Teme's GANG

Perisai Agama..

Agama ini umpama senapang...

Kenapa? Aku akan sambung puisi ini di penghabisan artikel.




...................


Masing-masing berebut Rasulullah ﷺ,

Aku bukanlah syabab yang berjubah setiap masa,
Aku suka berpakaian kasual. Aku akan pakai baju berkolar dan seluar jeans bila masanya sesuai. Ada kalanya pula aku berjubah, juga bila masanya sesuai. Biarlah ada pihak yang sibuk berdebat sama ada ianya sunnah jibiliyah (amalan sesuatu kaum) atau sunnah tasyri'iyah (amalan yang diperintahkan). Aku memakai dengan niat untuk aku manifestasikan cinta pada Rasulullah . Tidak berjubah bukanlah bermakna tidak cintakan Rasulullah , jubah bukanlah tiket ke syurga. Flexible, gaya hidup begini memberi aku peluang untuk mendapat kenalan yang ramai, bukan hanya daripada satu golongan sahaja.

Ya,
Aku juga berkawan dengan mereka yang rasakan diri mereka ‘jauh’ daripada menjadi orang baik-baik, mereka rasakan diri mereka jahat dan mereka selesa begitu. Ada juga yang sengaja menjauhkan diri dari agama. Aku tidak memberi ancaman neraka kepada mereka, tidak juga mengeluarkan hukum haram menjauhkan diri daripada Tuhan yang akhirnya akan menjauhkan lagi seorang hamba dengan Penciptanya. Sebaliknya, aku bertanya akan sebab-sebabnya. Dan apabila ditanya mengapa mereka menjauhkan diri dari agama, rata-rata mereka memberi jawapan serupa,

“Aku tak tahu ‘Islam’ jenis yang mana yang betul untuk diikut, serabut”

Aku keliru pada awalnya, kerana pada aku, hakikinya Islam ini hanyalah satu, mana ada lain-lain. Aku cuba buka minda, membayangkan diri aku sendiri berada ditempat mereka. Melihat keadaan negara majoriti islam sendiri sebagai contoh, iaitu negara kelahiran aku, Malaysia. Aku melihat dari luar, sebagai pelajar Malaysia yang belajar di negara jauh, di negara bukan majoriti Islam.

Dari politik, hinggalah ke pentas-pentas dakwah,
Islam ini dikoyak-koyak dan ditampal-tampal mengikut ukuran sedap ‘baju’ masing-masing. Ada yang mamperjuangkan bangsa, digunakan hujah Rasulullah sebagai paksi perjuangannya. Ada juga yang memperjuangkan exclusivity Islam, juga mengheret sandaran-sandaran kepada Rasulullah sebagai penghalal usaha. Ada juga satu golongan lagi yang membawa pendekatan Islam yang berkawan dengan semua orang, juga menuntut menjadi pejuang politik mesra sunnah yang sebenar. Ada juga yang laungkan takbir di akhir gejala maksiat, sebagai syarat mengislamikan amalan. Rakyat keliru, rakyat menyampah, rakyat semakin ‘malas’ dengan Islam yang banyak versi.

Semua pihak mula menggunakan Rasulullah sebagai hujah mereka.
Jangan salah tafsir, aku sangat menyokong usaha menggabungkan nilai islam dalam segala aspek kehidupan. Tetapi, aku sangat tidak bersetuju dengan tindakan menggunakan sunnah yang telah diputar-belit sebagai ‘perisai’ untuk segala keputusan kita. Sewajarnya sunnah itu difahami, lalu disusuli dengan gerak-geri. Bukanlah tindakan didahulukan, kemudiannya menampal mana-mana hujah sunnah supaya ianya kelihatan islamik.

Malangnya, perkara ini bukan dilakukan oleh orang jahil agama, tetapi orang yang tahu selok-beloknya, iaitu orang yang berilmu dalam agama.

Beginilah,
Sebagai student architecture, aku bagi anologi mudah berkaitan bangunan,
Kita semua tahu, golongan yang arif berkenaan perihal bangunanlah yang mampu membina sesebuah bangunan bukan? Janganlah kita lupa, seseorang yang arif berkenaan bangunan jugalah yang mampu meruntuhkan bangunan. Mereka ini tahu di mana terletaknya tiang utama yang merupakan kekuatan bangunan tersebut dan boleh memanipulasikan reka bentuk, atau dengan mudah mereka boleh meletupkan tiang utama untuk meruntuhkan bangunan berkenaan.

Apakah kaitannya dengan agama?

Begini, aku wujudkan anologi baru,
Ada dua orang pemuda, berserban, berkopiah, bawa quran, dan masing-masing berzikir tak henti-henti. Kedua-dua Sheikh A dan Sheikh B ini berjalan menuju ke kedai makan untuk mengisi perut. Sampai di kedai, kedua-duanya duduk di meja makan yang sama, memesan makanan yang serupa iaitu chicken chop. Mereka pun makan.

Selesai makan, kedua-duanya mengucapkan alhamdulillah.
Tiba-tiba, Sheikh B bersuara.
“Mamak! Tambah lagi satu chicken chop!”
Sheikh A sedikit terkejut dengan keputusan Sheikh B untuk menambah makanan, kerana makanan yang dimakan tadi sudah sangat mengenyangkan baginya. Sheikh A melihat Sheikh B menghabiskan makanan pinggan ke-2 dengan penuh perasaan ingin tahu. Lalu Sheikh A bertanya.
“Wahai Sheikh B, bukankah Rasulullah menggalakkan kita berhenti makan sebelum kenyang?”
Sheikh B menjawab,
 “Wahai Sheikh A, pembaziran adalah dilarang dalam Islam, maka berilah aku habiskan makanan ini dahulu. Lagipun, hadis yang dikemukakan olehmu tadi dhaif, sanadnya lemah”
Sambil mengangguk, Sheikh A akur akan kata-kata Sheikh B itu kerana ia ada kebenarannya juga. Tetapi jauh disudut hatinya dia rasa ada perkara yang tak kena. Seketika kemudian, Sheikh B pun berjaya menghabiskan makanan sambil diperhatikan Sheikh A. Tiba-tiba, Sheikh B bersuara lagi,
 “Mamak! Tambah satu lagi chicken chop!”
Sheikh A tersentak dan sedikit marah, lalu dia bertanya,
“Wahai Sheikh B, apakah ini? Bukankah Islam mengajar kita bersederhana dalam semua hal? Kenapa sampai 3 pinggan ni?!”
Maka Sheikh B pun menjawab,
“Bukankah yang ganjil itu sunnah Rasulullah? Aku terpaksa makan 3 pinggan untuk menepati sunnah..”

Pengajarannya, akan wujud manusia di dalam dunia ini yang akan menggunakan hujah agama untuk menghalalkan tuntutan nafsunya. Hujah mereka sahih, tetapi konteksnya batil. Dengan bantuan Allah, agama ini akan dijulang oleh mereka yang berilmu tentang agama. Tetapi, mereka yang berilmu agama jugalah yang berpotensi menghancur dan mengelirukan agama mengikut kehendak mereka.
Sedihnya, aku nampak jelas ianya berlaku dalam kalangan kita, dalam kalangan pemuda,
Aku doakan, moga aku, dan pembaca kalian dijauhkan dari wabak ini.

Sekarang ni,
Baca betul-betul, korang dah semakin menghampiri point utama aku.. heh heh heh..

Dilema ini berlaku terutamanya dalam kalangan ‘budak baru nak up’ dalam agama, aku pun termasuk sama.

Kekeliruan dalam kalangan ‘pendakwah muda’.
Bila terlampau nak dikenali sebagai ‘Islamic icon’, seseorang ‘pendakwah’ akan mula kaitkan segala aktiviti hidupnya dengan hujah islam. Baguslah kalau kita nak satukan islam dengan kehidupan seharian kita. Tetapi, yang jadi masalahnya, apabila seseorang pendakwah itu tidak mahu kelihatan ‘tidak alim’ dan mula menghalalkan semua gerak-geri naluri manusianya. Hiburan misalnya. Tidak salah hiburan dalam islam jika ianya bertetapan dengan syaratnya. Tetapi ada yang post gambar berkaraoke campuran lelaki-perempuan di instagram, pastu buh caption “pertemuan bersama sahabat ini Allah yang aturkan”. Aduhhh... Nampak tak permainan dia?
*tepuk dahi*
Ada juga yang kata main video game bagus. Kononnya ia amalan yang menjurus ke arah qawiyyul jism dan boleh menjulang nama islam di persada dunia.
*tepuk dahi*
Nak main game, main je lah. Hukumnya harus kalau tidak melebih-lebih. Tapi takyah lah nak ‘islamic-kan’ sangat.. Nampak macam desperado. Nampak macam kita takut manusia tak lagi gelar kita ‘islamik’.

Haaa...
Dah mula faham apa yang aku nak sampaikan? Alhamdulillah...

Hinggakan sampai ke tahap ada yang mengatakan tidak mengapa berdakwah dengan menggunakan wasilah menggoda. Kononnya agar mad’u (golongan yang didakwah) tertarik dengan agama. Diputar-putarkan tengkuk sunnah Baginda dan hujah Islam mengikut nafsu dirinya. Begitu murah agama ini jika kita tidak faham yang dakwah itu untuk Allah. Bukan untuk menghalalkan perangai kita, bukan juga untuk ‘nama’ dan populariti. Ini semua susulan dari fenomena yang saya telah ceritakan dalam artikel terdahulu.

Ekorannya, mereka yang seakan-akan ‘jauh’ dari agama akan semakin menjauhi agama kerana wabak ini. Mereka keliru nak ikut yang mana satu. Sebelah sini memetik surah An-Nur ayat 31 untuk mengajak golongan yang didakwahnya menundukkan pandangan. Sebelah sana pula mengatakan kita perlu pakai makeup tebal-tebal agar dapat menarik golongan didakwah. Contohnya poster yang saya terjumpa di twitter ini:

“Rendahnya martabat daie sampai disamakan dengan model Victoria Secret!”-Akhi Inche Gabbana

Virus ini bukan sahaja menular dalam kalangan para pendakwah wanita, tetapi da’ie (pendakwah) lelaki juga tidak terkecuali.

Aku sangat bersyukur jikalau kalian yang dahulunya mengikuti perkembangan perkara-perkara lagha, poster artis penuh di dinding, wallpaper One Direction kat phone (jangan bash.. LOL), kini berubah kepada mengikuti perkembangan islamik dari individu-individu 'islamik' tertentu.

Tidak salah menjadikan seseorang sebagai idola, kerana mungkin Allah berikan hidayah kepada kita melaluinya.
TETAPI,
Bukanlah fitrah agama untuk mengikut seseorang ‘individu’ secara membuta tuli,
Terutamanya jika seseorang itu terkenal dengan perangainya yang fasik, kita disuruh untuk mengkaji dahulu sebelum menerimanya maklumat daripadanya,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” –Al-Hujurat ayat 6.

“Teme, berhati-hati dalam belajar agama. Perhatikan sumber, perlu lihat juga penyampainya. Bimbang jikalau kita tersesat, susah nak patah balik, kerana ia dah mempengaruhi fikrah (cara berfikir) kita” -Guru

Aku pegang kata-kata itu sehingga kini,
Taknak jadi seperti lembu,
Kalau kalian berterusan berdegil nak jadi lembu, rasa selesa dicucuk hidung dan diheret ke mana-mana termasuklah ke arah binasa, teruskanlah, aku tiada hak memaksa..
Hak me’lembu’ juga hak bersama.
Tapi aku lebih gemar menjadi manusia yang sihat akalnya..

Tak semua perkara kita boleh islamic-kan, kadang-kadang kita perlu rendahkan ego dan terus tinggalkan.

Aku sedar ramai yang kata aku ni pelajar architecture, tak layak bicara soal agama..
Sedangkan pelajar ilmu dunia pun berhak belajar agama, kami pun nak masuk syurga,
*flips beard*
Aku tidak mengeluarkan hukum, aku lontarkan kritikan sosial kerana agama ini Tuhan aku yang punya, aku taknak dipersoalkan kelak.
Yang dah boleh mula belajar senyap ialah mereka yang google-google sahaja sebagai pengisi masa lapang selepas SPM, lepastu merasa dirinya bertaraf mufti dunia.
Hentikanlah diri anda sebelum menjadi lebih bahaya.

Tolong, aku merayu,
Kepada umum, termasuk pujukan kepada diriku sendiri,
Belajarlah basic agama, kalau tak mampu ke madrasah pun, bukalah ceramah-ceramah di youtube, jangan nanti kita dipersoal oleh Allah kerana cetek ilmu agama sedangkan kemudahan telah terhidang di depan mata,
Ini bukanlah untuk kepentingan aku, ianya untuk kepentingan kita bersama di zaman fitnah ini,
Aku tak sanggup dah tengok generasi aku menghancurkan agama sendiri.
Hinggakan jika kalian nak join jemaah pun, belajarlah agama dahulu kalau nak selamat, agar kalian dapat menilai intipati islam pada jemaah seperti fitrah islam yang sebenar. Bukan islam versi yang diajarkan oleh jemaah kalian.
Moga-moga kita semua boleh berdikari.

Dah.. cukup..
Aku sayang kalian kerana Allah.



..........................................
Agama ini umpama senapang,
Ilmunya boleh dipelajari, dikuasai, dan dimiliki oleh sesiapa.
Penguasaannya tidak mengenal usia,
Boleh menyelamatkan dunia dan akhirat kita,
Boleh membantu kita ‘menembak’ ancaman-ancaman yang membawa ke neraka,

Agama ini umpama senapang,
Ilmunya boleh dipelajari, dikuasai, dan dimiliki oleh sesiapa.
Ada kalanya ia jatuh ke tangan yang merbahaya,
Akan ditembak sesuka hati merata-rata,
Digunakan untuk kepentingan diri sendiri sesuka nafsunya,
Ia tidak lagi menjadi penyelamat, tetapi fitnah kepada agama,

Agama ini umpama senapang,
Tidak mustahil anda juga ada,
Tetapi, jika anda sedar bahawa anda berpotensi meledakkan pelurunya mengikut nafsu durjana,
Maka aculah senapang pada cermin, binasakan nafsu sebelum ia berleluasa.

-Teme Abdullah, 6 Oktober 2015.

17 comments:

  1. 1st comment!
    Teme antara penulis yang berjaya buat aku rasa macam penulis tgh bercakap dgn aku depan2.. tahniah!!

    walaupun bahasa tegas, ia tetap melembutkan hati :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. penulisan teme ni aku guna utk latih minda utk academic writing. hahaha

      Delete
  2. Apa pandangan temer tentang pendakwah yang kata selfie pun wasilah dakwah?

    hehehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. wasilah utk digilai wanita & kutip duit dari peminat. hahaha
      kbai..

      *hak bersuara*
      *teme jgn delete cmnt ni*

      Delete
  3. Terkena dengan diri.
    Sebagai........yang mula menjauhkan diru dari golongan mereka yang beragama, dan juga sebagai....yang kononnya seorang islamik.

    Tq bro. Kipidap. Dongibap.

    Moga redha Allah ke atas kamu dan yang membaca.

    ReplyDelete
  4. Penulisan dah semakin matang. 👍
    Jangan leka dengan pujian.

    ReplyDelete
  5. akhirnya ada hujah untuk tegur orang keras kepala walaupun berilmu

    ReplyDelete
  6. Excellent article! A true eye-opener. A+++++++++++++

    ReplyDelete
  7. Saya suka.. Cocok sama kasus saya di kampus (y)

    ReplyDelete
  8. 👍👍👍👍👍👍

    ReplyDelete
  9. indeed an eye opener.

    ReplyDelete
  10. im your new fan! membaca entri teme membuatkan yang jauh jadi dekat, pendekatan yang berbeza. takde kaitan budak kelas apa dengan agama! hakak pun chem engineering, takkan takleh beragama? itu kata-kata orang takde ilmu. =) going to be here following u. singgah blog akak yang tak seberapa. blog buat suri2 di rumah, juga ada menyampaikan "la tahzan buat wanita yang berduka".

    http://panduanwanitabekerjadirumah.blogspot.my/

    ReplyDelete
  11. exactly..teme .. ini namanya menjual agama untuk kehidupan..

    ReplyDelete
  12. Sangat suka cara penulisan teme , terus terang saya ckp , artikel tarbiyah memang dah melambak dekat facebook , twitter dan lmn media sosial yang lain . But , kebanyakan ikut trend dan mostly sentap sentap . Tapi penulisan di sini sgt lembut dan tenang . Keep it up the good work .YNWA :)

    ReplyDelete
  13. Thank you...

    ReplyDelete
  14. Mcm aku yg selalu brckp dgn diri aku.:)
    I'm not alone.dekat skolah dulu, ustaz saya selalu ckp program tv yg brunsurkn islamik ni merapu(daie2) sebb ustz kata org yg btul2 fhm agama tak akn buat mcm ni.ustz kata progrm tu dibuat utk kaut keuntungn ja.Dan ustz bwk kluar ayt yg sama Al-quran dgn teme bwk kluar.Aps yg ustz saya ckp tu mmg gnggu fikirn saya.Program islamik yg org puja2 tu x betul.biaq btoi ustz ni!.well, bila dh mkin besar, mkin fhm skit2 soal agma.baru nmpk pro n kontra dia.mmg msyrkt sukakn program baik mcm tu but progrm mcm tu mcm angin yg lalu ja.tpi kbaiknnya isi pnympaian mereka padat dgn ilmu dan pngjrn.tapi soalnya disini, brapa ramai yg akn sedar btapa hebatnya golongn penunggng agama memanipulasi msyrkt shingga mreka x sedar, mreka ditipu.benarlah akhir zaman ini penuh fitnah.semoga kita mmpu hindrkn diri dri fitnah2 tersebut.Aaminn.

    ReplyDelete

Hai. It's me, Teme. I'm sorry if you have to go through word verification before posting comment(s). I received tonnes of spam comments lately. I had to turn the word verification on 😕. I'm sorry. Jangan jemu untuk komen tau!

HOT POST!!