Teme's GANG

Taubat dari gereja..

Baca sampai habis bagi mengelakkan muncul spekulasi yang mengatakan aku sesat dan dah mula berminat dengan ajaran Kristian.




Pernah tengok movie barat? Pernah tengok scene dalam gereja? Pernah masuk sendiri ke dalam gereja?

Kalau korang tak pernah tahu, biar aku cerita.
Aku student yang menuntut ilmu di sebuah negara barat. Banyak kali dah masuk gereja atas sebab-sebab yang tak perlu aku huraikan. Bukan aku nak berbangga berpeluang masuk ke  gereja banyak kali, tapi aku nak cerita pasal satu objek dalam gereja. Sebuah kotak.

Confession box atau confessional,
Ini nama kotak tersebut. Itu nama sebenar, bukan nama samaran seperti Teme Abdullah, ehh..
Kotak ini ada hampir di setiap gereja yang aku masuk, aku konklusikan, mungkin ini adalah objek yang penting dalam sesebuah gereja. Bukan kecik macam kotak yang selalu kucing korang main tu, ini kotak besar punya, sekurang-kurangnya muat 2 manusia pada satu-satu masa. Seiring dengan namanya yang bermaksud 'luahan' (confession), di dalam kotak ini akan ada seorang paderi menunggu luahan manusia tiap-tiap hari.

Apa yang berlaku dalam kotak?
Kucing akan masuk dan bermain dengan bebola benang.. Okay jangan percaya. Dalam kotak ini berlakunya luahan mereka yang berdosa kepada paderi-paderi. Bukan luahan rasa terpesona dan cinta kepada paderi, tetapi luahan dosa. Bagi penganut kristian yang ingin bertaubat, mereka perlu menceritakan segala dosa dan pengalaman hitam mereka kepada paderi dalam kotak tersebut. Sama ada mereka pernah berzina, bunuh orang, mencuri, atau apa-apa dosa sekalipun, mereka perlu luahkan kepada paderi yang bertugas di dalam kotak ini.

Apa paderi akan buat lepas dengar luahan pendosa?
Paderi akan bercakap dengan nada yang lantang, "Akulah sailormoon! Dengan kuasa bulan, akan menghukum mu!".. Bukan, jangan percaya. Sebaliknya, paderi akan menceritakan tentang pengampunan tuhan (tazkirah sikit kot) dan dengan ‘kuasa’ yang mereka ada, mereka akan mengampunkan si pendosa. Maka pendosa pun suci dalam debu. Menarik bukan?

Melalui kotak ini,
Aku dapat mentadabbur & ternyata ianya kotak yang menyedarkan aku,
Kerana melaluinya aku nampak keindahan islam,
Aku nampak kasih sayang Allah pada hambaNya walaupun hamba yang berdosa,
Aku nampak yang pengampunan & sifat rahmat Allah ini jauh lagi besar dari kemurkaanNya.

Jangan stop baca sampai sini, teruskan lagi, nanti salah faham.



Kita berbeza dengan kristian,
Dalam islam, walaupun kita berdosa, kita wajib rahsiakan, bertaubat, dan memohon pengampunan daripada Allah semata-mata. Meskipun kita pernah minum arak dan tak pernah sekali pun terkantoi dengan pihak agama, kita tak perlu mengaku pada ustaz untuk terima hukuman sebatan. Sebaliknya kita hanya perlu bersendirian memohon ampun pada Allah dan berazam dengan bersunggh-sungguh untuk tidak mengulanginya. Tak perlu cerita pada orang lain. Istimewanya kita orang islam, kita boleh memohon ampun direct daripada Pencipta kita sendiri, tak perlu pengantara.

Buat dosa tapi tak terkantoi. Bukan Allah tak murka, tapi Allah nak beri peluang taubat kepada kita.

Betulke takyah mengaku kesalahan di hadapan manusia?
Melainkan dosa kita itu melibatkan manusia lain, kita wajib rahsiakan dan jangan luahkan pada sesiapa. Maksudnya, jika dosa kita itu merupakan penganiayaan terhadap orang lain (contohnya pemerintah yang menipu rakyat ke.. nasib baik malaysia bebas dari isu ni), wajiblah kita memohon maaf pada orang yang teraniaya tersebut. Jika dosa tersebut hanya kita dan Allah sahaja yang tahu, kita hanya perlu memohon ampun dan luahkan kepada Allah. HARAM untuk kita ceritakan kepada kawan-kawan mahupun ustaz sekalipun.

Rasulullah saw pernah bersabda: "Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang bermujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa tersebut, kemudian dia berkata: "Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu." (Menceritakan dosanya kepada orang lain). Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tapi pada pagi hari dia telah membuka sendiri akan dosa tersebut." -Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Allah sayang pada hambaNya,
Kalau kita lah, kalau orang buat jahat pada kita, kita akan marah dan akan timbul perasaan ingin balas dendam walaupun orang tu mintak maaf. Contohnya kalau ada orang merogol anak kita, pastu dia mengaku kepada kita sendiri. Walaupun dia dah mintak maaf, tetap timbul perasaan ingin laporkan kepada polis untuk pesalah dikenakan hukuman (Aku ni sembang macam dah ada anak). Allah tak macam tu, Allah Maha Pengampun, walaupun kita menghadapNya dengan berbillion-billion dosa sekalipun, dengan syarat kita betul-betul bertaubat, Dia akan ampunkan. Tak perlu cerita pada manusia lain tentang dosa kita, kerana Allah taknak kita malukan diri sendiri. Inilah bezanya Allah dengan ‘tuhan agama kristian’.

Nampak tak?
Walaupun kita berdosa, walaupun kita dah buat Allah murka, Dia tetap pentingkan kita dan taknak malukan kita. Allah taknak kita buka aib kita. Sayangnya Allah pada kita.. Sayangnya Tuhan kepada hambaNya, meskipun yang berdosa, meskipun kita buat dia murka berulang-ulang kali.
*kesat air mata*

Kerana inilah terdapat hukuman qazaf bagi sesiapa yang mengaku pernah melihat individu muslim berzina tanpa membawa bersama 4 orang saksi yang sah yang melihat dengan jelas aktiviti tersebut. Sekali pandang nampak macam islam nak membela pendosa kan? Masa aku belajar Pendidikan Agama Islam untuk PMR dulu, sejujurnya, timbul ragu-ragu pada hukuman qazaf ini kerana kejahilan aku sendiri. Menurut fikiran aku "Kenapa takleh report pulak? Takkan kita nak buat amar makruf nahi munkar pun salah? Takkan nak kena ada 4 orang saksi baru boleh jatuhkan hukuman? Takkan orang itu dibenarkan bebas tanpa hukuman kot?". Itu dulu. Dulu aku ingat islam ini agama untuk menghukum, tapi sekarang aku sedar yang islam itu lebih kepada ampun. 
Kalau nampak orang buat dosa, tegur dia on the spot, beri amaran, suruh dia bertaubat, dan yang paling penting, jangan ceritakan dosa dia pada orang lain. Itu urusan dia dengan Allah, kita dah jalankan tanggungjawab kita. Maksudnya di sini, kalau kita nampak orang buat dosa, hentikan serta merta! Jangan lari dari situasi dan report kat orang lain. Cara islam ialah mencegah, bukan menghukum.


"Tapi Teme, aku dah berzina 10 kali, minum arak berbotol-botol, Allah nak ke terima taubat aku?"

Saudara,
Walaupun dosa anda setinggi langit sekalipun, jika anda rendahkan ego dan memohon ampun pada Allah, Allah akan ampunkan.

Dari Anas bin Malik RA dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku akan Aku ampunkan apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak peduli, wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi langit, kemudian engkau meminta keampunan kepada-Ku akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” -Hadis Riwayat Tirmidzi

"Tapi aku bukan sahaja buat dosa. Lepas aku bertaubat, aku buat dosa lagi. Berulang-ulang aku buat dosa"

Lihatlah keadaan kau sekarang, masih bernyawa ke tidak?
Kalau masih bernyawa, selagi itulah kau boleh bertaubat. Inilah antara sebab kenapa Allah masih kurniakan nikmat bernafas kepada kita, untuk bagi chance kita bertaubat walaupun dosa itu berulang-ulang dan sebesar Gunung Everest. Jangan pandang rendah pada sifat Maha Pengampun Allah, pengampunanNya tiada limit, tiada quota.

“Ada seorang hamba yang berbuat dosa lalu dia mengatakan ‘Allahummagfirliy dzanbiy’ [Ya Allah, ampunilah dosaku]. Lalu Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah berbuat dosa, lalu dia mengetahui bahwa dia memiliki Rabb yang mengampuni dosa dan menghukumi setiap perbuatan dosa’. (Maka Allah mengampuni dosanya), kemudian hamba tersebut mengulangi lagi berbuat dosa, lalu dia mengatakan, ‘Ay robbi agfirli dzanbiy’ [Wahai Rabb, ampunilah dosaku]. Lalu Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah berbuat dosa, lalu dia mengetahui bahwa dia memiliki Rabb yang mengampuni dosa dan menghukumi setiap perbuatan dosa’. (Maka Allah mengampuni dosanya), kemudian hamba tersebut mengulangi lagi berbuat dosa, lalu dia mengatakan, ‘Ay robbi agfirli dzanbiy’ [Wahai Rabb, ampunilah dosaku]. Lalu Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah berbuat dosa, lalu dia mengetahui bahwa dia memiliki Rabb yang mengampuni dosa dan menghukumi setiap perbuatan dosa. Beramallah sesukamu, sungguh engkau telah diampuni.” -Hadis Riwayat Muslim


Fahami betul-betul apa yang aku tulis seterusnya ini, kerana ianya seriously deep,

Sememangnya dosa itu buruk dan wajib dijauhkan,
Tetapi memohon ampun selepas dosa itu yang terbaik,
Mengulangi dosa selepas bertaubat itu buruk dan tak patut dilakukan,
Tetapi, kembali bertaubat selepas tidak sengaja mengulangi dosa itu lebih baik dari taubat yang pertama,



Ya..
Umumnya kita semua tahu yang kita punyai Tuhan yang Maha Pengampun. Tapi sedikit saja dalam kalangan kita yang benar-benar memohon ampun. Dan ramai antara kita yang mengambil kesempatan melakukan dosa dengan alasan “Alah takpa.. Allah kan maha pengampun”, jangan cabar Allah wahai saudara. Segerakan bertaubat.

Sekarang aku nak tanya,
Berapa ramai antara kita yang benar-benar pernah berdoa supaya diampunkan dosa sampai terzahir dalam bentuk tangisan penyesalan & pengharapan? Tepuk dada, tanya iman. Meminta ampun ini mudah, tetapi hakikatnya ramai antara kita yang menangguhkan sehinggalah segalanya terlambat.

Tidak mustahil ada manusia yang lakukan dosa yang lebih besar daripada kita, tetapi dia lagi suci di sisi Allah kerana sering memohon ampun. Mungkin kita yang kononnya buat dosa 'ringan-ringan' pula lebih hina pada pandangan Allah kerana kesombongan kita untuk memohon ampun. Tambah lagi teruk jika kita menghina pendosa-pendosa lain dan menganggap diri kita lebih baik.

Luahkanlah pada Allah,
Tika kau bersendirian, menangislah, luahkan kepadaNya dan memohon ampun dengan bersungguh-sungguh.
Kalau kepada ibu bapa kita boleh mengadu, inikan pula Tuhan yang menciptakan kita. Dia tunggu dan sentiasa menunggu kita merintih kepadaNya.
Inilah namanya bermunajat. Allah pernah khabarkan kepada Rasulullah saw, bahawa jika ada hambaNya yang perlukan Dia, maka jawablah kepada hamba itu bahawasanya Allah itu dekat dan sentiasa ada bersama kita.

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat..." -Surah Al-Baqarah ayat 186 

Walaupun Allah murka dengan dosa kita, percayalah, rahmat dah kasih sayangNya jauh lebih besar dari kemurkaanNya. Luangkan masa berkualiti dengan Pencipta syurga & neraka, kerana kelak kita akan memasuki salah satu daripadanya. Gunakanlah peluang ini sebaik-sebaiknya untuk ke syurga.

Ingat,
Allah sayang sangat-sangat pada kita,
Kita jangan berputus asa daripada rahmat & pengampunanNya.

"Katakanlah "wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"" -Surah Az-Zumar ayat 53

Kisah Coklat....




Hikayat bermula begini,

Ada sebuah sekolah di negeri Sekatiengkorang. Sekolah ini sekolah luar bandar, boleh juga dikategorikan sebagai sekolah pedalaman kerana kehadiran sekolah ini tidak disedari oleh sekolah-sekolah hebat di kawasan berhampiran. Maklumlah, sekolah yang belum lagi mempunyai banyak pencapaian, setahun jagung, dan penuh dengan aktiviti-aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat kepada pelajar-pelajar.

Seperti biasa,
Apabila pelajar tingkatan 5 menghampiri hari-hari terakhir persekolahan mereka, pelajar tingkatan 4 akan dilantik untuk menerajui jawatan-jawatan penting dalam sekolah dan menggantikan posisi pelajar tingkatan 5. Ketua Pelajar baru, Penolong Ketua Pelajar baru dan Ketua-Ketua Biro baru telah dilantik. Mereka telah mengangkat sumpah seperti yang ditradisikan oleh para teraju pelajar yang terdahulu.

Dipendekkan cerita,
Semasa Mesyuarat Agung Majlis Tertinggi sekolah, Ketua Pelajar yang baru dilantik telah berjanji akan menaikkan nama institusi tersebut di persada dunia. Ketua Pelajar berjaya menyuntik semangat Ahli Majlis Tertinggi dan beliau juga telah mengusulkan satu perniagaan coklat untuk membiayai kos pembelajaran para penuntut. Tindakan ini juga dikatakan dapat mengukuhkan kedudukan Lembaga Pengawas sekolah dari kemungkinan revolusi yang dicetuskan oleh Pakatan Haluan Kiri Sekolah (yang terdiri daripada Pengawas Perpustakaan, Pengawas Surau & Pengawas Koperasi). Seorang Ketua Biro telah bertanya kepada Ketua Pelajar.

“Abang Long Kawasan, apakah yang Abang Long Kawasan maksudkan dengan perniagaan coklat tersebut? Apakah jenis coklat yang akan diperdagangkan? Bagaimanakah strategi pemasarannya? Coklat itu akan dijual di mana? Adakah kita akan jual coklat tersebut di sekolah-sekolah lain juga? Bagaimana jika kita rugi?”

Maka Ketua Pelajar pun menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut dengan ringkas,

“Kita jual coklat ini untuk kepentingan para pelajar, hal-hal berkaitan perniagaan coklat ialah rahsia ahli lembaga penjual coklat. Usah risau, Badan Penjual Coklat ini akan bergerak secara independent dan tak akan menjahanamkan sekolah kalau ia rugi”

Dengan penuh rasa hormat dan patuh kepada Ketua Pelajar, Ahli Majlis tertinggi pun menerima jawapan ketua mereka dengan penuh keyakinan dan harapan untuk membantu para pelajar dengan hasil perniagaan coklat ini. Semuanya gembira dengan idea bernas dari kepala otak Ketua Pelajar mereka.




Berbulan-bulan berlalu,

Perniagaan coklat yang sedang dijalankan dikhabarkan telah banyak keuntungan. Tetapi, yang anehnya, tiada seorang pelajar pun yang pernah melihat jualan coklat di dalam atau luar kawasan sekolah. Keuntungannya pula tidaklah dirasai pelajar, kehidupan mereka sama seperti keadaan dulu yang mana perniagaan coklat belum pun bermula. Kemanakah perginya keuntungan yang diperkatakan?

Lebih menghairankan lagi,
Ahli Majlis Tertinggi Sekolah pun tidak tahu apa-apa mengenai perniagaan coklat ini. Mustahil Ketua Pelajar telah menjalankan perniagaan coklat secara black market, jual coklat je pun padahalnya. Namun, warga sekolah tetap yakin kepada Ketua Pelajar mereka walaupun pemimpin mereka itu sering dikaitkan dengan isu salah-laku seorang skandalnya yang juga merupakan pelajar institusi berkenaan. Tak perlulah dikaitkan isu peribadi dalam hal ini, para pelajar terus berfikiran positif dan teruskan keyakinan mereka demi sekolah tercinta.

Sampailah di satu ketika,
Sekolah gempar dengan khabar angin yang mengatakan Badan Penjual Coklat telah berhutang sebanyak 42 billion coklat. Yang merunsingkan para pelajar ialah, hutang tersebut perlu ditanggung oleh sekolah, walhal Ketua Pelajar telah berjanji dan menjelaskan bahawa Badan Penjual Coklat berkenaan akan bergerak secara independent serta tiada kaitan dengan sekolah. Jika benar sekolah perlu menanggung hutang 42 billion coklat, ia merupakan beban yang sangat besar kerana pada akhirnya, para penuntut yang perlu berusaha membayarnya.

Alhamdulillah,
Ketua Pelajar berjaya meredakan kegelisahan para pelajar dengan menjelaskan bahawa keuntungan dan aset Badan Penjual Coklat lebih dari nilai hutang mereka. Menurut Ketua Pelajar juga, penjualan coklat sedang aktif dijalankan di Arab Saudi. Para pelajar senang hati, namun tetap ragu-ragu kerana kata-kata Ketua Pelajar itu tidak ada bukti. Oleh kerana sayang kepada pemimpin, mereka yakin dengan Ketua Pelajar.

Walaupun sekolah ini dikatakan bebas hutang 42 billion coklat, banyak perkara pelik telah berlaku.
Pelajar telah diperkenalkan dengan yuran tambahan iaitu mereka perlu membayar yuran 6% untuk setiap pembelian di koperasi sekolah dan kedai buku. Harga minyak di dalam sekolah juga naik, walhal harga minyak di pasaran dunia menurun. Aku pun tak tahu apa kene mengena minyak dengan pelajar sekolah, tapi korang baca je lah sampai habis.... banyak komplen pulak.... bikin panas. Hal ini menimbulkan spekulasi bahawa Ketua Pelajar sebenarnya sedang mengumpul duit untuk membayar hutang 42 billion coklat yang dicetuskan olehnya itu. Ini telah membebankan para pelajar.

Keadaan semakin tegang apabila muncul satu nama baru iaitu Joe High yang dikatakan telah mencetuskan korupsi dan mengaut keuntungan ‘atas angin’ dengan menjadi orang tengah perniagaan coklat ini.

Maka wujudlah kumpulan-kumpulan pelajar yang cuba memberontak.
Mereka cuba menuntut penjelasan tentang isu coklat di sekolah mereka. Isu ini turut menarik perhatian bekas Ketua Pelajar sekolah kerana beliau risau kedudukan Lembaga Pengawas Sekolah yang semakin dibenci pelajar. Mujurlah Pakatan Haluan Kiri Sekolah sedang melalui konflik yang mana ahli Pengawas Surau telah berpecah dan menubuhkan Gerakan Surau Baru. Kalau tidak, pastinya mereka akan menggunakan isu ini untuk menjauhkan Lembaga Pengawas Sekolah dan mengambil alih jawatan Majlis Tertinggi Sekolah, kerana isu ini isu besar.

Ahli Majlis Tertinggi sekolah cuba untuk menerangkan isu coklat kepada para pelajar sedangkan mereka juga tidak tahu apa-apa tentang butiran tentang perniagaan coklat tersebut. Tindakan mereka yang cuba menjelaskan isu yang mereka sendiri tidak jelas telah menampakkan sisi mereka yang kurang cerdik. Ahli Majlis Tertinggi sekolah dilantik berdasarkan kebolehan dan kepintaran mereka, namun sayang, kerana isu ini, mereka kelihatan tidak berpendidikan. Ada Ahli Majlis Tertinggi yang sanggup mencadangkan para pelajar untuk masak Nasi-Goreng-Susun-Timun-Ditepi-Beserta-Cili-Padi-Tak-Dibuang-Tangkai-Dan-Penyembur-Racun-Serangga-Disisi sebagai juadah tiap-tiap hari untuk langkah berjimat cermat. Ini lansung tidak masuk akal kerana para pelajar tidak diizinkan untuk memasak di sekolah dan tidak mungkin pelajar sanggup makan nasi goreng tiap-tiap hari. Ahli Majlis Tertinggi ini telah membuatkan seluruh penuntut bersatu mengutuk cara beliau berfikir. Kerana sayangkan Ketua Pelajar, Ahli Majlis Tertinggi ini sanggup berkorban dan dikutuk.


Lebih parah,
Ketua Pelajar yang selama ini mengatakan dirinya bebas rasuah telah menerima 2.6 billion coklat secara rahsia dalam beg peribadinya. Pada mulanya, dia menafikan, tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Hal ini tidak disenangi Penolong Ketua Pelajar yang cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan sekolah seterusnya menjamin kedudukan Lembaga Pengawas Sekolah sebagai Ahli Majlis Tertinggi Sekolah pada sesi-sesi seterusnya. Penolong Ketua Pelajar telah berkali-kali menasihati Ketua Pelajar supaya memperjelaskan isu coklat ini kepada para pelajar dan berlaku telus. Namun, nasihat ini sepertinya tidak diendah oleh Ketua Pelajar. Kedudukan sekolah semakin merosot dan dipandang rendah oleh sekolah-sekolah serata dunia. Nilai tukaran coklat sekolah juga semakin merudum kerana coklat sekolah ini tidak lagi sesedap dahulu.

Penolong Ketua Pelajar telah bertindak menegur Ketua Pelajar secara terbuka di sebuah majlis. Para pelajar sangat lega dengan keadaan ini kerana mereka tahu Penolong Ketua Pelajar akan terus menasihati Ketua Pelajar untuk berlaku telus dan menyelamatkan sekolah. Namun, Ketua Pelajar telah mengambil tindakan melampau batas. Beliau telah memecat Penolong Ketua Pelajar dari menjadi Ahli Majlis Tertinggi Sekolah, ini bermakna Penolong Ketua Pelajar tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan di dalam pentadbiran sekolah dan tidak berhak menegur Ketua Pelajar. Mujurlah jawatan Timbalan Ketua Lembaga Pengawas Sekolah yang disandang olehnya tidak dilucutkan, akan tetapi, ada ura-ura bahawa beliau akan dipecat dari terus menjadi pengawas sekolah.

Pada ketika ini, rombakan besar telah berlaku dalam Ahli Majlis tertinggi Sekolah. Semua ahli yang cuba menegur Ketua Pelajar telah dipecat serta-merta dan digantikan dengan ahli-ahli yang hanya pandai memuji serta melindungi Ketua Pelajar. Ketua Biro Peraturan juga telah dipecat dan diggantikan dengan yang baharu apabila beliau cuba untuk mendedahkan isu coklat pada makhamah sekolah. Kini ianya tidak lagi menjadi Ahli Majlis Tertinggi Sekolah yang membela para pelajar, tetapi ia telah bertukar kepada Ahli Fan Club Ketua Pelajar yang kerjanya hanya untuk membela Ketua Pelajar.

Akhirnya isu 2.6 billion coklat terbongkar. Ternyata memang betullah Ketua Pelajar menerima coklat-coklat tersebut secara rahsia. Alhamdulillah, Biro Pencegahan Rasuah Sekolah mengambil tindakan proaktif dan menyiasat perkata tersebut serta merta.

Mengejutkan..
Biro Pencegahan Rasuah Sekolah mengeluarkan kenyataan bahawa coklat tersebut merupakan sumbangan derma dari Timur Tengah.
Whattt??
Derma??
Are you serious derma 2.6 billion coklat?
Adakah anda tahu berapa banyak nilai 2.6 billion coklat tersebut?
Jika anda mengumpul 1 coklat setiap jam, anda perlukan 296,607 tahun untuk cukupkan 2.6 billion coklat!!
Ya, kita digalakkan untuk husnu dzon (berfikiran positif), tapi kita juga dituntut untuk berfikiran rasional dan cerdik.


Bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa,
Para pelajar bingung dengan keadaan ini. Ketua Pelajar seperti tidak sedar kesalahan diri dan tidak mahu menarik diri dari jawatan yang diberi. Pakatan Haluan Kiri Sekolah juga tidak boleh diharapkan buat masa ini, dalaman mereka juga berpecah sana sini, inikan pula nak diharapkan untuk mengepalai sekolah yang dicintai.

Okay saya ingin mengaku satu perkara..

Tolong saya, saya pelajar sekolah tersebut. :( :( :(

ps: ada antara korang pun pelajar sekolah tersebut, so, marilah kita berhuhu..



HOT POST!!