Pages

Kafir di dalam Masjid...

Catatan musafir 1
*huruf yang ditulis dalam italic(huruf senget semacam ni) merupakan terjemahan daripada perbualan bahasa asing.





Musim luruh, Oktober 2013..

Pertama kali aku jejakkan kaki pada waktu isyak di masjid berhampiran kawasan aku menetap. Ketika itu aku masih baru di kota ini, mata meliar melihat sana dan sini. Suasana asing yang tak biasa aku lalui. Biar aku ceritakan..
Masjid yang paling dekat ialah 45 minit perjalanan kaki, pintu ke pintu. Hakikat lama berjalan tidak terasa, kerana barangkali minda asyik memikirkan cuaca sejuk.


Sedang aku berjalan ke masjid berdekatan, ada satu sosok tubuh yang berlari-lari anak menuju ke arahku dari belakang, badannya sasa. Tidak jelas raut wajahnya kerana malam yang gelap. Mungkin juga budaya orang kat sini suka berjogging waktu-waktu sebegini.

Aku berpaling sedikit ke belakang, memerhatikannya di hujung mata. Memang sah dia sedang mengejar aku, naluriku berkata begitu.
“Takkan dia lari ke arah aku kot, aku mana sempat buat kawan lagi kat sini.. YaAllah, aku baru je kat sini, sehelai sepinggang, janganlah Kau timpakan ujian berat, duit aku ada beberapa pound je dalam wallet ni”

Lalu aku berpaling dan teruskan perjalanan. 
Bulu roma mula naik..
Perasaan bimbang semakin menguasai, 
berdebar makin rancak apabila bunyi tapak kaki semakin menghampiri.
Nak lari ke tak nak... nak lari ke tak nak..

Tangannya mencapai bahuku sebaik sahaja aku mengambil keputusan untuk berlari, membuatkan aku terhenti.
“Maafkan saya, awak nak ke kelas gusti jugak ke? Budak baru?”

Gusti apabenda pulak ni.. 
Kebetulan aku menggalas beg yang seakan-akan beg pakaian sukan, mungkin itu menjadi asbab pertanyaan. Aku berkerut keliru, pucat  sambil mengukir senyuman kelat. Lalu aku menjawab,
“Oh tak tak.. saya menuju ke masjid ni.. baru seminggu saya ada di London ni”

“Oh yeke? Jomlah jalan sama-sama, saya pun nak ke masjid”

Lalu aku berjalan dengannya sambil bertukar-tukar cerita.

..

..

“Eh... kejap..  Tadi dia kata nak ke kelas gusti? Ni kenapa tiba-tiba kata nak pegi masjid pulak?” 

Aku kembali risau, bermonolog dalaman.
Tingginya lebih kurang 2 meter, aku pulak standard melayu, 172cm, kalau apa-apa berlaku, kekuatan fizikalnya pastinya lebih dari aku. Kesilapan besar bila aku katakan yang aku baru seminggu di London, ini pastinya menjadi berita baik untuk para peniat jahat.

Sejujurnya.. dalam keadaan sunyi dan gelap sebegitu, otakku secara automatik telah ter-trigger kepada ‘killing-to-save-my-life-mode’, apa nak jadi pun jadilah, serious. 
Tapi entah macam mana, mulutku terasa gatal mahu bertanya soalan..
“Awak muslim jugak ke?” “Muslim? Oh takk..”  jawabnya sambil ketawa kecil.

Huh sudah.. Ni confirm penyamun tarbus ni..
Aku semakin menggelabah, 
mula menggengam penumbuk dalam jacket tebal, menunggu masa nak lepaskan ke perutnya jika apa-apa berlaku. 
Sedih juga kalau dia berjaya rompak aku, phone pun dah pakai 4 tahun, duit ada 2-3 pound je.
Aku cuba perhatikan dan teliti wajahnya betul-betul bila kami berjalan di bawah lampu, senang nak lukis tunjuk kat polis nanti.

Pusing.. campak beg ke tepi.. tumbuk.. tendang 'bahagian kelemahan lelaki'.. angkat beg balik.. pastu lari sekuat hati.. 

Itulah cadangan aku untuk selamatkan diri.. Cuma aku perlukan satu lagi bukti yang betul-betul yakinkan aku yang manusia ni memang berniat jahat, lalu aku akan buat seperti yang dirancang.

Sedang sibuk otakku memikirkan modus operandi untuk melarikan diri, tanpa disedari, dah sampai pun ke masjid yang dituju dari tadi.. erkk..



Kami berdua berdiri di depan satu-satunya pintu masjid.

Aku bajet-bajet tenang, sambil mata menjeling ke arahnya.
Penumbuk dalam jacket masih tersedia.

Dua-dua berdiri, tak bercakap apa-apa.


..


..

Awak nak berdiri kat situ je ke? Boleh tahan sejuk?” 

katanya sambil berpaling ke arahku.

Aku terlompat sedikit menjauhinya kerana terkejut, seakan-akan membuka langkah silat, walhal seumur hidup tak pernah belajar silat.

Dia berjalan perlahan menuju ke arah pintu masjid dan aku pula masih dalam posisi silat yang tersangat awkward. Keningnya terangkat sedikit, seakan-akan kepelikan melihat gerakan 'seni' aku.

Sebaik sahaja memulas tombol pintu, dia mempelawaku untuk melangkah masuk dahulu. Aku semakin keliru, terlampau banyak fakta yang perlu aku hadam dan jadikan konklusi positif. 
Kali ini aku yakin yang dia orang baik, lalu aku melangkah masuk dulu ke dalam masjid..


GEDEBUM!!


Aku terlompat keluar semula dari masjid kerana ada seorang lelaki tersembam di hadapan pintu masjid. 
Apa benda pulak ni.. Aku bertambah keliru.. ni betul ke masjid ni.. apa yang aku lalui ni.. Ya Allah terseksanya minda..

Lelaki yang terjatuh tadi bingkas bangun dan berlari ke arah seorang lagi lelaki yang juga berada di dalam masjid.
Mereka mula bertumbuk.. YA! BERTUMBUK..

Aku dah mula rasa nak lari balik rumah.. keliru.. 
Tapi mindaku menyuruh masuk dulu, mungkin Allah nak tunjuk sesuatu.


Aku masuk..

Pandang ke kiri, pandang ke kanan..

Masjid ini lebih luas dari jangkaan, kecik dari luar, luas di dalam. Di sebelah kanan ada ruang solat berkarpet macam masjid-masjid di Malaysia cuma ceilingnya rendah dan terdapat beberapa halaqah muslim-muslim tempatan. Maju ke hadapan lebih kurang 20 meter lagi terdapat ruang solat utama dan mimbar, di situ ceilingnya agak tinggi.

Di sebelah kiri pula..
Ada sekumpulan lelaki sedang bergusti..
Lebih mengelirukan lagi, ianya campuran muslim dan non-muslim.
Mungkin didikan suasana di Malaysia membuatkan aku tak senang duduk melihat keadaan seperti ini. Almaklumlah, tengok lambang salib pun orang melayu boleh tergoyah iman.


Aku berjalan sedikit ke hadapan menuju ke ruang utama solat. Memandangkan solat jemaah akan mula 30-40 minit lagi, aku mengambil tempat berhampiran dengan mereka yang sedang bergusti tadi. 

Selepas solat sunat, aku berfikir sambil memerhati.. 
Ingat balik apa yang aku pelajari selama ini.. jangan biar budaya kebiasaan di kampung halaman menguasai, buka minda..


..................

Teringat akan sirah Rasulullah saw.

Diringkaskan sirah, 
ada seorang lelaki bernama Tsumamah bin Utsal Al-Hanafi yang merupakan ketua Bani Hanifah, raja yang menguasai ‘jajahan’ atau ‘negara’ yang bernama Yamamah.

Tsumamah bin Utsal pernah berniat untuk membunuh Rasulullah saw namun dihalang bapa saudaranya atas alasan tidak mendatangkan keuntungan. Namun begitu, Tsumamah tak akan melepaskan peluang untuk bunuh sahabat-sahabat Rasulullah saw jika ada peluang. Kejahatan Tsumamah ni dibuktikan apabila Rasulullah mengistiharkan darahnya halal.. dengan erti kata lain, beliau halal dibunuh kerana mengancam kaum muslimin.

Dipendekkan cerita lagi, 
Tsumamah ditangkap oleh para sahabat ketika beliau dalam perjalanan ke Makkah. Yang menariknya, para sahabat tak kenal yang tawanan mereka itu ialah Tsumamah bin Utsal.. ayahnda kawasan.. Wanted, dead or alive.. 
Maka beliau dibawa kepada Rasulullah saw.

Sebaik sahaja melihat muka tawanan, Rasulullah saw kenal itu ialah Tsumamah bin Utsal Al-Hanafi yang wanted selama ini. Rasulullah saw memberinya layanan yang baik dan menjadikannya tawanan di dalam masjid.. ya.. di dalam masjid..

Dengan ‘peluang’ ditahan di dalam masjid yang Rasulullah saw berikan ini, Tsumamah dapat memerhatikan kegiatan muslim di dalam masjid. Tsumamah tengok para muslim solat berjemaah, tengok mereka berhalaqah dengan Rasulullah saw, tengok mereka beramah mesra sesama para sahabat, dan lain-lain.

Dipendekkan cerita lagi, 
Rasulullah saw membebaskan Tsumamah dan beberapa tawanan lagi selepas beberapa hari ditahan. Dalam perjalanan balik ke kampung halaman, Tsumamah bin Utsal patah balik untuk berjumpa Rasulullah. Beliau kemudiannya mengucapkan dua kalimah syahadah dan berjanji taat setia di hadapan Rasulullah saw, lalu menjadi salah seorang sahabat-sahabat Rasulullah saw yang digeruni..

Panjang lagi cerita Tsumamah Bin Utsal Al-Hanafi.. tapi cukuplah cerita beliau setakat ini buat artikel kali ini..
Happy ending bukan?


............................

Aku kembali tersenyum melihat mereka yang sedang bergusti tadi. Mereka bukan sahaja dapat belajar bergusti, malah dapat peluang melihat keindahan islam itu sendiri.
Dapat dengar tazkirah,
Dapat beramah mesra dengan orang yang baik-baik,
dan yang paling penting, mereka boleh bertanya berkenaan islam pada para ustaz.

Kita kata islam itu indah tapi tak pernah tunjuk,
Seakan-akan ada rahsia dalam masjid kita..
Walhal dalam mazhab Al-Imam As-Syafie, non-muslim dibenarkan masuk ke dalam masjid, cuma dengan syarat menghormati rumah Allah tersebut.

Kebanyakan masjid di kampung halaman aku (tak sama dengan tempat korang.. dirahsiakan atas faktor-faktor keselamatan) melarang non-muslim masuk ke dalam masjid. Sampai jadi isu yang besar. Maka tersekatlah satu cabang kepada non-muslim untuk melihat keindahan islam lalau disuluh cahaya hidayah. 
Ntah-ntah mereka duk pikir masjid ni penuh dengan bom.. kerana muslim kan sangat popular dengan bom..


ALLAAAAAAHUAKBAR.. ALLAAAAAAHUAKBAR..


Iqamat kedengaran dari ruang utama solat..
Aku pun berdiri..
Bergerak ke ruang solat utama.. bersedia untuk solat Isyak..


#catatanPelukisJalanan

8 ulasan:

  1. alhamdulillah.. faham sangat apa yang nak disampaikan,
    mohon teme buat lagi siri2 cerita pengalaman macamni sambil menyampaikan ilmu pada pembaca.

    kadang2 cam tak caya teme ni budak architecture =.="

    BalasPadam
    Balasan
    1. tahu takpa.

      mohon share ye teme?
      moga kita sama2 dapat pahala sampaikan ilmu.
      jalan cerita pun lawak. hahahahaha

      Padam
  2. yang org bersama tadi tu ke yg bergusti??

    BalasPadam
    Balasan
    1. org yg bersama tu pun ahli gusti rasanya.. zaman rasulullah pun ada org bergusti dlm masjid.

      Padam
  3. Teme sekolah apa ye dulu? Maahad?

    BalasPadam
  4. tak pernah bosan baca teme punya blog. keep it up!

    BalasPadam
  5. dkt Malaysia ad ehh masjid mcm tu ?

    BalasPadam

Hai. It's me, Teme. I'm sorry if you have to go through word verification before posting comment(s). I received tonnes of spam comments lately. I had to turn the word verification on 😕. I'm sorry. Jangan jemu untuk komen tau!