..

HOT POST!!