Teme's GANG

Penungang Agama. My first, firsthand encounter.

One of the untold stories from Pelukis Jalanan. Aku tak publish cerita ni dalam buku Pelukis Jalanan kerana aku tak mahu orang mula ada tanggapan negatif pada orang agama. Tetapi, akhir-akhir ini aku terasa gesaan daripada situasi sekeliling untuk berkongsi cerita sebagai pengajaran.

Bismillah.

..........




Pada suatu hari,
Seorang Teme yang masih muda menapak keluar daripada Vauxhall Train Station menuju ke gerbang masuk Victoria Line Underground Train Station. Dia dalam perjalanan ke sebuah rumah ikhwah yang terletak di Finsbury Park, London. Rumah ikhwah ialah istilah yang diberikan kepada rumah yang dijadikan tempat berkumpul oleh budak-budak usrah. Nama lagi rumah ikhwah, majoriti penghuni tetap rumah tersebut ialah ahli usrah.

Teme melihat pada tiket day travel pass berwarna oren kuning yang dipegang sejak tadi. Dibeli di kaunter, harganya £8.90 sekeping. Kini wang tunai dalam poketnya hanya berbaki £1.90. Tiket ini boleh digunakan untuk ke mana-mana station sekitar London dalam tempoh sehari. Nilai kad ini lebih mahal daripada belanja makan Teme untuk seminggu lebih. Beras di London murah, hanya 20p untuk setiap kilogram di Pasaraya Sainsbury pada ketika itu. Untuk lauk pula, £1 untuk 12 biji telur ayam. Tetapi, apalah salahnya berkorban sikit untuk bersama halaqah.

Setibanya di Finsbury Park Station, Teme ke Masjid yang berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib. Masjid ini terletak di celah-celah bangunan, betul-betul di sebelah jambatan. Dari luarnya tidak nampak seperti sebuah masjid, pintu pagar hitam besar menutup mata-mata manusia di sekitar untuk melihat ke dalam. Di masjid ini Teme terjumpa beberapa penghuni rumah ikhwah yang ditujunya. Mereka beriktikaf di situ sehingga Isyak, kemudian barulah sama-sama berjalan ke rumah ikhwah.

“Mana Abang Mozek?” tanya Teme sebaik sahaja berdiri di hadapan pintu rumah bersama-sama beberapa orang ikhwah. Mozek tiada bersama-sama kumpulan itu, sedangkan Teme yakin yang dia ternampak kelibat Mozek berada di masjid sebentar tadi.

Abang Ash memulas tombol pintu rumah sambil menjawab, “Oh dia ada keluar ke masjid jugak tadi. Tak jumpa dia ke?”.

“Takda pulak”, respond Teme sambil manyidai baju sejuk di belakang pintu.
   
Mereka masuk ke dalam rumah. Teme melabuhkan belakangnya di sofa ruang tamu.

Sedang asyik mereka berbual, Mozek pun tiba di rumah. Dia seperti sedang mempelawa seseorang untuk masuk ke rumah bersama-samanya.

Kelihatan seorang lelaki melayu yang berumur dalam linkungan lewat 30an, bertubuh kasar, sedikit gempal, beruban hampir keseluruhan kepalanya, berkopiah, dan berjanggut melangkah masuk ke dalam ruangan rumah. Mozek mengajak lelaki tersebut untuk ke ruang tamu untuk berjumpa sahabat-sahabat yang lain.

“Korang, kenalkan, ni Ustaz Amir.”, Mozek memperkenalkan dengan muka yang ceria. Ustaz Amir melangkah masuk ke ruang tamu sambil tersenyum ke arah penghuni-penghuni rumah tersebut. Mozek menyambung percakapan, “Aku jumpa ustaz dekat masjid tadi, nampak macam ada orang Melayu tengah berbual Bahasa arab dengan pak arab kat situ, aku pun tegurlah hahahaha”.

Melalui pengenalan ringkas oleh Mozek dan penampilan jejaka tadi, terlintas dalam hati Teme, “Ohhh.. Orang agama ni. Orang baik ni”.

Mereka makan malam bersama-sama. Ustaz Amir dilayan sebagai tetamu dengan selayaknya. Biasalah, student Malaysia akan teruja jika terjumpa orang sekampung di London ni. Confirm akan dipelawa ke rumah.

Setelah selesai mengisi perut, Teme dan beberapa orang ikhwah berbual dengan Ustaz Amir. Seronok berbual dengan jejaka ini kerana daripada percakapannya sahaja kita boleh tahu yang dia punyai ilmu dalam bidang agama. mereka boleh bercerita dan bertukar-tukar maklumat mengenai perbezaan mazhab dan lain-lain.

“Ustaz buat apa di sini? Melancong ke?”, tanya Teme.

“Hahahaha.. Saya buat business. Saya daripada Dubai ni, ada meeting di sana, saja singgah di London kejap sebelum pulang ke Malaysia. Isteri saya suruh balik cepat-cepat hahaha.” Jawab Ustaz Amir sambil menghirup teh.

“Oh.. duduk kat mana di Malaysia tu ustaz?”

“Isteri pertama saya di Kelantan. Isteri kedua on the way. Hahahaha.”

“Hahahaha. Wah wah wah.. isteri pertama dah kasi green light ke ustaz?”

“Dia kata okay je. Kata dia, janji isteri kedua tu mesti lagi hebat daripada dia. Maklumlah, isteri pertama saya ni anak saudara Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, orang hebat-hebat.”

“Ohhhh..”, Teme mula terasa kekok untuk meneruskan perbualan. Baru dia sedar yang Ustaz Amir ini bukan calang-calang orangnya. Anak saudara ipar kepada Tuan Guru Nik Aziz.

Ustaz Amir hanya perhatikan reaksi Teme yang kekok. Melihatkan gaya Teme yang mulai segan untuk bercakap dengannya, Ustaz Amir sengaja meneruskan perbualan.

“Lawatan business saya ke Dubai kalini berjaya. Alhamdulillah ada banyak deal baru dengan peniaga-peniaga di Dubai hahaha”, jawab Ustaz Amir sambil ketawa bangga.

Teme kelihatan teruja. Pengalamannya yang pernah aktif dalam bidang perniagaan sebelum melanjutkan pelajaran ke UK membuatkannya tertarik untuk terus berbual.

“Alhamdulillah.. Murah rezeki ustaz….. Errr. Kalau tak keberatan, boleh saya bertanya. Business apa ye ustaz?”

Setelah mendengar pertanyaan Teme, Ustaz Amir tersenyum kecil sambil mengeluarkan 3 buah telefon pintar daripada baju coat tebalnya. Dibelek-belek salah satu telefon itu seperti sedang mencari sesuatu. Ustaz Amir mengajukan soalan kepada Teme, “Kamu kenal Datuk Dr Rozmey?”.

“Dr Rozmey yang selalu masuk TV tu? Mestilah kenalll!”, mata Teme terbuka luas.

Ustaz Amir menayangkan paparan skrin telefonnya kepada Teme, “Ini perbualan saya dengan Datuk Dr Rozmey. Dia di Makkah sekarang ni menunaikan umrah sambil doakan kejayaan business kami.”

“Ohhhh”. Itu sahaja yang mampu terkeluar daripada mulut Teme. Daripada kenyataan Ustaz Amir itu, maka fahamlah Teme bahawa salah satu perniagaan Ustaz Amir ialah perniagaan yang diusahakan bersama usahawan produk kesihatan terkenal, Dr Rozmey.

Ustaz Amir meneruskan lagi, “Sedap berniaga ni. Kita main tukar-tukar barang ke luar negara, sekejap je kaya raya. Maklumlah, Rasulullah pun galakkan umatnya untuk berniaga. Kalau boleh, saya nak tengok ramai student-student kita kaya di usia yang muda!”.

Teme mengangguk tanpa memberikan sebarang respon. Ustaz Amir memerhatikan Teme dengan hujung matanya, dahinya berkerut seperti kurang puas hati dengan reaksi Teme. Nampaknya Teme belum menangkap apa yang Ustaz Amir ingin sampaikan.

“Ehem… Uhuk.. Uhuk..”, Ustaz Amir melegakan kerongkongnya lalu menyambung, “Saya ingin mencari beberapa orang pelajar melayu Islam kita di sini untuk bersama-sama berniaga dengan saya. Saya tak mahu kaya sorang-sorang. Lebih besar pahalanya jika kekayaan itu kita kongsi-kongsikan.”

“Wah.. insyaAllah.. Saya yakin Ustaz akan jumpa student-student yang bagus untuk berniaga dengan Ustaz”, Teme pantas memberikan kata balas.

Ustaz Amir membelai janggutnya. Nampaknya agak susah untuk dia memberi hint kepada Teme kerana budak ini agak lurus. Namun sifat lurus inilah yang bagus dalam perniagaan Ustaz Amir. Sifat lurus inilah yang diburu oleh Ustaz Amir.

Lalu Ustaz Amir bertanya secara terus, “Kamu berminat nak jadi kaya dengan saya? Kamu berminat nak buat business dengan saya?”.

Teme hanya memandang Ustaz Amir dengan muka yang serious.
Ustaz Amir merenung tajam ke dalam mata Teme.
Setelah masing-masing terdiam buat beberapa ketika, Teme bersuara, “Ustaz silap pilih orang ni ustaz. Saya takda apa-apa, saya bukan orang kaya untuk keluarkan modal yang besar dalam perniagaan ustaz. Lagipun saya bukan student yang dapat scholarship macam student-student lain dalam rumah ni. Saya langsung tak banyak duit ustaz”.

Tamat penjelasan panjang oleh Teme, Ustaz Amir terus bertanya “Berapa wang simpanan yang kamu ada sekarang?”.

Dengan bermodalkan kepercayaan kepada individu islamik seperti Ustaz Amir, Teme menjawab, “Ada £1,300. Cukup-cukup untuk saya bayar sewa rumah sebulan lagi, sedikit akan saya simpan untuk bayar yuran pengajian yang tertunggak, bakinya sikit-sikit lagi saya akan buat belanja makan. Saya tak banyak duit Ustaz, ustaz cari orang lain ya?”.

“Saya hanya mahu menolong student menjadi kaya dan hidup senang. Lebih-lebih lagi student yang perlukan bantuan macam awak. Beginilah, sebelum tidur nanti awak ke bilik tetamu dan kita berbual”, kata Ustaz Amir menangguhkan perbualan.


….

Malam itu, selesai sesi usrah, Teme dan beberapa orang ikhwah yang berminat dengan tawaran kerjasama oleh Ustaz Amir duduk di dalam ruangan bilik tetamu bersama Ustaz Amir. Penerangan yang panjang lebar diberikan oleh Ustaz Amir mengenai perniagaan baharunya yang bakal menembusi pasaran Dubai. Dibentangkan juga pelannya untuk mempromosikan produk tersebut dalam akhbar dan televisyen di Dubai. Katanya dengan penuh yakin, business ini tidak akan gagal.

“Sekarang ni saya buka harga saham murah sahaja khas untuk kamu student-student melayu islam kat sini. Dan akhir tahun ni, saya berani jamin keuntungan akan berlipat kali ganda berbanding harga saham yang kamu laburkan. Lagi lambat kamu sertai, lagi mahal harga saham ni.”, Ustaz Amir mengatur strategi melalui percakapannnya.

“Berapa harga satu unit saham tu ustaz?”, tanya Syaz, salah seorang ikhwah yang berminat.

“Sekarang ni murah. £1,200 je untuk seunit. Dan kamu tak boleh tamak, maximum pun boleh beli 5 unit sahaja, saya nak tolong ramai orang, bukan kamu sahaja”, Ustaz Amir menggunakan serangan psikologi.

£1,200 jika ditukarkan kepada wang Malaysia, ia bersamaan dengan RM6,720 pada ketika itu. Dua orang ikhwah di bilik itu telah pun bersetuju dan mengeluarkan wang tunai kepada Ustaz Amir secepatnya. Ini tiada masalah bagi mereka kerana mereka merupakan student tajaan, tipulah jika tiada simpanan wang di bank kerana mereka diberi alaun sekurang-kurangnya £1045 tiap-tiap bulan untuk sara hidup. Mereka sedang bersedia untuk menandatangani kontrak perjanjian pembelian saham yang Ustaz Amir sediakan.

Lain pula situasi Teme. Dia hanya termenung kerana wangnya hanya cukup-cukup untuk hidup. Jika dia gunakan wang simpanannya sekarang, dari mana dia hendak cari dana untuk membayar sewa rumah dan lain-lain? Dia hanya mendiamkan diri dengan harapan Ustaz Amir faham yang dia tidak mampu.

“Kamu macam mana Teme? Taknak rebut peluang keemasan ni?” tanya Ustaz Amir yang sibuk menguruskan helaian-helaian kontrak perjanjian dengan 2 orang ikhwah di hadapannya.

“Tak mampu lah Ustaz. Kalau saya join, baki wang saya tinggal £100 je dalam bank. Tak cukup 1/6 pun nilai sewa bilik saya. Lain kali je lah ye ustaz?”, jawab Teme tertunduk-tunduk segan untuk mengakui dirinya tidak berduit.

“Ini pelaburan masa hadapan kamu. Keuntungannya tidak dapat kamu jangka. Sangat besar. Saya nak kongsikan keuntungan dan ilmu dengan kamu. Wangnya kamu boleh gunakan untuk teruskan pengajian kamu. Boleh guna buat macam-macam. Jangan menyesal jika tak sertai sekarang”, tawar Ustaz Amir.

“Hmm.. rasanya saya tidak mampu lah ustaz. Bagaimana kalau rugi? Tak kesampaianlah niat saya nak jadi arkitek ustaz. Hahahaha. Saya bukan daripada family berada, mak ayah saya pun belum ke tanah suci lagi”, Teme menjelaskan.

“Tidak akan rugi. Saya jamin insyaAllah. Saya nak bantu orang Melayu Islam. Dengan keuntungannya nanti, bukan sahaja tamatkan pengajian, malah kamu boleh hantar orang tua kamu ke tanah suci”, Jelas ustaz amir sambil sibuk mengira wang tunai yang diterima.

Teme terdongak mendengar kata-kata Ustaz Amir. Dia mula terfikir, ada betulnya kata-kata Ustaz Amir itu. Sebelum ini Teme yakin untuk tidak menyertai, kini Teme dalam dilema. Dia memang lemah jika sesuatu perkara itu melibatkan kebahagiaan ibu bapanya.

“Ustaz… Boleh beri saya masa sehingga lepas subuh esok?”

Ustaz Amir menyinsing lengan dan melihat kepada jam tangannya, “Hmmmm.. saya bimbang esok harga saham ni akan naik kepada £2000 seunit. Tapi takpalah, untuk kamu, saya cuba berikan harga yang sama tidak berubah”.

“Terima kasih ustaz.”, jawab Teme tersenyum. Matanya berkaca-kaca dek terharu dengan kemurahan hati Ustaz Amir.

..


Sebelum tidur, Teme termenung seorang diri. Dia fikirkan dalam-dalam akan keputusan yang bakal dibuat olehnya ini. Berpegang kepada kepercayaan terhadap nilai agama pada Ustaz Amir, dia yakin lelaki itu ingin membantunya. Mungkin Allah menghantar Ustaz Amir untuk membantunya keluar daripada kesempitan selama ini. Maka, Teme sampai kepada satu keputusan yang akan mengubah cara pemikirannya buat selama-lamanya.

Keesokan harinnya, Teme menghulurkan wang tunai £1,200 kepada Ustaz Amir. Agak aneh kerana Ustaz Amir hanya mahu menerima wang tunai. Wang dalam akaun bank Teme hampir kering, tapi takpa, dia percaya pada Ustaz Amir.

..

Dipendekkan cerita,
Minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, maka genaplah setahun. Tiada apa-apa berita berkaitan usaha perniagaan itu dilansungkan pun daripada pihak Ustaz Amir walaupun ditanya berkali-kali. Penangguhan demi penangguhan diberikan ketika para pelabur ingin bertanyakan maklumat terbaharu. Kini tiba waktu untuk pengagihan keuntungan. Cubalah kalian teka berapa keuntungan setiap seorang dapat? ZERO, KOSONG! Walaupun kini setelah bertahun-tahun, ianya tetap ZERO. Apabila mereka menuntut pemulangan modal daripada pihak Ustaz Amir, hak mereka dinafikan dan tidak dilayan langsung.

Pada ketika itu, Teme seperti semakin sedar yang dirinya sudah ditipu. Tetapi hatinya memujuk perasaan terkilan dalam dirinya. Hatinya berkata “Takkanlah seorang ustaz sanggup menggunakan agama untuk menipu pelajar yang punyai masalah kewangan macam aku”.

Ternyata dia salah. Hakikatnya mereka semua dikelentong dan dipergunakan. Dunia semakin kejam. Tidak pernah terlintas dalam hati Teme yang ada orang sanggup mempergunakan agama untuk menipu. Tetapi ini merupakan titik perubahan dalam diri Teme. Dia sedar, tidak semua orang yang mulutnya berbau agama itu hatinya harum.

Teme dan para pelabur lain sedar yang mereka ditipu bulat-bulat. Ustaz Amir telah mengambil kesempatan keatas keadaan student Malaysia di United Kingdom yang memperoleh wang alaun bulanan.

Daripada penampilan islamik, mengaku ahli keluarga Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, mengacah-acah businessman dengan keluarkan banyak telefon, mengaku sahabat rapat Datuk Dr Rozmey, tambahan dengan hadis-hadis dan ayat-ayat al-Quran yang keluar daripada mulutnya, semuanya telah dirancang dan disusun sebagai helah untuk mempergunakan agama dan menipu. Semua ini 'strategi pemasaran' yang busuk. Ustaz Amir memilih untuk menerima wang tunai daripada pelabur sebagai salah satu helah bagi mengelakkan transaksi wang tersebut mempunyai rekod bank.

Lebih menyedihkan apabila cerita yang sama didengari oleh Teme daripada seorang sahabat di Manchester. Cerita seorang ustaz Melayu daripada Dubai yang datang ke Manchester untuk merekrut student untuk menyertai ‘business’ bersamanya. Rupanya-rupanya Ustaz Amir memang mengelilingi United Kingdom untuk mencari mangsa dari kalangan student. Cuma cerita daripada Manchester bukanlah perniagaan bersama Dr Rozmey di Dubai, tetapi peniagaan air kotak daripada Malaysia yang akan dipasarkan secara meluas di United Kingdom. Adakah ustaz di Manchester itu merupakan individu yang sama iaitu Ustaz Amir? Allahualam.


…………



Aku bersyukur kerana diberi peluang first hand encounter dengan penunggang agama.
Sebelum ini kalau ada orang menunggang agama dengan berpenampilan islamik untuk meraih popularity dan keuntungan, aku buat bodoh. Kerana bagi aku, ia takda kena mengena dengan diri aku sendiri. Aku bersangka baik seboleh-bolehnya.

Agama menuntut sangkaan baik, bukan bersangka baik sampai memperbodohkan diri dan menafikan perkara yang salah.

Sebab itu lah aku sangat-sangat-sangat-sangat pantang orang menunggang agama. Sebab aku pernah dilemaskan oleh mereka ketika aku masih terkapai2 mencari udara. Aku bukan nak ajar kalian bersangka buruk. Aku bukan nak sekolahkan kalian. Tapi percayalah, ramai yang memakai jubah, memakai kopiah, dan berpenampilan islamik kerana ingin mengambil kesempatan ke atas kalian.

Aku kagum dengan penunggang agama.
Kerana inginkan keuntungan di dunia, mereka sanggup berlaku kejam dengan menipu orang lain yang tertarik akan agama. Dicabul agama itu semahunya demi mencapai cita-cita. Digunakan branding agama seboleh-bolehnya. Kerana mereka tahu, ada satu perniagaan yang tidak akan rugi sampai hari kiamat iaitu menjual agama sendiri. Mereka memperdagangkan agama dengan harga yang murah. Mereka untung, kelak di akhirat mereka rugi.

Aku bersuara kerana aku nampak corak yang sama berlaku pada hari ini. Pattern yang sebijik macam yang aku kena dahulu. Rupa-rupanya para parasit agama ini tidaklah kreatif mana. Sampai aku tertanya-tanya kenapa kita boleh berkali-kali ditipu.

Langkahnya mudah,
  1. Raih kepercayaan orang dengan imej yang islamik. Kelihatan seperti ustaz atau orang yang berpengetahuan dalam hal agama.
  2. Raih kepercayaan orang dengan cara mangaitkan individu-individu famous dengan diri anda.
  3. Jual produk. Or even worse, tipu orang lain macam ‘Ustaz’ Amir.


Akhir-akhir ni,
Kita semua dapat tengok semakin ramai orang yang menggunakan agama untuk kepentingan peribadi. Ada yang guna agama sebab nak famous semata-mata. Ada yang guna agama untuk kekayaan.

Kerana lapangan mereka kebanyakannya di social media, langkah-langkah tadi telah ditambah baik. Ini cara orang sekarang di social media,
  1. Mula-mula dia akan jaja cerita belajar agama kat tempat-tempat tertentu. Nak tambah garam sikit, dia akan petik nama ulama-ulama yang dia pernah jumpa, lepastu claim yang dia pernah berguru dengan ulama tersebut. Dia akan petik nama sheikh-sheikh tersebut untuk diletakkan dalam ‘resume’nya. Untuk apa? Untuk nampak islamik dan dipercayai di mata kalian.
  2. Nak tambah ajinomoto pulak, dia akan cakap yang dia ni hafiz al-Quran. Kalau tak hafal semua 30 juzuk, dia akan cakap dia pelajar tahfiz/madrasah/lain-lain yang seangkatan dengannya. Still, market value masih ada. Para solihin tidak akan menjaja kesolehan diri mereka. Penunggang agama pula akan mengiklankan kesolehan mereka untuk meraih pengikut.
  3. Bila dah dapat perhatian masyarakat. Dia akan mulakan strategi popularity booster. Buat perkara menjengkelkan di social media. Buatlah kenyataan bodoh, perangai yang teruk, atau apa-apa sahaja yang boleh mendatangkan kontroversi. Biarlah tergadai maruah sekalipun. Biarlah imej agama yang dia iklankan sebelum ini tercalar sekalipun. Dia tak peduli, kerana matlamat untuk publisiti murahannya telah tercapai. Matlamat mereka bukanlah perjuangan agama.
  4. Bila dah famous, senanglah dia nak iklankan produk yang dia jual. Dia akan terus buatkan orang terasa ‘pelik’ pada orang agama. Bila orang tegur kelakuan dia, dia kata itu semua mehnah dan ujian dalam berdakwah. And dia akan samakan perjuangan dia dengan perjuangan Rasulullah saw dengan mengatakan “Rasulullah dahulu pun dicaci, maka biarlah kini aku pula dicaci”. Dia akan play victim dengan kenyataan, "Takpalah korang nak hina aku, sheikh aku suruh aku bersabar".
  5. Masyarakat tak sedar yang mereka dipergunakan dengan minat mereka kepada agama. Semua basah kene kencing dengan drama-drama parasit agama di media sosial.



Yang sedihnya,
Orang yang bodoh tentang agama takkan menipu menggunakan agama. Agama ini hanya akan dieksploitasi oleh golongan yang tahu serba sedikit tentang agama. Maka muncullah valet doa, mengaji atas jet dengan kos puluhan ribu, spaghetti sunnah, dan lain-lain. Jika kalian letakkan diri kalian dari sudut pandangan orang bukan islam, kalian akan lihat betapa bodohnya agama Allah ini dek kerana para penunggang agama. Kalian akan lihat betapa mudahnya orang nak raih keuntungan dan popularity daripada agama.

Tapi apehal aku nak sibuk sangat? Lantak dia lah kan?
Korang boleh kata aku tak reti nak bersangka baik, nak cakap aku kata sembarangan pun cakaplah, nak kata aku berniat nak bash pihak tertentu pun cakaplah. Aku tak kisah langsung apa kalian nak fikir pasal aku. Nak benci aku? Silakan.
Tapi, bila korang dah kene kencing, bila korang dah kene tipu, jangan kata aku tak kasi warning.

Korang nak buat bodoh? Silakan.
Tapi aku yakin. Jauh di hati kalian, kalian rasa tak selesa agama korang dipergunakan sebegini rupa. Korang boleh berdiam, tapi aku takkan berdiam. Aku tak punyai apa-apa untuk persembahkan pada Allah nanti. Aku bukanlah hebat berbicara soal agama, ilmu akhirat aku seciput, ilmu dunia aku sedikit. Tetapi aku bersyukur, Allah kurniakan perasaan sayang terhadap agama dalam diri aku. Aku takkan berdiam diri melihat agama aku sendiri dicabul. Moga secubit usaha menegur parasit agama ini boleh aku persembahkan kepada Allah kelak.

Di zaman orang yang tak buat business boleh memberi ceramah tentang perniagaan,
Di zaman orang bukan agamawan boleh memberi ceramah tentang agama,
Di zaman orang menjual barang ciplak (haram) boleh dianggap idola,
Berjaga-jagalah kalian.


Aku mintak maaf kalau ada siapa-siapa yang terasa. This is my opinion and I strongly believe there's something wrong and not right with your modus operandi. Aku taknak semakin ramai individu yang muncul dan memperbodohkan agama.
This trend has to be stopped.


Assalamualaikum.

37 comments:

  1. Sumpah betul. Saya lama dah rasa perkara ni. Cuma tak reti nak suarakan. Saya ingat saya sorang je rasa taktik-taktik guna agama macamni salah. Thanks teme. Lama tak baca blog akhi Teme. :)

    ReplyDelete
  2. Baru hari nie jugak saya jumpe org yg menggunakan imej islamik die memperdayakan org laen utk duet. Yang membuatkan saya lagi naek hanginnn, yang nak menipu tu islam, yg nak ditipu tu orang bukan islam...Good entry utk dijadikan pengajaran..

    ReplyDelete
  3. Teme, saya sokong 100%, penunggang-penunggang2 agama telah menjadikan agama Islam ini kelihatan bodoh. Senang2 mereka cemarkan imej agama kita. Kita tak boleh berdiam diri atas nama husnuzhon. Yes, this has to be stopped.

    ReplyDelete
  4. then what happen to you after that ? how you survived there ? apa2 pun entry ni memang patut di baca oleh semua org yg ada peluang untuk kena tipu dengan penunggang agama mcm ni. hmm jahat

    ReplyDelete
  5. Betul apa yang dikata saya dan keluarga pernah alami situasi ditipu oleh penunggang agama dan seperti biasa akibat cara pemakaian dan cara hidupnya mengikut sunnah orang yang tidak berada di situasi saya dan keluarga beranggapan yg si penunggang agama nii orangnya baik dan apa yang dilakukannya betul.

    ReplyDelete
  6. Salam Teme,

    Saya pun dah pernah mengalaminya first hand... sejak tu pun saya cuba utk bersangka baik tpi tak beri kepercayaan tu 100%

    sungguh dahsyat... demi duit dan kesenangan sendiri, sanggup jual agama.. sedangkan merosakkan bangsa sendiri [ mentaliti or fizikal]...

    ReplyDelete
  7. Saya setuju.. tu belum lagi cerita ustaz yang gatal.. guru mengaji tapi cakap benda lucah.. sebab dah pernah terkena.. sungguh tak sangka..

    ReplyDelete
  8. Allahuakbar! Tak sangka ya,, sampai hati 'beliau' menipudayakan pelajar

    ReplyDelete
  9. Apa contoh lain atau taktik lain penunggang agama gunakan untuk mendapat keuntungan? Adakah seperti produk muslim?

    ReplyDelete
  10. Sedih sangat tengok keadaan islam sekarang ni. Bila ditegur mulalah kena bash sana sini padahal benda memang terang terang salah. Btw good entry:)

    ReplyDelete
  11. dunia akhir zaman...btw, mcm mana teme survive lepas tu ek??

    ReplyDelete
  12. dunia akhir zaman...btw, mcm mana teme survive lepas tu ek?

    ReplyDelete
  13. Niat tak menghalalkan cara.
    Sampai kiamat.

    ReplyDelete
  14. Keep inspiring others ! Loves to read everything written by you 😃

    ReplyDelete
  15. This is my first time here. Selama ni follow kat Twitter and Insta. And I'm grateful to be here. Rasa banyak terinspirasi untuk macam-macam life purposes. Thank you. Just read until your 2014 posts. Hehe. Semua power. Keep going Teme. And this one pasal penunggang agama ni, thank you. I had trouble digesting bila baca pasal 'ustaz' (just because he wear kopiah) yang boleh sembuhkan pesakit dengan cepat. Ramai doktor bash dia and marah sebab main-main hal sakit dan nyawa. And plus, bertopengkan agama. Macam pakej gila. Haha. And dia masih beroperasi dan ada ramai duk percaya dia mampu ubatkan sakit-sakit tu. Semoga semua semakin celik dan sedar akan benda pelik-pelik di sekeliling kita. Keep writing. Look forward to your next entry.

    ReplyDelete
  16. apa yang berlaku seterusnya. tabahnya teme:'(

    ReplyDelete
  17. Sorry nak tanya teme...lepas tinggal 100 tu camna settle kan bilik sewa and yuran pengajian..?pastu ustaz amir tu hilang tanpa jejak ke?...x leh eh kalau nak saman dia...

    ReplyDelete
  18. Ya Allah how did you survive at that time? You're strong teme 💪🏻

    ReplyDelete
  19. sama mcm apa yg berlaku kat saya dn kawan kawan saya..baru baru ni,ada seorang penceramah dtg kat sekolah.dia pakai kopiah..kagum jugak tgk mula mula.pastu,dia ckp dia kelulusan lyar negara..pastu,bila dh grad,turun je dri kapal terbang,terus dr.mahathir call dia.ajak jadi menteri apa ntah.tapi dia tanak.dia rejek.saya dh sangsi dh masa tu..tapi sye cuba sangka baik.mgkin betul dia kenalan dr.mahathir.pastu,dia cerita psl kehebatan anak anak dia.ada anak dia sorang ni,semua subjek dapat 100% mse trial spm,kecuali sejarah,99/98%(tak ingat)..masa tu saya dh pelik,takkanlah bi/bm pun dia dpt 100.mana ad cg nk bagi karangan full mark.amatlah mustahil.sbb bahasa student ni mmg belum perfect.paling bnyk pun hilang satu markah.tapi saya buat bodoh je masa.pastu dia cerita psl anak dia yg johan robotik dunia.kalahkn jepun.tahun lepas kalau tak silap.dia kata dia bangga dgn anak anak dia.tapi saya hairan,takkanlah tak viral dkt media sosial atau paling kurang pun dlm surat khabar.sebab mengalahkn jepun dlm bidang robotik ni merupakan kejayaan yg agak besar bagi rakyat msia...lepas tu,dia cakap pulak,anak anak murid dia semua berjaya.dia boleh ajar sains and maths dlm masa 3 hari je.lepas tu,CONFIRM dpt A.cet!dia ada cakap jugak,nik nur madhihah tu dulu anak murid dia.tapi,madhihah org kelantan,dia duk kl.madhihah nk pergi menuntut dgn dia mcm mana?lagipun,madhihah tak ada cakap pun psl dia berguru dgn sape sape kecuali guru guru dia.dia bnyk belajar sendiri je.kalau ad,mesti dia dh kasik tauuu!ok,nk dipendekkan cerita,dia adbagi beberapa formula dan aku kagum sbb formula dia agak bernas!(taoi sikt je..berapa kerat je dia kasik)and last,dia pun promote lah CD yg dia keluarkan yg mengandungi teknik2 belajar sains and math.dia kata,kat dlm tu ad bnyk formula yg bernas.dia ckp harga CD ni mahal.rm90+(kalau tak silap aku).tapi takpe,dia akn turunkan jadi rm50.tapi ramai tak puas hati.suruh dia turunkan lagi.pastu,dia cakap "ok,saya kasik sekolah awk rm10/15(tak igt).sekolah awak je tau.awk jgn kasik tau kat sekokah lain.nnti diorang dengki".saya pun percayalahh dsn aku rasa dia murah hati sanggup turunkn harga CD tu.pastu,dia cakap,"ok,sape nak boleh dtg depan,ad sikt je lagi ni"..then,semua berkari mcm zombie pergi kejar bende tu.and worst,saya pun termasuk sama..dan TERbelilah saya CD tu.sehabisnya ceramah dia,kawan saya pun dtg,dia ckp,"eh,dia dh dtg sini kan dua tahun lepas.aku dengar ceramah dia sebijik mcm yg dulu.formula yg dia kasik pun sama!"saya pun terkedu.eh,yeke?..kwn saya smbung,"cerita psl harga CD yang dia turunkan pun sama mcm dulu.dulu,dia cakap harga mahal gak.pastu,dia turunkn sampai rm10..ciss..aku dh tak beli dh kali ni.takde apa sgt pun CD dia tu."saya punnnnn"weeilaaaaaaaaaaa"
    marah yg teramat sgt.barulah minda saya ni berfikir balik psl semua cerita cerita dia yg bagi saya agak mengarut tu.cis!tak baik punya org.sanggup tilu budak sekolah.dahla saya ni budak asrama.rm10 tu amat bermakna tau!����

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha saya rasa org tu org yg sama dtg ke 2 buah sek saya..its same story haha..

      Delete
  20. Allah sengaja mempertemukan kita pada orang2 macam ini untuk menunjukkan pada kita bahwa penampilan dan ucapan yang islamik tak menjamin hati nya islamik.

    ReplyDelete
  21. Allahu.. banyaknye duit habis.. (garuk pale) I can feel u bruhh.. duit nak blaja + sewe bilik + makan burn cemtu je.. mau x nangis time solat.. after pelukis jalanan, I try to put myself in your shoes.. then aku ase aku xmampu maybe sbb EQ aku xsekuat Teme Abdullah.. #repectbruhh..

    Spaghetti Sunnah?? Hebat.. haha..

    ReplyDelete
  22. aku fa

    aku idak pernah percaya modal semua ni. hmm. Dak ngape teme ujian mematangkan kita.

    ReplyDelete
  23. thanks bro ( TEME ) for reminded us about this danger issue.

    ReplyDelete
  24. terima kasih untuk peringatan ni.May Allah protect all of us from doing that thing.

    ReplyDelete
  25. teme, your words are so inspiring. "everybody has scars but not all of them wear them on the outside". thank you.

    ReplyDelete
  26. Usah berhenti,
    Selagi dirimu punya cinta dihati.

    Usah rebah menyerah diri,
    Andai suatu hari kau lalui jalan berduri.

    Ingatlah,
    Dunia tak membawa sebarang erti,
    Suatu hari kita kan pasti kembali :)

    Teruskan berlari!

    Ukhaliqah99

    ReplyDelete
  27. alhamdulillah saya sebab dulu mak memang selalu pesan2 apa berkaitan macam MLM ker apa tu jangan masuk
    jadi setakat nih alhamdulillah berjaya menghindarkan lagi
    tetapi tertarik nak tahu bagaimana TEME survive dengan hanya ada 100 jer lagi dalam akaun

    ReplyDelete
  28. So sad...orang orang macam ni suka hati je nak gunakan agama demi kepentingan sendiri....memalukan agama je

    ReplyDelete
  29. Allahu.. Mcm mna teme survive lepastu ? Sanggupnya dia buat mcm tu 😭 at first sya baca dah pelik kenapa 'ustaz' tu mcm memaksa org beli padahal teme dh ckp yg duit ada ckup2 makan ja 😭

    ReplyDelete
  30. Allahuakbar! Btw nama Ustaz Amir tu nama btul dia ke? Yela, manalah tau dia tipu nama tu jugak😅

    ReplyDelete
  31. Teme bila nak update blog?

    ReplyDelete
  32. Saya tak pernah lg jumpa penunggang agama mcm ni. Tapi entry ni btul2 mmbri iktibar kpd saya agr lbih brhati2 di luar sana. Kena fikir 10 kali utk prcaya dgn org yg tak kenal/baru knl. Trima ksih teme

    ReplyDelete
  33. Saya pergi jugak, memang plan nak beratur but then pergi dengan adik sepupu yang nak beli buku for spm. . Dah janji nak teman maybe takde rezeki :)

    ReplyDelete
  34. U r very straightforward n firm in this piece of writing. Keep it up teme!

    ReplyDelete

Hai. It's me, Teme. I'm sorry if you have to go through word verification before posting comment(s). I received tonnes of spam comments lately. I had to turn the word verification on 😕. I'm sorry. Jangan jemu untuk komen tau!

HOT POST!!