nuffnang

Teme's GANG

Makhluk Asing

Catatan musafir 4


Musim sejuk, December 2014.

Resah hati Amed..

Perkara yang dibincangkan oleh rakan-rakannya seakan-akan hanyalah suara latar.
Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri..

Bangunan-bangunan bersejarah dan unik di sekitar kota Rome kelihatan mono, lansung tidak menarik perhatiannya pada ketika itu. Dia berjalan pantas, selari dengan pergerakan teman-teman musafirnya. Masing-masing perlu menyiapkan kajian dan tugasan yang diberikan oleh pihak university untuk field trip.
Amatlah tidak digalakkan untuk berpecah daripada kumpulan kerana keadaan yang sibuk dan jalan di kota Rome yang rumit dan berbelit-belit, besar kemungkinan untuk sesat. Tambahan pula, ianya melibatkan kerja berpasukan, jika hilang seorang ahli, maka kerja seluruh kumpulan akan mengalami kepincangan.

Hatinya merintih kerisauan..

"Macam mana aku nak solat ni.. Dah nak maghrib ni... Allah.."




Winter,

Waktu siang sangat singkat pada musim ini, malamnya pula jauh lebih panjang dari waktu siang. Memberi lebih masa untuk sang hamba mengerjakan solat malam. Tetapi, merupakan cabaran untuk melakukan solat di siang hari kerana waktu subuh, zuhur dan asar teramat singkat. Mungkin ada yang berpendapat keadaan seperti ini mudah untuk mengerjakan puasa, tapi hakikatnya hanya muslim yang hidup di sini yang tahu, lebih cabaran untuk berpuasa lebih dari menahan lapar dan dahaga. Tenaga banyak digunakan oleh badan untuk menstabilkan suhu anggota, kerap terasa lapar.

Berada dalam kalangan mereka yang belum lagi muslim kadang-kadang rumit bagi Amed. Kebiasaannya, dia akan curi-curi menunaikan solat bila rombongannya berhenti untuk makan tengah hari. Dia akan berpuasa, kerana dengan cara demikian, waktunya untuk makan itu dapat digantikan dengan pencarian tempat yang bersih, tersorok dan sesuai untuk solat.

Tetapi kali ini lain..

Mereka tiada masa untuk berhenti makan tengah hari kerana terlalu sibuk, masing-masing hanya membeli roti dan makanan ringan untuk sekadar mengalas perut. Sehinggakan hampir mustahil untuk Amed meminta kumpulan itu berhenti seketika semata-mata untuk dia menunaikan solat.

Syaitan pun mainkan peranan,

"Alah Amed.. Sekali-sekala tinggal solat apa ada hal. Allah faham yang hambaNya dalam keadaan sukar, nanti boleh bertaubat.. dah leisure nanti gantilah balik solat tu."


Hatinya berlawan,

"Takboleh! Aku muslim! Allah nampak apa yang aku buat! Takkan aku nak korbankan hak Allah untuk hak aku di dunia?!"

Rombongannya terus berjalan laju..

Ada juga terlintas untuk berpecah dari kumpulan, tapi Amed tak ingin sesat di bandar yang asing baginya. Lagipun, sukar untuk mencari warga Italy yang fasih berbahasa Inggeris.

"Kau ok ke Amed? Kau senyap je sejak 30 minit tadi.."

Joel mengemukakan soalan. Rakan sekumpulan Amed yang berasal dari Portugal ini sudah lama perhatikan riaknya yang kelihatan bingung sejak dari tadi.
Amed menoleh ke arah Joel sambil memaksa otot pipinya menarik senyuman kecil. Terkejut kerana ternampak seperti ada mata dan gigi terbang. Gigi dan bahagian putih mata Joel kelihatan makin jelas kerana waktu hampir maghrib, Joel berkulit hitam.

Aku ok.. aku ok”, balas Amed.

Seperti ada yang tak kena dengan kawannya itu,
Melalui jawapan Amed yang hanya sepatah-dua, Joel perasan yang ada sesuatu yang bermain di fikiran Amed.

“Kau pasti? Kau nak ke tandas ke? Sepatutnya kau pergi awal-awal, sekarang ni kita kene kejar masa”  
“Eh bukan.. aku dah ‘keluarkan’ habis dah pagi tadi.. hahaha”

Kemudiam Amed terdiam.
Kata-kata rakannya tadi menambahkan kerisauan, rasa serbasalah dalam hati Amed semakin mencengkam. Sedangkan nak ke tandas pun dikatakan tak sempat, inikan pula nak minta sekumpulan berhenti untuk memberi laluan kepadanya untuk solat. Mindanya serabut memikirkan.

Kumpulan seramai 23 orang ahli itu masih meneruskan perjalanan laju..

Langit yang biru kelihatan semakin keperangan, menandakan Sang  Maghrib akan mengambil tugas Sang Asar tidak lama lagi.

“macam mana ni.... macam mana ni.. macam mana ni..”

Itulah yang bermain di fikiran Amed. Mudah untuk kita mengatakan remeh, tapi hanya dia yang lalui saat yang sukar itu yang merasakan. Membesar di negara yang majoritinya Islam, seingatnya, dia tidak pernah mengalami masalah solat sebelum ini. Dia juga memikirkan tanggapan rakan-rakannya yang mungkin akan merasakan dia mementingkan diri sendiri kerana melengahkan seluruh kumpulan semata-mata untuk solat, Amed seorang sahaja muslim dalam kumpulan itu.

Amed memandang ke arah Oren, lelaki yang bertanggungjawab untuk mengetuai perjalanan kumpulan pada hari tersebut. Mereka bertukar-tukar giliran sesama ahli kumpulan untuk menjadi ketua kumpulan pada tiap-tiap hari untuk berlaku adil. 

Niat di hatinya hendak meminta Oren berhenti seketika, tetapi latar belakang Oren yang berasal dari Israel secara tidak lansung mewujudkan su’ dzhon (sangkaan buruk) dalam hati Amed.

Amed memberanikan diri,
Dia mempercepatkan langkah menuju ke arah Oren yang berada di hadapan kumpulan. Joel mengikut rapat di belakang Amed dengan penuh rasa ingin tahu.

Kini Amed berada betul-betul di sebelah Oren. Oren menoleh ke arah Amed.
Amed menoleh kembali sambil tersengih lebar.
Oren menunjukkan reaksi hampir tergelak melihat riak wajah Amed yang seringkali tersengih dengan tiba-tiba apabila berurusan dengan sesiapa sahaja.

Dengan mengangkat kening sebelah kiri, Oren bertanya..

“Ni mesti kes nak ke tandas kan?”
“Errr.. bukan..” Amed menjawab.

Joel yang mengikut di belakang Amed tadi kini berdiri di sebelah Oren sambil memasang telinga, mendengar perbualan Amed dan Oren. Oren menyambung pertanyaan..

“Habistu? Ada barang tertinggal ke?”
“Tak jugak.. Ada yang lagi mustahak dari tu..”
“Kita silap jalan ke?”
“Bukan silap jalan.. Tapi aku nak minta izin sesuatu boleh?” sengih di wajah Amed semakin lebar.
“Apa?”

Oren kelihatan curiga, begitu juga dengan Joel yang sejak dari tadi mengikuti perbualan dua orang rakannya itu.


“Boleh tak aku nak minta izin kita berhenti kejap di tepi jalan?”
“..? ..? ....untuk apa?” 
“Aku nak solat kejap.. 5 minit je”

Oren berkerut sambil menoleh tepat ke hadapan. Seperti ada sesuatu yang menghalangnya daripada mengeluarkan keputusan. Tidak perlu dijelaskan apa itu solat, kerana kebanyakan rakan-rakan Amed telah terbiasa melihat dia keluar dari dewan kuliyah untuk mengerjakan solat di university. Terutamanya Oren, seorang yahudi yang menetap di negara haram Israel, pastinya dia tahu serba sedikit tentang solat muslim.

Keadaan menjadi sepi seketika, lalu Joel pula yang mengeluarkan kata-kata. 

“Kau perlu solat sekarang ke Amed?”

Amed hanya mengangguk dengan pantas. Joel meneruskan bicaranya sambil memandang ke arah Oren yang seperti masih memikirkan sama ada mahu berhenti atau tidak.

“Kita berhenti sekejap lah ye?” cadang Joel kepada Oren.
“...” 
“...”

Keadaan kembali sepi tanpa apa-apa perkataan keluar dari mulut Oren.
Langit semakin keperangan, hampir masuk waktu haram mengerjakan solat, Amed tahu yang dia tidak boleh berlengah lagi.

Amed mengambil keputusan sendiri,
Dia pusingkan badan ke belakang, menghadap rakan-rakan sepasukan sambil berjalan mengundur, lalu dia mengeluarkan kata-kata dengan sedikit lantang untuk menarik perhatian rakan-rakan sepasukannya.

“Korang.. aku kene berhenti kejap ni.. korang teruskanlah perjalanan, aku nak solat kejap, nanti aku akan kejar korang balik.. iye?”

Mereka semua memperlahankan langkah lalu berhenti, termasuklah Oren dan Joel.

“Kita semua berhenti seketika lah ye? Kita tunggu Amed solat sekejap.. ahli kumpulan mana boleh tinggal ahli kumpulan yang lain” laung Joel sambil menoleh ke arah rakan-rakan.

Rata-rata mereka mengangguk. Amed terharu dengan tindakan Joel yang membelanya.

Amed dengan cepat menuju ke sudut jalan dan membuka aplikasi kompas dari telefon bimbitnya untuk menentukan arah kiblat. Lalu dia menghamparkan baju sejuk yang dipakai sebagai alas tempat bersujud. Wuduk memang dijaga olehnya sepanjang perjalanan, tiada masalah dari soal itu.

Dia memulakan solat.

Itulah kali pertama rakan-rakan se’studio’nya (studio= seperti kelas bagi pelajar architecture) melihatnya solat secara depan-depan. Amed sedar yang setiap mata rakan-rakannya itu memerhatikan dia solat, terasa janggal, teramat sukar untuk khusyuk. Biarlah apa pandangan orang, asalkan Allah redha dengan ibadahnya, Amed meneruskan solat.

...

...

...


Selesai memberi salam, Amed memandang ke arah Joel dan mebuat isyarat thumbs-up sebagai tanda dia telah selesai solat. Joel ketika itu sedang memegang kamera lalu berjalan menuju ke arah Amed yang masih dalam posisi duduk tasyahud.

“Selesai dah?” 
“Belum.. 2-3 jam lagi baru siap” jawab Amed dengan nada bergurau.

Joel tersengih lalu menunjukkan screen kameranya kepada Amed.

“Tengok ni.. cantik kan gambar ni?”

Joel memang berbakat dalam fotografi, Amed melihat ke dalam screen camera tersebut dengan penuh minat.
Ada gambar dirinya sedang sujud berlatarbelakangkan langit yang biru keperangan. Hanya silhouette dirinya dan beberapa bangunan kelihatan dalam gambar tersebut.

Amed tersenyum, matanya membesar tanda teruja.

“Serious cantik gambar ni Joel! Jadi fotografer lah, takpayah jadi arkitek.. hahaha”

Rakan-rakan sekumpulan tertarik dengan kata-kata Amed tersebut, lalu masing-masing berkerumun untuk melihat gambar dari dalam kamera Joel. Semunya menunjukkan respon positif.

Joel membalas kata-kata Amed...

“Bukan gambar ni yang cantik, moment dalam gambar tu yang jadikan gambar itu bermakna” 
“Betul.. dalam kesibukan dunia, ada seseorang yang meninggikan Tuhannya lebih dari segalanya..” sampuk Bianca, salah seorang daripada rakan sepasukan mereka yang berasal dari Romania.





................................................................................................

Memang sukar menjadi asing, di tempat yang asing, bersama insan-insan yang asing,

Namun percayalah,
Walaupun mujahadah mengejar redha Allah itu perit, Allah akan bantu, Allah akan suntikkan ketenangan dalam jiwa hamba,
Sebagai hint dan pembangkit semangat untuk mengejar ketenangan abadi di syurga.
Tiada satu amalan baik pun yang terlepas dari pandangan Yang Maha Bijaksana.


Ya,
Memang ada potensi untuk kita menerima cacian, perli, dan komen-komen negatif dalam usaha kita mengejar redha Allah,
Tapi.... who cares.. selagi landasan kita betul, ilmu kita sahih, kejarlah syurga dengan sungguh-sungguh walaupun letih,
Bersusah-susah di dunia, apalah sangat, tak ingat dah kesusahan di dunia bila kelak kita berjaya di syurga.

InsyaAllah,
Allah itu selalu ada,
Allah tak terlepas pandang dari kita walau satu detik,
Dan ketahuilah, bila kita perlukan Allah, Allah itu dekat..

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”-Al-Baqarah ayat 186

#catatanPelukisJalanan
#temetemerity

7 comments:

  1. Insaf sekejap.😢

    ReplyDelete
  2. Perenggan yg akhir2 tu bace rase sayu plak :'(

    ReplyDelete
  3. Nak nangis T.T

    ReplyDelete
  4. Keep it up teme.. May Allah ease your life.. Jazakallahu khairan..

    ReplyDelete

HOT POST!!