One of the untold stories from Pelukis Jalanan. Aku tak publish cerita ni dalam buku Pelukis Jalanan kerana aku tak mahu orang mula ada tanggapan negatif pada orang agama. Tetapi, akhir-akhir ini aku terasa gesaan daripada situasi sekeliling untuk berkongsi cerita sebagai pengajaran.
Bismillah.
Pada suatu hari,
Seorang Teme yang masih muda menapak keluar daripada Vauxhall Train
Station menuju ke gerbang masuk Victoria Line Underground Train Station. Dia dalam
perjalanan ke sebuah rumah ikhwah yang terletak di Finsbury Park, London. Rumah
ikhwah ialah istilah yang diberikan kepada rumah yang dijadikan tempat
berkumpul oleh budak-budak usrah. Nama lagi rumah ikhwah, majoriti penghuni
tetap rumah tersebut ialah ahli usrah.
Teme melihat pada tiket day travel pass berwarna oren kuning yang
dipegang sejak tadi. Dibeli di kaunter, harganya £8.90 sekeping. Kini wang
tunai dalam poketnya hanya berbaki £1.90. Tiket ini boleh digunakan untuk ke
mana-mana station sekitar London dalam tempoh sehari. Nilai kad ini lebih mahal
daripada belanja makan Teme untuk seminggu lebih. Beras di London murah, hanya
20p untuk setiap kilogram di Pasaraya Sainsbury pada ketika itu. Untuk lauk
pula, £1 untuk 12 biji telur ayam. Tetapi, apalah salahnya berkorban sikit
untuk bersama halaqah.