Teme's GANG

Teguran ukhti Brittney kepada Spears


cerita tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah kembali.. nama yang sama cumalah coincidence.. kot..






Brittney (bukan nama sebenar...) berjalan balik ke rumah jaddi(atuk) dengan penuh megah, tetapi tetap mengatur setiap langkah kakinya. Sopan, kekal menundukkan pandangan sepanjang perjalanan. Berjalan dengan langkah yang kecil tapi pantas dan penuh berhati-hati, laju sikit daripada penguin. Baginya, seorang ukhti yang mengikuti usrah setiap minggu seperti dirinya perlu menjaga penampilan, kerana gusar jatuh maqam dan dipandang rendah.... katanya.

Terasa bangga, amat bangga kerana dia berjaya melaksanakan tugas nahi munkar. Gembira kerana beliau telah terlepas dari tanggungjawab mencegah dosa yang dilihat di hadapan mata. Teguran yang diberikan kepada saudari Spears tadi dirasakan seperti telah menghapuskan satu beban yang berat di bahu kirinya. Tidak tergambarkan perasaan tidak sabar untuk menceritakan kejayaannya sebentar tadi kepada jaddinya.

Sudah menjadi perkara lazim untuk ukhti Brittney menghabiskan cuti semester di rumah jaddi. Terlintas juga di minda untuk ikut kawan-kawan melancong, tapi ukhti Brittney mengambil langkah selamat untuk menolak ajakan rakan-rakan kerana pelancongan tersebut tiada bertemankan mahram. Sambil menyelam minum air, selain daripada dapat menjaga jaddi di kampung, ukhti Brittney juga dapat menimba ilmu dari atuknya.





Setibanya di rumah jaddi.


“Assalamualaikum.... jaddi... Britbrit dah balik ni”


Nada suaranya kuat dan nyaring, tetapi seakan tersekat-sekat. Mungkin kerana terlampau teruja dengan perkhabaran yang akan diceritakan kepada jaddi. Terlampau ketara hingga hidungnya kejang 5 saat.


“Waalaikumussalam.. pintu tak kunci tu..”


Jaddi menjawab. Ukhti Brittney melangkah masuk perlahan sambil matanya meliar mencari jaddinya. Kelihatan jaddi sedang khusyuk di hadapan laptop di ruang tamu, fokus baca blog temerity... ehh!? Abaikan.... Abaikan......


“Jaddi.. Britbrit nak cerita sikit kat jaddi ni”

“Cerita apa? Semangat semacam je ni... jaddi pun naik mengah tengok kamu”


Jaddi mengalih pandangan daripada screen laptop ke arah cucunya itu sambil tersenyum minat. Brittney duduk di atas kerusi berhadapan dengan jaddi lalu merapatkan kerusi tersebut dengan jaddinya. Brittney menceritakan apa yang dilihat dan dilakukannya keatas saudari Spears. Dia bercerita dengan penuh semangat. Tetapi, temponya menjadi semakin perlahan selepas mengesan perubahan pada reaksi jaddinya. Muka jaddi yang riang sebentar tadi bertukar senyum kelat, senyum terpaksa. Kedut-kedut di dahi jaddi mengketarakan lagi kerut di keningnya.

Brittney berhenti bercerita buat seketika kerana ada perkara yang seakan-akan tidak kena. Dia meneruskan dengan satu pertanyaan kepada jaddinya.


“Jaddi nak cakap apa-apa ke?”

“.......”

“Jaddi?”

“Brittney! Kenapa kamu duduk atas kerusi tu!! Cushion tu baru je jaddi basuh, tak kering sepenuhnya lagi..!”

“oh yeke? Maaf.. Manalah Britbrit tahu jaddi baru basuh.. kenapa tak cakap awal-awal tadi..”


Sekarang dahi Brittney pula berkerut, kerja nak berkerut je dua beranak ni. Ukhti Brittney tersentak kerana jaddi secara tiba-tiba memarahinya. Lalu jaddi mengemukakan satu soalan.


“Kenapa kamu masam?”

“hmmm.. jaddi lah.. bukan nak beritahu Britbrit awal-awal.. ni terus marah Britbrit je..”

“haaaaa.. tahu pun..”

“tahu apa jaddi?”

“Yang kamu tiba-tiba ‘sound’ si Spears tu kenapa? Adakah dia tahu tuntutan melabuhkan tudung? Adakah dia pernah dengar akan kewajipannya sebelum ni? Kamu ada explain tak?”

“...............”


Air muka Brittney berubah, perlahan-lahan dia tertunduk. Dia tak terlintas lansung persoalan tersebut ketika menegur Spears, apa yang penting baginya ialah melepaskan tanggungjawabnya. Baru dia faham kenapa dakwah itu kerja bukan calang-calang orang, kerana ia melibatkan hati manusia. Brittney kemudian mengangkat mukanya dan meneruskan percakapan.


“Tapi jaddi.. Britbrit pantang tengok orang buat maksiat, rasa macam nak terus tegur”

“Baguslah macamtu.. tapi lagi bagus kalau kamu sabar..”

“Sabar?? Takkan Britbrit nak diam je?”

“Adakah sabar tu maksudnya diam aje?”

“......”

“Sabar ni, apabila kamu diam ketika marah dan memikirkan langkah atau kata-kata yang paling sesuai untuk nasihati orang tu tanpa buat dia sakit hati.. jangan ikutkan nafsu..”


“Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik…..” -An-Nahl: 125
  
Brittney mendiamkan diri. Bukan kerana marah, tetapi kata-kata jaddi mula masuk ke hatinya. Dia mula sedar yang hikmah itu perlu dalam berdakwah, bukan hanya ilmu. Britbrit kelihatan menyesal. Dengan riak wajah yang risau, Brittney berkata..


“Mesti Spears rasa malu time Britbrit tegur dia tadi kan jaddi?”

“Kamu tegur kat depan orang lain ke?”

“hmmmm...”


Brittney mengangguk kesal. Matanya berkaca.
Mukmin itu menasihati dan menutup(aib dan kesalahan), Orang yang jahat itu menyingkap dan mendedahkan(aib dan kesalahan)”-Fudhail Bin I’yadh, Kitab Al-Wafi syarah Matan Al-Arbain An-Nawawiyyah.


“Kamu bukanlah jahat Britbrit, masih boleh perbetulkan cara teguran tu.. kamu baru setahun jagung, banyak lagi kene belajar..”

“Terima kasih jaddi... nanti Britbrit pegi jumpa Spears, minta maaf.”

“Ingat ye cu, kita berdakwah kerana ingin mengajak orang ke arah Allah, bukan semakin menjauhkannya.. Akhlak kita perlu dijaga, kerana sebagai orang yang bercakap soal agama, akhlak kita menjadi tumpuan mata-mata. Jangan sampai akhlak buruk kita bawa fitnah pada agama..”


Brittney tidak merasa bosan dengan leteran jaddi, kerana baginya, leteran seorang yang berilmu dan lebih berpengalaman dalam hidup ibarat mutiara yang berharga. Jaddi terus mengeluarkan kata-kata nasihat.
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”-Taha : 44


“Kita perlu lembutkan cara dakwah kita, sekalipun kita berbicara dengan manusia sekejam dan sezalim firaun. Kalau tidak, apalah bezanya kita yang berilmu dengan mereka yang jahil. Ilmu mendekatkan kita dengan Tuhan. Sepatutnya, kalau seseorang itu kuat pegangan agamanya, perkara pertama yang terpancar darinya ialah akhlak yang baik.”

“Baik jaddi... akan saya ingat sampai bila-bila”
“Sesungguhnya aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka sedikitlah orang yang memberi peringatan”–Imam Hasan Al-Basri





Lalu jaddi meneruskan membaca blog temerity.. ehhhh...

................
fokus pada nasihat di sebalik cerita...



3 ulasan:

  1. Hmm. Betul. Dalam berdakwah mmg ada caranya. Allahu.. Syukran ats entry ini. In shaa Allah bermanfaat

    BalasPadam
  2. Thanks Teme for this besutiful writing

    BalasPadam

Hai. It's me, Teme. I'm sorry if you have to go through word verification before posting comment(s). I received tonnes of spam comments lately. I had to turn the word verification on 😕. I'm sorry. Jangan jemu untuk komen tau!

HOT POST!!