Teme's GANG

Perisai Agama..

Agama ini umpama senapang...

Kenapa? Aku akan sambung puisi ini di penghabisan artikel.




...................


Masing-masing berebut Rasulullah ﷺ,

Aku bukanlah syabab yang berjubah setiap masa,
Aku suka berpakaian kasual. Aku akan pakai baju berkolar dan seluar jeans bila masanya sesuai. Ada kalanya pula aku berjubah, juga bila masanya sesuai. Biarlah ada pihak yang sibuk berdebat sama ada ianya sunnah jibiliyah (amalan sesuatu kaum) atau sunnah tasyri'iyah (amalan yang diperintahkan). Aku memakai dengan niat untuk aku manifestasikan cinta pada Rasulullah . Tidak berjubah bukanlah bermakna tidak cintakan Rasulullah , jubah bukanlah tiket ke syurga. Flexible, gaya hidup begini memberi aku peluang untuk mendapat kenalan yang ramai, bukan hanya daripada satu golongan sahaja.

Ya,
Aku juga berkawan dengan mereka yang rasakan diri mereka ‘jauh’ daripada menjadi orang baik-baik, mereka rasakan diri mereka jahat dan mereka selesa begitu. Ada juga yang sengaja menjauhkan diri dari agama. Aku tidak memberi ancaman neraka kepada mereka, tidak juga mengeluarkan hukum haram menjauhkan diri daripada Tuhan yang akhirnya akan menjauhkan lagi seorang hamba dengan Penciptanya. Sebaliknya, aku bertanya akan sebab-sebabnya. Dan apabila ditanya mengapa mereka menjauhkan diri dari agama, rata-rata mereka memberi jawapan serupa,

“Aku tak tahu ‘Islam’ jenis yang mana yang betul untuk diikut, serabut”

Aku keliru pada awalnya, kerana pada aku, hakikinya Islam ini hanyalah satu, mana ada lain-lain. Aku cuba buka minda, membayangkan diri aku sendiri berada ditempat mereka. Melihat keadaan negara majoriti islam sendiri sebagai contoh, iaitu negara kelahiran aku, Malaysia. Aku melihat dari luar, sebagai pelajar Malaysia yang belajar di negara jauh, di negara bukan majoriti Islam.

Dari politik, hinggalah ke pentas-pentas dakwah,
Islam ini dikoyak-koyak dan ditampal-tampal mengikut ukuran sedap ‘baju’ masing-masing. Ada yang mamperjuangkan bangsa, digunakan hujah Rasulullah sebagai paksi perjuangannya. Ada juga yang memperjuangkan exclusivity Islam, juga mengheret sandaran-sandaran kepada Rasulullah sebagai penghalal usaha. Ada juga satu golongan lagi yang membawa pendekatan Islam yang berkawan dengan semua orang, juga menuntut menjadi pejuang politik mesra sunnah yang sebenar. Ada juga yang laungkan takbir di akhir gejala maksiat, sebagai syarat mengislamikan amalan. Rakyat keliru, rakyat menyampah, rakyat semakin ‘malas’ dengan Islam yang banyak versi.

Semua pihak mula menggunakan Rasulullah sebagai hujah mereka.
Jangan salah tafsir, aku sangat menyokong usaha menggabungkan nilai islam dalam segala aspek kehidupan. Tetapi, aku sangat tidak bersetuju dengan tindakan menggunakan sunnah yang telah diputar-belit sebagai ‘perisai’ untuk segala keputusan kita. Sewajarnya sunnah itu difahami, lalu disusuli dengan gerak-geri. Bukanlah tindakan didahulukan, kemudiannya menampal mana-mana hujah sunnah supaya ianya kelihatan islamik.

Malangnya, perkara ini bukan dilakukan oleh orang jahil agama, tetapi orang yang tahu selok-beloknya, iaitu orang yang berilmu dalam agama.

Beginilah,
Sebagai student architecture, aku bagi anologi mudah berkaitan bangunan,
Kita semua tahu, golongan yang arif berkenaan perihal bangunanlah yang mampu membina sesebuah bangunan bukan? Janganlah kita lupa, seseorang yang arif berkenaan bangunan jugalah yang mampu meruntuhkan bangunan. Mereka ini tahu di mana terletaknya tiang utama yang merupakan kekuatan bangunan tersebut dan boleh memanipulasikan reka bentuk, atau dengan mudah mereka boleh meletupkan tiang utama untuk meruntuhkan bangunan berkenaan.

Apakah kaitannya dengan agama?

Begini, aku wujudkan anologi baru,
Ada dua orang pemuda, berserban, berkopiah, bawa quran, dan masing-masing berzikir tak henti-henti. Kedua-dua Sheikh A dan Sheikh B ini berjalan menuju ke kedai makan untuk mengisi perut. Sampai di kedai, kedua-duanya duduk di meja makan yang sama, memesan makanan yang serupa iaitu chicken chop. Mereka pun makan.

Selesai makan, kedua-duanya mengucapkan alhamdulillah.
Tiba-tiba, Sheikh B bersuara.
“Mamak! Tambah lagi satu chicken chop!”
Sheikh A sedikit terkejut dengan keputusan Sheikh B untuk menambah makanan, kerana makanan yang dimakan tadi sudah sangat mengenyangkan baginya. Sheikh A melihat Sheikh B menghabiskan makanan pinggan ke-2 dengan penuh perasaan ingin tahu. Lalu Sheikh A bertanya.
“Wahai Sheikh B, bukankah Rasulullah menggalakkan kita berhenti makan sebelum kenyang?”
Sheikh B menjawab,
 “Wahai Sheikh A, pembaziran adalah dilarang dalam Islam, maka berilah aku habiskan makanan ini dahulu. Lagipun, hadis yang dikemukakan olehmu tadi dhaif, sanadnya lemah”
Sambil mengangguk, Sheikh A akur akan kata-kata Sheikh B itu kerana ia ada kebenarannya juga. Tetapi jauh disudut hatinya dia rasa ada perkara yang tak kena. Seketika kemudian, Sheikh B pun berjaya menghabiskan makanan sambil diperhatikan Sheikh A. Tiba-tiba, Sheikh B bersuara lagi,
 “Mamak! Tambah satu lagi chicken chop!”
Sheikh A tersentak dan sedikit marah, lalu dia bertanya,
“Wahai Sheikh B, apakah ini? Bukankah Islam mengajar kita bersederhana dalam semua hal? Kenapa sampai 3 pinggan ni?!”
Maka Sheikh B pun menjawab,
“Bukankah yang ganjil itu sunnah Rasulullah? Aku terpaksa makan 3 pinggan untuk menepati sunnah..”

Pengajarannya, akan wujud manusia di dalam dunia ini yang akan menggunakan hujah agama untuk menghalalkan tuntutan nafsunya. Hujah mereka sahih, tetapi konteksnya batil. Dengan bantuan Allah, agama ini akan dijulang oleh mereka yang berilmu tentang agama. Tetapi, mereka yang berilmu agama jugalah yang berpotensi menghancur dan mengelirukan agama mengikut kehendak mereka.
Sedihnya, aku nampak jelas ianya berlaku dalam kalangan kita, dalam kalangan pemuda,
Aku doakan, moga aku, dan pembaca kalian dijauhkan dari wabak ini.

Sekarang ni,
Baca betul-betul, korang dah semakin menghampiri point utama aku.. heh heh heh..

Dilema ini berlaku terutamanya dalam kalangan ‘budak baru nak up’ dalam agama, aku pun termasuk sama.

Kekeliruan dalam kalangan ‘pendakwah muda’.
Bila terlampau nak dikenali sebagai ‘Islamic icon’, seseorang ‘pendakwah’ akan mula kaitkan segala aktiviti hidupnya dengan hujah islam. Baguslah kalau kita nak satukan islam dengan kehidupan seharian kita. Tetapi, yang jadi masalahnya, apabila seseorang pendakwah itu tidak mahu kelihatan ‘tidak alim’ dan mula menghalalkan semua gerak-geri naluri manusianya. Hiburan misalnya. Tidak salah hiburan dalam islam jika ianya bertetapan dengan syaratnya. Tetapi ada yang post gambar berkaraoke campuran lelaki-perempuan di instagram, pastu buh caption “pertemuan bersama sahabat ini Allah yang aturkan”. Aduhhh... Nampak tak permainan dia?
*tepuk dahi*
Ada juga yang kata main video game bagus. Kononnya ia amalan yang menjurus ke arah qawiyyul jism dan boleh menjulang nama islam di persada dunia.
*tepuk dahi*
Nak main game, main je lah. Hukumnya harus kalau tidak melebih-lebih. Tapi takyah lah nak ‘islamic-kan’ sangat.. Nampak macam desperado. Nampak macam kita takut manusia tak lagi gelar kita ‘islamik’.

Haaa...
Dah mula faham apa yang aku nak sampaikan? Alhamdulillah...

Hinggakan sampai ke tahap ada yang mengatakan tidak mengapa berdakwah dengan menggunakan wasilah menggoda. Kononnya agar mad’u (golongan yang didakwah) tertarik dengan agama. Diputar-putarkan tengkuk sunnah Baginda dan hujah Islam mengikut nafsu dirinya. Begitu murah agama ini jika kita tidak faham yang dakwah itu untuk Allah. Bukan untuk menghalalkan perangai kita, bukan juga untuk ‘nama’ dan populariti. Ini semua susulan dari fenomena yang saya telah ceritakan dalam artikel terdahulu.

Ekorannya, mereka yang seakan-akan ‘jauh’ dari agama akan semakin menjauhi agama kerana wabak ini. Mereka keliru nak ikut yang mana satu. Sebelah sini memetik surah An-Nur ayat 31 untuk mengajak golongan yang didakwahnya menundukkan pandangan. Sebelah sana pula mengatakan kita perlu pakai makeup tebal-tebal agar dapat menarik golongan didakwah. Contohnya poster yang saya terjumpa di twitter ini:

“Rendahnya martabat daie sampai disamakan dengan model Victoria Secret!”-Akhi Inche Gabbana

Virus ini bukan sahaja menular dalam kalangan para pendakwah wanita, tetapi da’ie (pendakwah) lelaki juga tidak terkecuali.

Aku sangat bersyukur jikalau kalian yang dahulunya mengikuti perkembangan perkara-perkara lagha, poster artis penuh di dinding, wallpaper One Direction kat phone (jangan bash.. LOL), kini berubah kepada mengikuti perkembangan islamik dari individu-individu 'islamik' tertentu.

Tidak salah menjadikan seseorang sebagai idola, kerana mungkin Allah berikan hidayah kepada kita melaluinya.
TETAPI,
Bukanlah fitrah agama untuk mengikut seseorang ‘individu’ secara membuta tuli,
Terutamanya jika seseorang itu terkenal dengan perangainya yang fasik, kita disuruh untuk mengkaji dahulu sebelum menerimanya maklumat daripadanya,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” –Al-Hujurat ayat 6.

“Teme, berhati-hati dalam belajar agama. Perhatikan sumber, perlu lihat juga penyampainya. Bimbang jikalau kita tersesat, susah nak patah balik, kerana ia dah mempengaruhi fikrah (cara berfikir) kita” -Guru

Aku pegang kata-kata itu sehingga kini,
Taknak jadi seperti lembu,
Kalau kalian berterusan berdegil nak jadi lembu, rasa selesa dicucuk hidung dan diheret ke mana-mana termasuklah ke arah binasa, teruskanlah, aku tiada hak memaksa..
Hak me’lembu’ juga hak bersama.
Tapi aku lebih gemar menjadi manusia yang sihat akalnya..

Tak semua perkara kita boleh islamic-kan, kadang-kadang kita perlu rendahkan ego dan terus tinggalkan.

Aku sedar ramai yang kata aku ni pelajar architecture, tak layak bicara soal agama..
Sedangkan pelajar ilmu dunia pun berhak belajar agama, kami pun nak masuk syurga,
*flips beard*
Aku tidak mengeluarkan hukum, aku lontarkan kritikan sosial kerana agama ini Tuhan aku yang punya, aku taknak dipersoalkan kelak.
Yang dah boleh mula belajar senyap ialah mereka yang google-google sahaja sebagai pengisi masa lapang selepas SPM, lepastu merasa dirinya bertaraf mufti dunia.
Hentikanlah diri anda sebelum menjadi lebih bahaya.

Tolong, aku merayu,
Kepada umum, termasuk pujukan kepada diriku sendiri,
Belajarlah basic agama, kalau tak mampu ke madrasah pun, bukalah ceramah-ceramah di youtube, jangan nanti kita dipersoal oleh Allah kerana cetek ilmu agama sedangkan kemudahan telah terhidang di depan mata,
Ini bukanlah untuk kepentingan aku, ianya untuk kepentingan kita bersama di zaman fitnah ini,
Aku tak sanggup dah tengok generasi aku menghancurkan agama sendiri.
Hinggakan jika kalian nak join jemaah pun, belajarlah agama dahulu kalau nak selamat, agar kalian dapat menilai intipati islam pada jemaah seperti fitrah islam yang sebenar. Bukan islam versi yang diajarkan oleh jemaah kalian.
Moga-moga kita semua boleh berdikari.

Dah.. cukup..
Aku sayang kalian kerana Allah.



..........................................
Agama ini umpama senapang,
Ilmunya boleh dipelajari, dikuasai, dan dimiliki oleh sesiapa.
Penguasaannya tidak mengenal usia,
Boleh menyelamatkan dunia dan akhirat kita,
Boleh membantu kita ‘menembak’ ancaman-ancaman yang membawa ke neraka,

Agama ini umpama senapang,
Ilmunya boleh dipelajari, dikuasai, dan dimiliki oleh sesiapa.
Ada kalanya ia jatuh ke tangan yang merbahaya,
Akan ditembak sesuka hati merata-rata,
Digunakan untuk kepentingan diri sendiri sesuka nafsunya,
Ia tidak lagi menjadi penyelamat, tetapi fitnah kepada agama,

Agama ini umpama senapang,
Tidak mustahil anda juga ada,
Tetapi, jika anda sedar bahawa anda berpotensi meledakkan pelurunya mengikut nafsu durjana,
Maka aculah senapang pada cermin, binasakan nafsu sebelum ia berleluasa.

-Teme Abdullah, 6 Oktober 2015.

Kenapa aku berhenti jadi Pendakwah..

Cerita ini dari point of view Teme Abdullah. Jika timbul rasa tidak setuju, itu normal, kita dalam negara demokrasi.


Begini,
Ketika aku masih belasan tahun dulu, semangat aku berkobar-kobar nak jadi pendakwah. Rakan-rakan sebaya boleh dikatakan rata-ratanya nak kejar title Doctor, IR, Architect, Prof, Dato, malah ada yang nak jadi Datin Seri. Tapi aku pelik sikit, aku nak sangat ada title 'ustaz'. Apa-apa pun jadi, aku nak jadi ustaz. Pelik..

Ketika sekolah menengah,
Aku mula baca buku-buku yang 'pelik'. Aku ingat lagi waktu itu, novel Harry Potter tengah trending. Tapi aku, satu novel Harry Potter pun aku tak pernah baca, aku lebih berminat nak baca satu buku yang aku baru kenal ketika itu, Rahiq Makhtum. Memang bosan la hidup aku kalau orang nampak. Tapi aku terasa nikmat. Banyak juga kitab terjemahan dari bahasa arab yang aku baca, cuma ketika itu belum lagi berguru secara face to face. Sungguh, aku ini seorang rakan sebaya yang sangat bosan, janganlah ajak aku borak pasal Harry Potter, memang aku tak tahu lebih dari nama-nama watak utama sahaja.

Kawan-kawan sibuk baca manga (komik jepun),
Aku pula sibuk mentelaah konspirasi dajjal. Freemasons, illuminati, ahhh.. Semua tu makanan jiwa aku masa tingkatan 3. Aku nampak semua tak kena, itu tak kena, ini tak kena, semua tak islamic! Semua ini menguatkan lagi matlamat aku untuk jadi ustaz.

Usai tingkatan 5, habis SPM,
Aku tekad, aku nak perdalam ilmu agama. Oleh kerana ketika itu aku merupakan pelajar tajaan yang sedang menjalani persediaan untuk ke United Kingdom, aku punyai kekangan untuk belajar agama secara formal dan tubi. Bila hujung minggu je mesti aku hilang dari kolej persediaan. Kalau orang tanya, aku jawab "aku balik rumah". Walhal aku cari ustaz, aku cari pusat pengajian secara tak formal kerana semangat mencari ilmu ketika itu. Perancangan aku, aku nak buat 2 ijazah sekaligus, architecture & usul fiqh. Semangat tak semangat lah kan.

Aku mula menulis blog berunsur islamik seawal 2011. Dalam keadaan internet tak laju, unifi takda, broadband slow macam siput, facebook baru nak hidup, dan mamak belum ada wifi, alhamdulillah aku berjaya menarik perhatian ramai pembaca. Blog apa? Blog inilah, yang korang sedang baca ni.

Bilangan pembaca makin naik,
Sejujurnya, aku mula rasa diri aku ‘macam hebat’.
Itu haram! Ini haram! Sesuka hati aku keluarkan fatwa. Ramai yang backup aku buta-buta je masatu sebab aku 'islamik'. Geng-geng yang kononnya 'tak islamic' lansung aku tak pandang. Aku hanya berkawan dengan geng-geng surau, geng-geng ceramah, geng-geng duha dan lain-lain golongan yang luarannya kelihatan baik. Judgemental.. ya.. ketika itu aku sangat judgemental..

Kononnya nak menyumbang kepada agama,
Kononnya nak majukan dakwah,
Aku mula terfikir nak terbitkan buku sendiri macam pakar-pakar motivati terkenal, mula terfikir nak jadi penceramah motivasi bebas lah, mula terfikir nak jadi pelukis komik dakwah lah. Boleh jana pendapatan sampingan. Boleh bagi talk keliling dunia, walhal ilmu tak banyak mana. Tauliah pun takda. Aku nak berhenti jadi anonymous, biarlah orang kenal aku. Aku nak bercakap pasal agama ni merata-rata.


Tiba-tiba aku tersedar sesuatu,

Dari kesedaran ini, aku berhenti menulis buat tempoh yang amat lama.
Menjauhi dunia dakwah di alam maya, memberi tempoh khalwat untuk aku muhasabah diri. Aku padam segala poster dakwah dari page Teme, instagram Teme, dan Twitter Teme. (tindakan ini kurang bijak sebenarnya, kerana ketika itu aku terlampau takut yang diri aku semakin mengejar popularity atas alasan islam, bukan mengejar syurga). Memberi ruang untuk pembaca-pembaca 'lari' dari blog temerity dan penulisnya sekali. Kenapa? Kerana satu perkara. Nafsu nakal aku mula mempengaruhi otak aku untuk peroleh wang dan kemahsyuran dari dakwah.

Aku menyendiri,
Bersembunyi dari menjadi Teme Abdullah,
Cuba mencari erti yang sebenar. 
Adakah aku ingin menyumbang kepada islam, atau ingin islam menyumbang pada aku? Adakah aku ingin mengambil kesempatan meraih keuntungan dan mengisi periuk nasi dengan beralasankan dakwah? Aku sedar yang perkara ini perlu diubah. Syaitan akan mainkan peranan mereka kerana 'business' menjual agama ini menguntungkan.

Aku minta nasihat ibu tercinta.
Aku ceritakan segala 'ketakutan' aku ni. Aku taknak menjadi pemerah susu pada agama.
Dan mama aku bagi nasihat yang aku ikut sehingga kini.
Aku fokus pada akademik, fokus pada cita-cita ingin menjadi seorang arkitek. Aku pernah berniat nak berhenti belajar 'bidang keduniaan' ini, kini aku teruskan belajar ‘ilmu dunia’ ini untuk menjaga diri aku dari mengikut nafsu. Kenapa aku kata ianya untuk menjaga diri aku dari mengikut nafsu? Baca dulu.

Alhamdulillah,
Akhirnya, aku ambil keputusan untuk terima tawaran menyambung pelajaran di London. Perancangannya, aku perlu menjadi professional dalam satu bidang selain dakwah, apabila aku dah ada professional qualification yang melayakkan aku mendapat professional career, barulah aku kembali terjun semula ke medan dakwah meluas.

Kenapa?

Kerana manusia perlukan sumber pendapatan untuk terus hidup. Aku taknak jual agama untuk hidup. Khulafa Ar-Rashidin dahulu pun menjalankan perniagaan walaupun memegang jawatan khalifah untuk mengelakkan mereka 'cari makan' dari jawatan khalifah tersebut. Aku cuba contohi. Dalam kes aku, aku wujudkan satu cabang untuk aku raih pendapatan tanpa melibatkan dakwah. Aku memilih untuk menjadi seorang arkitek, seorang yang professional dalam seni bina. Tidak rugi menjadi professional, kerana kelak ummah perlukan kemahiran pakar. Di samping itu, aku jalankan business kecil-kecilan, jual lukisan tepi jalan, buat t-shirt, malah busking di tepi jalan. Semua ini untuk ‘menjaga’ diri aku daripada mengikut nafsu, daripada menyelewengkan nama dakwah.

Kini,
Seperti menjadi trending,
Semua nak jadi pendakwah,
Ramai nak jadi public figure islamik. Ilmu tak ada, tapi sembang kencang macam ada ilmu 7 petala. Itulah sampai keluar hukum pra-matang dari pendakwah muda maya. Imam Abu Hanifah, mazhabnya paling meluas digunakan oleh ummah islam sedunia. Beliau menuntut ilmu agama selama 18 tahun, bukan mengeluarkan fatwa ketika umurnya 18 tahun. Sebelum menjadi alim dalam ilmu agama, beliau merupakan seorang ahli perniagaan. Perniagaannya tidak 'dilariskan' dengan jenama dakwah dan ilmu agamanya. 

Kini,
Bangkit 'pendakwah-pendakwah' muda yang wujudkan 'fatwa-fatwa' pelik. Fatwa ini akan menjadi isu yang trending kerana ia tidak berlandaskan metode ilmu yang betul. Mungkin akan bangkit ramai para alim yang sebenar untuk menentang mereka. Tetapi para alim ini tiada suara kerana pendakwah-pendakwah muda ini bakal disokong pengikut-pengikut yang buta. Sudah menjadi lumrah, sedungu-dungu pemimpin besar pun akan ada pengikutnya, sekorup-korup pemimpin pun akan ada penjilatnya, inikan pula pendakwah muda yang rata-rata pengikut mereka baru mengenal dunia. Para pengikut ini terlalu hijau sehingga menganggap semua yang berbicara soal agama ini orang yang baik-baik. Para pengikut yang membuta tuli ini menyangkakan mereka turut sama berjuang menegakkan islam bersama pendakwah mereka. Walhal kekuatan pengikut ini hanya digunakan untuk menjadi ternama. Matlamat mereka hanyalah untuk 'diperkatakan' dan menjadi trending. Apabila sudah trending, mereka akan jual produk; jual buku, jual air liur, jual kismis, jual air jampi, dan sebagainya.

Satu persatu mereka bermain dengan fatwa,
Ada yang sesuka hati dengan umumnya mengatakan haram bergambar berdua dengan bukan mahram berlainan jantina. Perrgh.. Umum sangat hukum ni. Aku tak bantah fatwa ini jika ia adil. Ia perlu diperjelaskan & diperincikan lagi sheikh. Kononnya ingin mengelakkan fitnah, walhal fatwa enta ini yang menimbulkan fitnah pada islam! Adakah bergambar berdua dengan guru berlainan jantina yang jarak umur hampir 30 tahun pun haram dan mengundang fitnah? Ini barah dalam masyarakat.

Ada pendakwah muda yang mengatakan cinta haram!
Walhal individu itu pun bercinta bagai nak rak sebelum berkahwin sampai dikenali satu sekolah kerana kasanovanya. Bila dia dah berkahwin, senang-senang dia kata CINTA SEBELUM NIKAH HARAM, dan announce yang perbuatannya dulu itu semua jahiliyah. Walhal dia sendiri tak dapat elak fitrah terjatuh cinta tersebut.

Ada juga yang seolah-olah memaksa para pemuda untuk berkahwin sedangkan masih tidak jatuh hukum wajib kahwin pada pemuda tersebut. Kalau enta seorang yang tidak boleh mengawal nafsu & perlu kawin, jangan paksa masyarakat untuk kawin. Jika enta jenis yang suka mempermainkan wanita, JANGAN ANGGAP SEMUA ORANG SAMPAH SEPERTI ENTA. Boleh sangat jika kita nak menggalakkan para pemuda untuk nikah awal, tapi jangan menekan. Tidak semua pemuda dalam keadaan telah mampu secara emosi & kewangan lagi. Jangan menekan pemuda yang sedang menuntut ilmu. Aku taknak tengok penceraian banyak berlaku dalam generasi aku. Aku taknak tengok pasangan-pasangan yang belum matang mindanya wujud dan berbicara soal nikah kawin lalu merosakkan masyarakat yang lain.

Begitu juga dengan hukum 'CRUSH HARAM' yang kini popular,
Aku kurang pasti dari mana sumber asal 'fatwa' ini,

Aku keliru,
Pendakwah muda kata CRUSH HARAM.
Mufti pula kata mencintai seseorang, meluahkan, & berusaha untuk mendapatkan cinta seterusnya menghalalkannya itu harus. Rasulullah saw sendiri pernah bersimpati dengan seseorang lelaki yang menangis-nangis memujuk cinta seorang wanita. Malah lelaki itu menangis-nangis mengekori wanita itu sehingga air mata mengalir di janggutnya. Sehinggakan Rasulullah sendiri berjumpa dengan wanita yang diinginkan oleh lelaki tersebut untuk bertanyakan adakah wanita itu betul-betul tidak mahukan lelaki itu. (Rujukan: Website mufti).
Dalam kes ini, sudah semestinya aku akan ikut kata mufti.

Enta kata cinta HARAM..... sebab lagha. Menjauhkan diri dari Allah.
Enta kata CRUSH HARAM..... sebab mengundang zina hati & lagha. Menjauhkan diri dari Allah
Tapi main game halal pulak? Tak lagha pulak? Sebab pendakwah suka main game.
Menipu jumlah jualan buku halal pulak? Sebab pendakwah nak lariskan buku dakwah. Nak nampak buku dakwah dia 'Best seller'. Melabel diri sendiri penulis best seller.
Sengaja tak bayar hutang tu halal pulak? Sebab pendakwah nak gunakan duit yang dia ada untuk 'dakwah'. Hutang boleh letak tepi.
Lepasni tidak mustahil keluar hukum HALAL BERDISKO pulak sebab pendakwah suka pergi club. Dia akan cakap, "takpa... saya ke disko untuk berdakwah".

Beginilah agama ini rosak akibat mereka-mereka yang boleh memutar belit agama. Mereka ada ilmu, tapi sayangnya diputar-putarkan nas & hujah untuk tuntutan nafsunya.

Ummah keliru sheikh..
Keliru..
Mereka nampak islam ini susah yang teramat.
Enta pula menikmati hasil populariti dari dakwah,
Hasil popularity dari 'fatwa keras' enta,
Sambil memekik mengatakan jalan dakwah ini tidak dibentang karpet merah dan kononnya penuh duri,
Enta menjual air mata & bermain dengan emosi.
Walhal enta bukan sahaja berjalan di atas karpet merah, malah karpet enta sutera keemasan!
Popularity & harta itu alat. Bukan perkara yang dikejar. Tetapi itu yang enta kejar dulu.

Ini kritikan social. Bukan kutukan social.
Dan kalau dah namanya kritikan, ianya terhasil daripada perasaan risau, bukan benci..
Artikel ini umum..

Jenama ‘agama’ kini dijadikan pelaris peniagaan.
Jual buku motivasi, diletakkan jenama islam agar buku itu laris. 
Jual air pun diletakkan jenama islam, kononnya air tersebut telah dijampi dan boleh dijual dengan harga yang mahal. Begitu murah islam dijual merata-rata. Bukanlah salah menjampi ayat-ayat suci pada air, tapi kalau ianya wajar dijadikan sumber pendapatan, aku ingat nak cadangkan supaya syarikat bekalan air bawa pelajar-pelajar tahfiz membaca al-quran di sekeliling empangan. Maka bolehlah harga air paip yang disalurkan ke rumah-rumah dinaikkan dan boleh bantu ekonomi negara. Perkara ini aneh, lagi mengelirukan, terutamanya kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan islam. Orang yang tidak faham tentang islam akan mentertawakan agama Allah ini.

Matlamat utama jihad ialah untuk menegakkan nama Allah. Tetapi, jika dakwah kita menambah kesukaran dan menyampah dalam kalangan masyarakat untuk kembali kepada islam, terus terang aku katakan.... Itu bukan jihad.

Aku harap diri aku sendiri, dan kita semua belajar betul-betul. Dengan kemahiran yang kita ada, kita boleh menyumbang kepada islam.

Tidak,
Aku tidak menyuruh kalian berhenti berdakwah sebelum ada 'secure job'. Aku nasihatkan kalian  supaya berhenti menggunakan dakwah sebagai 'mandrem' dan pelaris untuk kepentingan diri sendiri, untuk raih popularity, dan meraut keuntungan duniawi. 

Kerana aku bimbang akn keadaan yang semakin ramai bercita-cita nak jadi pendakwah sebab nak buat duit. Biarlah kita yang menyumbang kepada islam, jangan pula kita mengambil kesempatan atas sumbangan islam kepada kita.

Dakwah bukan plan B untuk mereka yang malas dan gagal dalam akademik,
Bukan juga plan B untuk mereka yang gagal mencari pendapatan melalui cara lain.
Dakwah ini pertukaran pahala Allah untuk kita.

Jika pencabulan terhadap agama ini tidak dihentikan, tak mustahil satu hari nanti orang yang tak habis belajar pun akan dipanggil ceramah merata-rata hanya kerana kata-katanya berbaur islamik. Walhal itu semua semata-mata 'wang segara'. Ya... memang mudah nak buat duit dengan agama... sebab semua orang perlukannya. Tak mustahil akan wujud skim-skim penipuan oleh syarikat-syarikat perniagaan yang mengaku memperjuangkan agama.

Jika pencabul-pencabul agama ini masih disokong dan tidak dihentikan oleh pihak berkuasa, tidak mustahil satu hari mereka akan menceburi bidang politik. Tidak mustahil pencabul agama akan menguasai pemerintahan, ketenteraan, dan negara. Tidak mustahil akan wujud semula ajaran-ajaran sesat yang extreme di bumi Malaysia ini. Maka agama islam ini akan selamanya dilabel agama terrorist. Ya, setelah mereka tuai wang hasil memperbodohkan masyarakat dan memutar tengkuk agama, mereka akan mengejar kuasa. Ketika itu, terimalah azab menjadi rakyat kepada pemimpin yang menunggang agama!

*tarik nafas panjang*

*hembus*

You know what... I need to calm down. Hahahaha.



Setelah banyak merantau,
Setelah banyak kenal manusia dari serata dunia,
Setelah  bergaul dengan non-muslim di negara yang islam itu asing bagi mereka,
Setelah banyak sumber ilmu yang dah aku jadikan punca, aku menjadi semakin jahil dalam agama, semakin merasakan diri aku perlu tunduk.

Kini aku sedar,
Dakwah itu bukanlah hanya ceramah merata-rata,
Bukanlah pertandingan siapa yang paling hebat menyentap,
Bukanlah juga pertandingan siapa yang paling hebat mengeluarkan hukum yang paling pelik dan susah,
Bukan semata-mata usrah,
Bukan semata-mata keluar daurah, perang, dan menulis buku.

Dakwah itu bermula dari akhlak kita.
Hikmah kita dengan orang sekeliling kita. Bukan pendakwah sejati kalau keluarga sendiri menjauhkan diri dari kita, kerana islam itu mendekatkan, bukan memecahkan.

Bukan pendakwah sejati kalau kawan-kawan kita benci kita. Bukan pendakwah kalau masyarakat benci kita. Usahlah kita gunakan alasan, "Rasulullah juga dibenci musuh" kerana itu tidak benar. Musuh memerangi Rasulullah saw kerana agamanya, bukan akhlaknya. Baginda digelar al-Amin oleh musyrikin mekah sejak awal lagi. Tiada seorang pun yang membenci baginda kerana akhlak atau penyelewengan.

Memang kita tak patut utamakan pandangan manusia. Memang bukan masalah kita kalau orang benci kita, maybe hati dia sakit. Tapi kalau dah ramai sangat tak selesa dengan kita, ramai sangat tegur cara kita, paham-pahamlah nak berubah, mungkin itu teguran lembut Allah untuk kita. 

Manusia-manusia di sekeliling kita ialah cerminan diri kita.
Jadi, jika kita kepelikan kenapa semua orang sekeliling kita membenci kita, jika kita kepelikan kenapa semua pekerja kita tak ada yang pernah stay lama, jika kita pelik kenapa semua orang negatif pada kita, kita perlu lihat pada diri sendiri..... mungkin mereka itu cerminan keperibadian kita yang sebenar.

Jika cemerlang dakwah, maka orang sekeliling (terutama yang rapat) akan selesa dengan peribadi kita, kita akan menabur wangi pada agama,

Dakwah itu bukanlah bersama usrah semata-mata,
Jika kita bersama mereka yang kononnya 'baik-baik' sahaja, siapa yang akan membimbing dan memberi kesedaran kepada yang jauh dari agama?

Cakap banyak pun tak guna,
Berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum aku kembali ke bumi British untuk menyambung semester baru,
Aku bertanggungjawab atas apa yang aku tulis, tapi aku tak bertanggungjawab atas kefahaman kalian pada penulisan aku.

Nasihat aku satu je wahai sahabat-sahabat sebaya sekalian,
Nak jadi pendakwah sepenuh masa?

Get a job first!!

Taubat dari gereja..

Baca sampai habis bagi mengelakkan muncul spekulasi yang mengatakan aku sesat dan dah mula berminat dengan ajaran Kristian.




Pernah tengok movie barat? Pernah tengok scene dalam gereja? Pernah masuk sendiri ke dalam gereja?

Kalau korang tak pernah tahu, biar aku cerita.
Aku student yang menuntut ilmu di sebuah negara barat. Banyak kali dah masuk gereja atas sebab-sebab yang tak perlu aku huraikan. Bukan aku nak berbangga berpeluang masuk ke  gereja banyak kali, tapi aku nak cerita pasal satu objek dalam gereja. Sebuah kotak.

Confession box atau confessional,
Ini nama kotak tersebut. Itu nama sebenar, bukan nama samaran seperti Teme Abdullah, ehh..
Kotak ini ada hampir di setiap gereja yang aku masuk, aku konklusikan, mungkin ini adalah objek yang penting dalam sesebuah gereja. Bukan kecik macam kotak yang selalu kucing korang main tu, ini kotak besar punya, sekurang-kurangnya muat 2 manusia pada satu-satu masa. Seiring dengan namanya yang bermaksud 'luahan' (confession), di dalam kotak ini akan ada seorang paderi menunggu luahan manusia tiap-tiap hari.

Apa yang berlaku dalam kotak?
Kucing akan masuk dan bermain dengan bebola benang.. Okay jangan percaya. Dalam kotak ini berlakunya luahan mereka yang berdosa kepada paderi-paderi. Bukan luahan rasa terpesona dan cinta kepada paderi, tetapi luahan dosa. Bagi penganut kristian yang ingin bertaubat, mereka perlu menceritakan segala dosa dan pengalaman hitam mereka kepada paderi dalam kotak tersebut. Sama ada mereka pernah berzina, bunuh orang, mencuri, atau apa-apa dosa sekalipun, mereka perlu luahkan kepada paderi yang bertugas di dalam kotak ini.

Apa paderi akan buat lepas dengar luahan pendosa?
Paderi akan bercakap dengan nada yang lantang, "Akulah sailormoon! Dengan kuasa bulan, akan menghukum mu!".. Bukan, jangan percaya. Sebaliknya, paderi akan menceritakan tentang pengampunan tuhan (tazkirah sikit kot) dan dengan ‘kuasa’ yang mereka ada, mereka akan mengampunkan si pendosa. Maka pendosa pun suci dalam debu. Menarik bukan?

Melalui kotak ini,
Aku dapat mentadabbur & ternyata ianya kotak yang menyedarkan aku,
Kerana melaluinya aku nampak keindahan islam,
Aku nampak kasih sayang Allah pada hambaNya walaupun hamba yang berdosa,
Aku nampak yang pengampunan & sifat rahmat Allah ini jauh lagi besar dari kemurkaanNya.

Jangan stop baca sampai sini, teruskan lagi, nanti salah faham.



Kita berbeza dengan kristian,
Dalam islam, walaupun kita berdosa, kita wajib rahsiakan, bertaubat, dan memohon pengampunan daripada Allah semata-mata. Meskipun kita pernah minum arak dan tak pernah sekali pun terkantoi dengan pihak agama, kita tak perlu mengaku pada ustaz untuk terima hukuman sebatan. Sebaliknya kita hanya perlu bersendirian memohon ampun pada Allah dan berazam dengan bersunggh-sungguh untuk tidak mengulanginya. Tak perlu cerita pada orang lain. Istimewanya kita orang islam, kita boleh memohon ampun direct daripada Pencipta kita sendiri, tak perlu pengantara.

Buat dosa tapi tak terkantoi. Bukan Allah tak murka, tapi Allah nak beri peluang taubat kepada kita.

Betulke takyah mengaku kesalahan di hadapan manusia?
Melainkan dosa kita itu melibatkan manusia lain, kita wajib rahsiakan dan jangan luahkan pada sesiapa. Maksudnya, jika dosa kita itu merupakan penganiayaan terhadap orang lain (contohnya pemerintah yang menipu rakyat ke.. nasib baik malaysia bebas dari isu ni), wajiblah kita memohon maaf pada orang yang teraniaya tersebut. Jika dosa tersebut hanya kita dan Allah sahaja yang tahu, kita hanya perlu memohon ampun dan luahkan kepada Allah. HARAM untuk kita ceritakan kepada kawan-kawan mahupun ustaz sekalipun.

Rasulullah saw pernah bersabda: "Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang bermujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa tersebut, kemudian dia berkata: "Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu." (Menceritakan dosanya kepada orang lain). Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tapi pada pagi hari dia telah membuka sendiri akan dosa tersebut." -Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Allah sayang pada hambaNya,
Kalau kita lah, kalau orang buat jahat pada kita, kita akan marah dan akan timbul perasaan ingin balas dendam walaupun orang tu mintak maaf. Contohnya kalau ada orang merogol anak kita, pastu dia mengaku kepada kita sendiri. Walaupun dia dah mintak maaf, tetap timbul perasaan ingin laporkan kepada polis untuk pesalah dikenakan hukuman (Aku ni sembang macam dah ada anak). Allah tak macam tu, Allah Maha Pengampun, walaupun kita menghadapNya dengan berbillion-billion dosa sekalipun, dengan syarat kita betul-betul bertaubat, Dia akan ampunkan. Tak perlu cerita pada manusia lain tentang dosa kita, kerana Allah taknak kita malukan diri sendiri. Inilah bezanya Allah dengan ‘tuhan agama kristian’.

Nampak tak?
Walaupun kita berdosa, walaupun kita dah buat Allah murka, Dia tetap pentingkan kita dan taknak malukan kita. Allah taknak kita buka aib kita. Sayangnya Allah pada kita.. Sayangnya Tuhan kepada hambaNya, meskipun yang berdosa, meskipun kita buat dia murka berulang-ulang kali.
*kesat air mata*

Kerana inilah terdapat hukuman qazaf bagi sesiapa yang mengaku pernah melihat individu muslim berzina tanpa membawa bersama 4 orang saksi yang sah yang melihat dengan jelas aktiviti tersebut. Sekali pandang nampak macam islam nak membela pendosa kan? Masa aku belajar Pendidikan Agama Islam untuk PMR dulu, sejujurnya, timbul ragu-ragu pada hukuman qazaf ini kerana kejahilan aku sendiri. Menurut fikiran aku "Kenapa takleh report pulak? Takkan kita nak buat amar makruf nahi munkar pun salah? Takkan nak kena ada 4 orang saksi baru boleh jatuhkan hukuman? Takkan orang itu dibenarkan bebas tanpa hukuman kot?". Itu dulu. Dulu aku ingat islam ini agama untuk menghukum, tapi sekarang aku sedar yang islam itu lebih kepada ampun. 
Kalau nampak orang buat dosa, tegur dia on the spot, beri amaran, suruh dia bertaubat, dan yang paling penting, jangan ceritakan dosa dia pada orang lain. Itu urusan dia dengan Allah, kita dah jalankan tanggungjawab kita. Maksudnya di sini, kalau kita nampak orang buat dosa, hentikan serta merta! Jangan lari dari situasi dan report kat orang lain. Cara islam ialah mencegah, bukan menghukum.


"Tapi Teme, aku dah berzina 10 kali, minum arak berbotol-botol, Allah nak ke terima taubat aku?"

Saudara,
Walaupun dosa anda setinggi langit sekalipun, jika anda rendahkan ego dan memohon ampun pada Allah, Allah akan ampunkan.

Dari Anas bin Malik RA dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku akan Aku ampunkan apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak peduli, wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi langit, kemudian engkau meminta keampunan kepada-Ku akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” -Hadis Riwayat Tirmidzi

"Tapi aku bukan sahaja buat dosa. Lepas aku bertaubat, aku buat dosa lagi. Berulang-ulang aku buat dosa"

Lihatlah keadaan kau sekarang, masih bernyawa ke tidak?
Kalau masih bernyawa, selagi itulah kau boleh bertaubat. Inilah antara sebab kenapa Allah masih kurniakan nikmat bernafas kepada kita, untuk bagi chance kita bertaubat walaupun dosa itu berulang-ulang dan sebesar Gunung Everest. Jangan pandang rendah pada sifat Maha Pengampun Allah, pengampunanNya tiada limit, tiada quota.

“Ada seorang hamba yang berbuat dosa lalu dia mengatakan ‘Allahummagfirliy dzanbiy’ [Ya Allah, ampunilah dosaku]. Lalu Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah berbuat dosa, lalu dia mengetahui bahwa dia memiliki Rabb yang mengampuni dosa dan menghukumi setiap perbuatan dosa’. (Maka Allah mengampuni dosanya), kemudian hamba tersebut mengulangi lagi berbuat dosa, lalu dia mengatakan, ‘Ay robbi agfirli dzanbiy’ [Wahai Rabb, ampunilah dosaku]. Lalu Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah berbuat dosa, lalu dia mengetahui bahwa dia memiliki Rabb yang mengampuni dosa dan menghukumi setiap perbuatan dosa’. (Maka Allah mengampuni dosanya), kemudian hamba tersebut mengulangi lagi berbuat dosa, lalu dia mengatakan, ‘Ay robbi agfirli dzanbiy’ [Wahai Rabb, ampunilah dosaku]. Lalu Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah berbuat dosa, lalu dia mengetahui bahwa dia memiliki Rabb yang mengampuni dosa dan menghukumi setiap perbuatan dosa. Beramallah sesukamu, sungguh engkau telah diampuni.” -Hadis Riwayat Muslim


Fahami betul-betul apa yang aku tulis seterusnya ini, kerana ianya seriously deep,

Sememangnya dosa itu buruk dan wajib dijauhkan,
Tetapi memohon ampun selepas dosa itu yang terbaik,
Mengulangi dosa selepas bertaubat itu buruk dan tak patut dilakukan,
Tetapi, kembali bertaubat selepas tidak sengaja mengulangi dosa itu lebih baik dari taubat yang pertama,



Ya..
Umumnya kita semua tahu yang kita punyai Tuhan yang Maha Pengampun. Tapi sedikit saja dalam kalangan kita yang benar-benar memohon ampun. Dan ramai antara kita yang mengambil kesempatan melakukan dosa dengan alasan “Alah takpa.. Allah kan maha pengampun”, jangan cabar Allah wahai saudara. Segerakan bertaubat.

Sekarang aku nak tanya,
Berapa ramai antara kita yang benar-benar pernah berdoa supaya diampunkan dosa sampai terzahir dalam bentuk tangisan penyesalan & pengharapan? Tepuk dada, tanya iman. Meminta ampun ini mudah, tetapi hakikatnya ramai antara kita yang menangguhkan sehinggalah segalanya terlambat.

Tidak mustahil ada manusia yang lakukan dosa yang lebih besar daripada kita, tetapi dia lagi suci di sisi Allah kerana sering memohon ampun. Mungkin kita yang kononnya buat dosa 'ringan-ringan' pula lebih hina pada pandangan Allah kerana kesombongan kita untuk memohon ampun. Tambah lagi teruk jika kita menghina pendosa-pendosa lain dan menganggap diri kita lebih baik.

Luahkanlah pada Allah,
Tika kau bersendirian, menangislah, luahkan kepadaNya dan memohon ampun dengan bersungguh-sungguh.
Kalau kepada ibu bapa kita boleh mengadu, inikan pula Tuhan yang menciptakan kita. Dia tunggu dan sentiasa menunggu kita merintih kepadaNya.
Inilah namanya bermunajat. Allah pernah khabarkan kepada Rasulullah saw, bahawa jika ada hambaNya yang perlukan Dia, maka jawablah kepada hamba itu bahawasanya Allah itu dekat dan sentiasa ada bersama kita.

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat..." -Surah Al-Baqarah ayat 186 

Walaupun Allah murka dengan dosa kita, percayalah, rahmat dah kasih sayangNya jauh lebih besar dari kemurkaanNya. Luangkan masa berkualiti dengan Pencipta syurga & neraka, kerana kelak kita akan memasuki salah satu daripadanya. Gunakanlah peluang ini sebaik-sebaiknya untuk ke syurga.

Ingat,
Allah sayang sangat-sangat pada kita,
Kita jangan berputus asa daripada rahmat & pengampunanNya.

"Katakanlah "wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"" -Surah Az-Zumar ayat 53

Kisah Coklat....




Hikayat bermula begini,

Ada sebuah sekolah di negeri Sekatiengkorang. Sekolah ini sekolah luar bandar, boleh juga dikategorikan sebagai sekolah pedalaman kerana kehadiran sekolah ini tidak disedari oleh sekolah-sekolah hebat di kawasan berhampiran. Maklumlah, sekolah yang belum lagi mempunyai banyak pencapaian, setahun jagung, dan penuh dengan aktiviti-aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat kepada pelajar-pelajar.

Seperti biasa,
Apabila pelajar tingkatan 5 menghampiri hari-hari terakhir persekolahan mereka, pelajar tingkatan 4 akan dilantik untuk menerajui jawatan-jawatan penting dalam sekolah dan menggantikan posisi pelajar tingkatan 5. Ketua Pelajar baru, Penolong Ketua Pelajar baru dan Ketua-Ketua Biro baru telah dilantik. Mereka telah mengangkat sumpah seperti yang ditradisikan oleh para teraju pelajar yang terdahulu.

Dipendekkan cerita,
Semasa Mesyuarat Agung Majlis Tertinggi sekolah, Ketua Pelajar yang baru dilantik telah berjanji akan menaikkan nama institusi tersebut di persada dunia. Ketua Pelajar berjaya menyuntik semangat Ahli Majlis Tertinggi dan beliau juga telah mengusulkan satu perniagaan coklat untuk membiayai kos pembelajaran para penuntut. Tindakan ini juga dikatakan dapat mengukuhkan kedudukan Lembaga Pengawas sekolah dari kemungkinan revolusi yang dicetuskan oleh Pakatan Haluan Kiri Sekolah (yang terdiri daripada Pengawas Perpustakaan, Pengawas Surau & Pengawas Koperasi). Seorang Ketua Biro telah bertanya kepada Ketua Pelajar.

“Abang Long Kawasan, apakah yang Abang Long Kawasan maksudkan dengan perniagaan coklat tersebut? Apakah jenis coklat yang akan diperdagangkan? Bagaimanakah strategi pemasarannya? Coklat itu akan dijual di mana? Adakah kita akan jual coklat tersebut di sekolah-sekolah lain juga? Bagaimana jika kita rugi?”

Maka Ketua Pelajar pun menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut dengan ringkas,

“Kita jual coklat ini untuk kepentingan para pelajar, hal-hal berkaitan perniagaan coklat ialah rahsia ahli lembaga penjual coklat. Usah risau, Badan Penjual Coklat ini akan bergerak secara independent dan tak akan menjahanamkan sekolah kalau ia rugi”

Dengan penuh rasa hormat dan patuh kepada Ketua Pelajar, Ahli Majlis tertinggi pun menerima jawapan ketua mereka dengan penuh keyakinan dan harapan untuk membantu para pelajar dengan hasil perniagaan coklat ini. Semuanya gembira dengan idea bernas dari kepala otak Ketua Pelajar mereka.




Berbulan-bulan berlalu,

Perniagaan coklat yang sedang dijalankan dikhabarkan telah banyak keuntungan. Tetapi, yang anehnya, tiada seorang pelajar pun yang pernah melihat jualan coklat di dalam atau luar kawasan sekolah. Keuntungannya pula tidaklah dirasai pelajar, kehidupan mereka sama seperti keadaan dulu yang mana perniagaan coklat belum pun bermula. Kemanakah perginya keuntungan yang diperkatakan?

Lebih menghairankan lagi,
Ahli Majlis Tertinggi Sekolah pun tidak tahu apa-apa mengenai perniagaan coklat ini. Mustahil Ketua Pelajar telah menjalankan perniagaan coklat secara black market, jual coklat je pun padahalnya. Namun, warga sekolah tetap yakin kepada Ketua Pelajar mereka walaupun pemimpin mereka itu sering dikaitkan dengan isu salah-laku seorang skandalnya yang juga merupakan pelajar institusi berkenaan. Tak perlulah dikaitkan isu peribadi dalam hal ini, para pelajar terus berfikiran positif dan teruskan keyakinan mereka demi sekolah tercinta.

Sampailah di satu ketika,
Sekolah gempar dengan khabar angin yang mengatakan Badan Penjual Coklat telah berhutang sebanyak 42 billion coklat. Yang merunsingkan para pelajar ialah, hutang tersebut perlu ditanggung oleh sekolah, walhal Ketua Pelajar telah berjanji dan menjelaskan bahawa Badan Penjual Coklat berkenaan akan bergerak secara independent serta tiada kaitan dengan sekolah. Jika benar sekolah perlu menanggung hutang 42 billion coklat, ia merupakan beban yang sangat besar kerana pada akhirnya, para penuntut yang perlu berusaha membayarnya.

Alhamdulillah,
Ketua Pelajar berjaya meredakan kegelisahan para pelajar dengan menjelaskan bahawa keuntungan dan aset Badan Penjual Coklat lebih dari nilai hutang mereka. Menurut Ketua Pelajar juga, penjualan coklat sedang aktif dijalankan di Arab Saudi. Para pelajar senang hati, namun tetap ragu-ragu kerana kata-kata Ketua Pelajar itu tidak ada bukti. Oleh kerana sayang kepada pemimpin, mereka yakin dengan Ketua Pelajar.

Walaupun sekolah ini dikatakan bebas hutang 42 billion coklat, banyak perkara pelik telah berlaku.
Pelajar telah diperkenalkan dengan yuran tambahan iaitu mereka perlu membayar yuran 6% untuk setiap pembelian di koperasi sekolah dan kedai buku. Harga minyak di dalam sekolah juga naik, walhal harga minyak di pasaran dunia menurun. Aku pun tak tahu apa kene mengena minyak dengan pelajar sekolah, tapi korang baca je lah sampai habis.... banyak komplen pulak.... bikin panas. Hal ini menimbulkan spekulasi bahawa Ketua Pelajar sebenarnya sedang mengumpul duit untuk membayar hutang 42 billion coklat yang dicetuskan olehnya itu. Ini telah membebankan para pelajar.

Keadaan semakin tegang apabila muncul satu nama baru iaitu Joe High yang dikatakan telah mencetuskan korupsi dan mengaut keuntungan ‘atas angin’ dengan menjadi orang tengah perniagaan coklat ini.

Maka wujudlah kumpulan-kumpulan pelajar yang cuba memberontak.
Mereka cuba menuntut penjelasan tentang isu coklat di sekolah mereka. Isu ini turut menarik perhatian bekas Ketua Pelajar sekolah kerana beliau risau kedudukan Lembaga Pengawas Sekolah yang semakin dibenci pelajar. Mujurlah Pakatan Haluan Kiri Sekolah sedang melalui konflik yang mana ahli Pengawas Surau telah berpecah dan menubuhkan Gerakan Surau Baru. Kalau tidak, pastinya mereka akan menggunakan isu ini untuk menjauhkan Lembaga Pengawas Sekolah dan mengambil alih jawatan Majlis Tertinggi Sekolah, kerana isu ini isu besar.

Ahli Majlis Tertinggi sekolah cuba untuk menerangkan isu coklat kepada para pelajar sedangkan mereka juga tidak tahu apa-apa tentang butiran tentang perniagaan coklat tersebut. Tindakan mereka yang cuba menjelaskan isu yang mereka sendiri tidak jelas telah menampakkan sisi mereka yang kurang cerdik. Ahli Majlis Tertinggi sekolah dilantik berdasarkan kebolehan dan kepintaran mereka, namun sayang, kerana isu ini, mereka kelihatan tidak berpendidikan. Ada Ahli Majlis Tertinggi yang sanggup mencadangkan para pelajar untuk masak Nasi-Goreng-Susun-Timun-Ditepi-Beserta-Cili-Padi-Tak-Dibuang-Tangkai-Dan-Penyembur-Racun-Serangga-Disisi sebagai juadah tiap-tiap hari untuk langkah berjimat cermat. Ini lansung tidak masuk akal kerana para pelajar tidak diizinkan untuk memasak di sekolah dan tidak mungkin pelajar sanggup makan nasi goreng tiap-tiap hari. Ahli Majlis Tertinggi ini telah membuatkan seluruh penuntut bersatu mengutuk cara beliau berfikir. Kerana sayangkan Ketua Pelajar, Ahli Majlis Tertinggi ini sanggup berkorban dan dikutuk.


Lebih parah,
Ketua Pelajar yang selama ini mengatakan dirinya bebas rasuah telah menerima 2.6 billion coklat secara rahsia dalam beg peribadinya. Pada mulanya, dia menafikan, tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Hal ini tidak disenangi Penolong Ketua Pelajar yang cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan sekolah seterusnya menjamin kedudukan Lembaga Pengawas Sekolah sebagai Ahli Majlis Tertinggi Sekolah pada sesi-sesi seterusnya. Penolong Ketua Pelajar telah berkali-kali menasihati Ketua Pelajar supaya memperjelaskan isu coklat ini kepada para pelajar dan berlaku telus. Namun, nasihat ini sepertinya tidak diendah oleh Ketua Pelajar. Kedudukan sekolah semakin merosot dan dipandang rendah oleh sekolah-sekolah serata dunia. Nilai tukaran coklat sekolah juga semakin merudum kerana coklat sekolah ini tidak lagi sesedap dahulu.

Penolong Ketua Pelajar telah bertindak menegur Ketua Pelajar secara terbuka di sebuah majlis. Para pelajar sangat lega dengan keadaan ini kerana mereka tahu Penolong Ketua Pelajar akan terus menasihati Ketua Pelajar untuk berlaku telus dan menyelamatkan sekolah. Namun, Ketua Pelajar telah mengambil tindakan melampau batas. Beliau telah memecat Penolong Ketua Pelajar dari menjadi Ahli Majlis Tertinggi Sekolah, ini bermakna Penolong Ketua Pelajar tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan di dalam pentadbiran sekolah dan tidak berhak menegur Ketua Pelajar. Mujurlah jawatan Timbalan Ketua Lembaga Pengawas Sekolah yang disandang olehnya tidak dilucutkan, akan tetapi, ada ura-ura bahawa beliau akan dipecat dari terus menjadi pengawas sekolah.

Pada ketika ini, rombakan besar telah berlaku dalam Ahli Majlis tertinggi Sekolah. Semua ahli yang cuba menegur Ketua Pelajar telah dipecat serta-merta dan digantikan dengan ahli-ahli yang hanya pandai memuji serta melindungi Ketua Pelajar. Ketua Biro Peraturan juga telah dipecat dan diggantikan dengan yang baharu apabila beliau cuba untuk mendedahkan isu coklat pada makhamah sekolah. Kini ianya tidak lagi menjadi Ahli Majlis Tertinggi Sekolah yang membela para pelajar, tetapi ia telah bertukar kepada Ahli Fan Club Ketua Pelajar yang kerjanya hanya untuk membela Ketua Pelajar.

Akhirnya isu 2.6 billion coklat terbongkar. Ternyata memang betullah Ketua Pelajar menerima coklat-coklat tersebut secara rahsia. Alhamdulillah, Biro Pencegahan Rasuah Sekolah mengambil tindakan proaktif dan menyiasat perkata tersebut serta merta.

Mengejutkan..
Biro Pencegahan Rasuah Sekolah mengeluarkan kenyataan bahawa coklat tersebut merupakan sumbangan derma dari Timur Tengah.
Whattt??
Derma??
Are you serious derma 2.6 billion coklat?
Adakah anda tahu berapa banyak nilai 2.6 billion coklat tersebut?
Jika anda mengumpul 1 coklat setiap jam, anda perlukan 296,607 tahun untuk cukupkan 2.6 billion coklat!!
Ya, kita digalakkan untuk husnu dzon (berfikiran positif), tapi kita juga dituntut untuk berfikiran rasional dan cerdik.


Bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa,
Para pelajar bingung dengan keadaan ini. Ketua Pelajar seperti tidak sedar kesalahan diri dan tidak mahu menarik diri dari jawatan yang diberi. Pakatan Haluan Kiri Sekolah juga tidak boleh diharapkan buat masa ini, dalaman mereka juga berpecah sana sini, inikan pula nak diharapkan untuk mengepalai sekolah yang dicintai.

Okay saya ingin mengaku satu perkara..

Tolong saya, saya pelajar sekolah tersebut. :( :( :(

ps: ada antara korang pun pelajar sekolah tersebut, so, marilah kita berhuhu..



Di sebalik 'Aidil Fitri'....


“oi..”
Sani menyiku Amed.
Kedua-duanya berjalan perlahan pulang dari solat Asar.
Amed yang khusyuk memandang kabur ke bawah hanya menganggukkan kepala tanpa memandang ke arah rakannya itu.

“hmmm..” 
“termenung ingatkan keluarga ke?” 
“tulah.. rindu kot.. tak sabar nak balik puasa kat kampung” 
“aku pun.. kebetulan raya kalini kita tengah summer break”

Amed berpaling kepada Sani selepas mendengar respon sahabatnya itu. Sambil kening sebelah kanannya terangkat, Amed lalu menuturkan soalan sinis.

“ai? Pikir raya dah?”

Sani tersengih sambil berpaling kepada Amed. Matanya yang sepet itu tertutup terus oleh otot pipinya. Amed menahan gelak melihat reaksi sahabatnya itu. Seringkali Amed menyakat Sani supaya menggunakan pelayar untuk membesarkan bukaan matanya ketika berkomunikasi.

Kedua-dua sahabat itu meneruskan perjalanan. Cuaca sejuk di London membolehkan mereka menikmati perjalanan kaki, lebih-lebih lagi di akhir musim bunga kerana cuacanya sederhana, dicampur bayu sejuk meniup lembut.

Kedua-duanya terdiam seketika,

Tiba-tiba Sani mengemukakan soalan,

“Amed... Kenapa kita guna selamat hari raya aidil FITRI eh? Apa maksud dia?”




...................................................................................

KEMBALINYA KITA KEPADA FITRAH (FITRI)


Perlu kita berusaha kembali kepada FITRI untuk betul-betul menyambut perayaan Aidil Fitri ini.

Maka bergegaslah korang ke bazar Ramadhan. Kebetulan penjual murtabak kegemaran kalian pun bernama Fitri. Jangan salah faham, bukan fitri itu yang kita maksudkan.

“Setiap anak dilahirkan dlm keadaan fitrah (suci), maka kedua orang tuanyalah yg menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi.”-Hadis riwayat Bukhari & Muslim







Dalam bulan Ramadhan, kita dah lalui 3 fasa,
iaitu fasa rahmat,
fasa pengampunan,
dan fasa dijauhkan dari api neraka.

Dengan erti kata mudah, bagi mereka yang bersungguh-sungguh mencari rahmat, pengampunan, dan berusaha jauhi neraka pada bulan Ramadhan ini, insyaAllah mereka akan suci seperti bayi ketika perayaan Aidil Fitri.

Ibarat orang yang dapat jawab soalan peperiksaan dengan mudah dan yakin, pastinya dia gembira sesudah keluar daripada dewan peperiksaan. (dengan syarat jangan check jawapan dalam buku teks.. sebab buku teks mungkin salah.. ehhh)

Kerana inilah kita menyambutnya, kerana inilah kita disunahkan untuk bergembira di hari kemenangan ini (berdasarkan hadis riwayat at-Tirmidzi). Boleh bergembira, cuma perlu dizahirkan dalam bentuk yang diterima oleh islam, bukan dengan maksiat.

Elakkan bersentuhan secara berleluasa pada hari raya. Dah elok-elok menambah pahala di bulan Ramadhan, janganlah pula top-up dosa di bulan Syawal. Walaupun banyak pendapat ulama dalam hal ini, lebih molek jika kita berhati-hati dan tinggalkan sentuhan-sentuhan. Dengan cousin pun tak boleh tau! Engkau jangan nak menggatal..

Elakkan mem'badut'kan diri,
Apa itu mem'badut'kan diri?..
Ok biar saya explain..
Hari raya selalunya dikaitkan dengan kenaikan berat badan kerana kita melahap tak ingat dunia, tapi ada yang dah naik berat badan pada hari raya pertama lagi. Mana taknya, make-up pun dan dekat 10KG kat muka. Tak ke badut tu? Wangian pun perlulah dipakai dengan berhati-hati (klik sini untuk baca artikel berkaitan wangian dan wanita). Pakaian pun jangan ikut bentuk badan. Jangan pakai pakaian yang jarang-jarang, kita bukan nak menjala ikan.

Kita banyak terpengaruh dengan budaya melayu. Bukanlah salah, tapi sunnah bergembira di hari raya pun kita jadikan sayu. Takbir raya yang sepatutnya dilaungkan dengan penuh semangat kemenangan pun kita jadikan iramanya mendayu-dayu.

Itu tak termasuk lagu-lagu raya yang dimainkan secara meluas sejak pertengahan Ramadhan lagi. Bukanlah tak boleh, tetapi bagi saya, ianya tidak beberapa wajar. Ibarat kita ada tetamu yang berkunjung ke rumah kita (Ramadhan), dan beliau belum lagi pulang, tetapi kita sibuk merayakan tetamu yang belum lagi tiba (Syawal) di hadapan Ramadhan.



Persoalannya, salahkah bersedih?

Sedih juga sifat fitrah manusia,
Mukmin yang bersedih pada hari raya bukanlah kerana benci kedatangan Sang Syawal, tapi terasa kesedihan pemergian Ramadhan yang mulia. Peralihan ini pastinya.. sepasti-pastinya ditangisi para solihin.

Perginya bulan yang mana peluang mengejar syurga terbuka luas,
Perginya bulan yang mana adanya tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan qiyam ramadhan dengan niat ikhlas kerana Allah,
Perginya bulan yang mana kadar kemakbulan doa orang yang berpuasa sangat hebat,
Perginya bulan yang mana terdapat malam al-Qadr di salah satu malamnya,
Siapa tak sedih bro...

Kerana inilah ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan. Apatah lagi bila difikirkan sama ada akan dapat ketemu lagi Sang Ramadhan di tahun hadapan.

*tahan sebak*

*......*

Berita baiknya,
Ramadhan masih belum berakhir, kita masih berpeluang untuk kembali kepada fitrah. Anggaplah ini Ramadhan terakhir bagi kita jika ianya mampu meningkatkan kesungguhan untuk mendekati Allah.

Hidupkan saki-baki malam kita di bulan Ramadhan. Penuhkan malam dengan solat, tilawah, dan apa-apa amalan sahih semampu kita.

Tak perlu update kat facebook, twitter atau instagram tentang amalan kita pun amalan kita dah diperhatikan oleh Allah. Takyah  "done terawikh", "done tahajjud", "done solat tasbih 2jam", "done 30 juzuk 1 malam" bagai. Buat secara sembunyi, campak fon seketika. sorok jauh-jauh..
Buat betul-betul kerana Allah..

kalau dah baca artikel ni, share pastu tulis "done read" takpa.. ehhh


Aidil fitri..
Bukanlah hari untuk bertanding siapa yang lebih berseri..
Tidak juga saling menunjuk duit raya di poket kanan kiri..
Jauh sekali berpakaian mengikut telunjuk syaitan yang dikhuatiri..
Juga bukanlah masa untuk menambah dosa perhatikan saudari-saudari..

Berlalunya Ramadhan..
Bukanlah tudung, shawl, kebarung atau tanjak siapa yang lebih menawan..
Apatah lagi trend baju melayu hipster di pasaran, tak salah, tapi mohon nauzubillah dari aku punya pandangan.
Aidil Fitri merupakan perayaan bagi yang beriman..
Sebabtu orang dulu-dulu kata, "tak puasa pastu nak raya? jangan nak berangan."

Sunnah memakai pakaian yang terbaik, bukanlah bermaksud pakaian yang baharu semata-mata. Kalau mampu, belilah, kalau tak mampu, pakai pakaian yang paling hensem dan bersih. Kita tukar daripada menunjuk pakaian baru, kepada menunjuk diri kita yang baru.

Eh silap..
Bukan menunjuk,
Tapi memperkenalkan diri kita yang baharu. Inilah antara masa terbaik untuk kita mula menutup aurat dengan sempurna. Memperkenalkan diri kita yang telah berhijrah ke arah kebaikan kepada sanak-saudara. Manalah tahu, bila sanak-saudara kita terlihat perubahan kita, mereka akan terdetik untuk berubah juga.

"Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya"
-Hadis Riwayat Muslim

haaa.. kan dah dapat double pahala?


.......................................................................

“Amed?” 
“Apa lagi?” 
“Dulu time hari raya, para sahabat saling mendoakan satu sama lain, ko tahu doanya?" 
“tahu, تَقَبَّلَ اللّهُ مِنَّا وَ مِنْكُم.. Maksudnya secara simple.. moga Allah menerima ibadahmu dan ibadahku”
Serentak, mereka perlahan-lahan bertukar sebak..
Menghayati doa para sahabat Rasulullah saw,
Bukan hanya mengkagumi..
Tetapi mereka terfikir..
Kalau sahabat yang ibadahnya tidak tertanding pun berdoa sedemikian rupa..
Dengan secalit ibadah yang kita ada..
Jika tidak diterima Sang Pencipta,
bukankah kita binasa?

Saya tinggalkan dengan sebuah hadis..

“Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir.”
-Hadis Riwayat Tabrani

HOT POST!!