Teme's GANG

Ayam Goreng

Catatan Musafir 3


Musim sejuk, November 2013.

Allah sahaja tahu betapa gembiranya aku ketika itu, keluar dari restoran fast food, dengan satu bungkus makanan dalam beg plastik di tanganku. Menahan teruja, hati berbunga-bunga.

Dah sebulan aku makan nasi berlaukkan telur dadar bersama renjisan garam penyedap rasa. Beras pula tidak boleh digunakan lebih daripada setengah pot kecil sehari, syarat yang ditetapkan olehku sendiri untuk memastikan bekalan lebih lama lagi. Sedap, terutama bila seharian tak menjamah makanan, suapan nasi kosong panas bersama telur mampu memujuk halus air mata.

Tikala duit memang kosong lansung, air gula suam menjadi pembekal tenaga, kalau masih lapar, aku tidur. Kini baru aku serba sedikit mengerti apa yang dimaksudkan dengan ‘ikat perut’ bila aku sendiri menekan bantal di perut ketika menyiapkan assignment untuk mengelakkan terasa lapar yang menganggu konsenterasi. Bersyukur kerana aku masih punyai ikhtiar.

Betul,
ramai lagi orang yang jauh lebih susah, yang terpaksa mengunyah daun dan dedahan untuk alas perut, tapi aku ceritakan kisah yang konteksnya diri aku. Dibesarkan dalam keadaan yang boleh dikatakan tidak pernah merasa kesusahan yang sebetul-betul kepayahan, sehinggalah aku mengambil keputusan untuk ke sini menyambung pelajaran. Aku tidak ceritakan pada ibubapaku, mereka dah berhempas pulas membantu. Aku tak mahu kerana aku nak mendapat segulung ijazah, habis harta untuk adik-adik aku tarah.




Bau ayam goreng dari restoran makanan segera yang aku beli tadi membuatkan aku telan air liur sendiri. 

Tak sabar untuk balik ke rumah, 
Hidangkan dengan nasi, 
Makan perlahan-lahan sambil menikmati. 

Bukan selalu aku ada peruntukan lebih untuk makanan, tak sangka dengan sebungkus hidangan pun Allah mampu selitkan setinggi-tinggi kegembiraan. Sungguh, bahagia itu bukanlah terbit dari harta berjuta, tapi dari penghargaan kepada sekecil-kecil kurniaan yang Allah beri pada kita.


..


..


Hujan mulai turun renyai-renyai, tidak selebat hujan di Malaysia,
Tapi hujan yang ringan di kota ini boleh menyeksakan kerana suhu yang rendah di kala musim sejuk.

Aku berlari-lari anak ke tempat hentian bas yang berdekatan untuk mencari teduhan.
Duduk sambil mendakap badan sendiri yang kesejukan. Mujurlah ada baju sejuk yang dihadiahkan oleh seorang senior, moga dia peroleh pahala setiap kali baju ini menyuamkan aku. Bungkusan makanan tadi aku peluk di dada, disamping dapat merasai haba dari ayam goreng yang baru dimasak segar, aku dapat elakkan ia dari terjatuh ke lantai. Terlalu risau.

Mataku teralih kepada satu sosok tubuh yang terbingkas bangun dari terbaring di lantai. Beberapa helai pakaian lusuh yang dijadikan selimut olehnya tadi bertaburan di lantai hentian bas. Jejaka itu berpaling dan mencapai-capai beberapa beg dan bungkusan di sekelilingnya lalu menarik barang-barang tersebut ke tempat teduhan, mukanya kerisauan, kelam kabut.

Aku perhatikan..

Beliau duduk semula di tempat tadi dan membalut badannya dengan beberapa pakaian lusuh miliknya yang terhampar di lantai.
Sambil berlunjur, dia mengambil satu bungkusan yang agak kuyup kebasahan. Tangannya mengigil kesejukan, perlahan-lahan membuka penutup bungkusan,
Aku cuba panjangkan leher, tertanya-tanya apakah yang ada di dalam bungkusan yang terbuka itu.

Dia melihat kaku ke dalam bungkusan selama lebih kurang 5 saat, lalu menghempaskan bungkusan itu ke tepi. Dia kelihatan hiba.

Kini bungkusan itu terbuka betul-betul dihadapanku,
Di dalamnya ada nasi kosong dan telur goreng yang sudah separuh dijamah. Terdapat air bertakung dalam hidangan itu. Barangkali air hujan telah bercampur dengan makanannya ketika dia terbaring sebentar tadi.

Aku tak sedar mataku mula berkaca-kaca, lembutnya teguran Allah pada hambanya. Sekurang-kurangnya aku ada tempat tinggal, tak seperti jejaka homeless ini.

Aku berpaling semula kepada jejaka tadi.
Mulutnya mencebik, bibirnya bergetar-getar. Barangkali menahan tangisan.
Dia terlihat aku yang sedang memandang tepat ke arahnya.
Perlahan-lahan dia menarik snow cap yang dipakainya ke bawah untuk menutup matanya. Mungkin dia segan. Namun aku sempat perasan tangisan di matanya.

Teringat akan satu kalam Pencipta,

“Kamu tidak akan sekali-kali dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
–Surah Ali Imran ayat 92

Aku menarik nafas panjang,
Bangun dari tempat duduk dan menghampiri jejaka tadi,
Aku usik bahunya tanpa berkata-kata, cuba untuk mengawal emosi,
Dia mendongak,
Aku menghulurkan bungkusan ayam goreng di tanganku,
Bau ayam itu kuat, dia tahu yang aku sedang menghulurkan makanan padanya,
Dia menerima sambil teresak-esak,

“God bless you mate.. God bless you..”

Itu yang dia katakan padaku sambil mengawal tangisan,

Aku mengangguk-angguk sambil tersenyum padanya,
Tak mampu untuk mengeluarkan kata balas, aku berpaling dan teruskan perjalanan pulang ke rumah.
Mataku berair, mungkin kerana tempias hujan.. lelaki mana boleh menangis,

Tapi satu yang aku rasakan,
Ketenangan yang teramat, rasa puas..


Percayalah,

Kebahagiaan tidak semestinya datang dengan memiliki... (sambung sendiri)




#temetemerity


17 comments:

  1. Serious talk. I hope i can be like you. May Allah granted you with His heaven. Hallelujah.

    ReplyDelete
  2. subhanallah. Moga Allah murahkan rezeki.

    ReplyDelete
  3. Takpelah Teme, rezeki Allah itu luas. Tak salah berkongsi. Makin banyak kita beri, makin banyak Allah kasi. Yang penting ikhlas. :)

    ReplyDelete
  4. igt org lain masa kau senang ko ingat senang? yang paling ramai igt org lain masa susah lagi senang..

    ReplyDelete
  5. moga Dia balas dgn kesenangan dlm menuntut ilmu :)

    ReplyDelete
  6. A simple story with a deep meaning. May Allah always bless you.

    ReplyDelete
  7. Sedihnyaa. Semoga Allah murahkan rezeki teme.

    ReplyDelete
  8. Sedihnyaa. Semoga Allah murahkan rezeki teme.

    ReplyDelete
  9. Allahuakbar . Subhanallah .

    ReplyDelete
  10. Im new here. I just discover your ig ,your blog, and your twitter. You're so inspiring. Hope to see more from you . #kipidap

    ReplyDelete
  11. Thanks for inspiring me to be a better muslim

    ReplyDelete
  12. may god bless you always teme.

    ReplyDelete
  13. Dapat membahagiakan org lain juga rezeki..=)

    ReplyDelete

Hai. It's me, Teme. I'm sorry if you have to go through word verification before posting comment(s). I received tonnes of spam comments lately. I had to turn the word verification on 😕. I'm sorry. Jangan jemu untuk komen tau!

HOT POST!!