nuffnang

Teme's GANG

Kenapa aku berhenti jadi Pendakwah..

Cerita ini dari point of view Teme Abdullah. Jika timbul rasa tidak setuju, itu normal, kita dalam negara demokrasi.


Begini,
Ketika aku masih belasan tahun dulu, semangat aku berkobar-kobar nak jadi pendakwah. Rakan-rakan sebaya boleh dikatakan rata-ratanya nak kejar title Doctor, IR, Architect, Prof, Dato, malah ada yang nak jadi Datin Seri. Ehhh.. Tapi aku pelik sikit, aku nak sangat ada title 'ustaz'. Apa-apa pun jadi, aku nak jadi ustaz. Pelik..

Ketika sekolah menengah,
Aku mula baca buku-buku yang 'pelik'. Aku ingat lagi waktu itu, novel Harry Potter tengah trending. Tapi aku, satu novel Harry Potter pun aku tak pernah baca, aku lebih berminat nak baca satu buku yang aku baru kenal ketika itu, Rahiq Makhtum. Memang bosan la hidup aku kalau orang nampak. Tapi aku terasa nikmat. Banyak juga kitab terjemahan dari bahasa arab yang aku baca, cuma ketika itu belum lagi berguru secara face to face. Sungguh, aku ini seorang rakan sebaya yang sangat bosan, janganlah ajak aku borak pasal Harry Potter, memang aku tak tahu lebih dari nama-nama watak utama sahaja.

Kawan-kawan sibuk baca manga (komik jepun),
Aku pula sibuk mentelaah konspirasi dajjal. Freemasons, illuminati, ahhh.. Semua tu makanan jiwa aku masa tingkatan 3. Aku nampak semua tak kena, itu tak kena, ini tak kena, semua tak islamic! Semua ini menguatkan lagi matlamat aku untuk jadi ustaz.

Usai tingkatan 5, habis SPM,
Aku tekad, aku perdalam ilmu agama. Oleh kerana ketika itu aku merupakan pelajar tajaan yang sedang menjalani persediaan untuk ke United Kingdom, aku punyai kekangan untuk belajar agama secara formal dan tubi. Bila hujung minggu je mesti aku hilang dari kolej persediaan. Kalau orang tanya, aku jawab "aku balik rumah". Walhal aku cari ustaz, aku cari pusat pengajian secara tak formal kerana semangat mencari ilmu ketika itu. Perancangan aku, aku nak buat 2 ijazah sekaligus, architecture & usul fiqh. Semangat tak semangat lah kan.

Aku mula menulis blog berunsur islamik seawal 2011. Dalam keadaan internet tak laju, unifi takda, broadband slow macam siput, facebook baru nak hidup, dan mamak belum ada wifi, alhamdulillah aku berjaya menarik perhatian ramai pembaca. Blog apa? Blog inilah, yang korang sedang baca ni. Bukan nak kata aku hebat, baca kasi habis dulu.

Bilangan pembaca makin naik,
Sejujurnya aku mula rasa diri aku ‘macam hebat’.
Itu haram! Ini haram! Sesuka hati aku keluarkan fatwa. Geng-geng yang kononnya 'tak islamic' lansung aku tak pandang. Aku hanya berkawan dengan geng-geng surau, geng-geng ceramah, geng-geng duha dan lain-lain golongan yang luarannya kelihatan baik. Judgemental.. ya.. ketika itu aku sangat judgemental..

Kononnya nak menyumbang kepada agama,
Aku mula terfikir nak terbitkan buku sendiri macam pakar-pakar motivati terkenal, mula terfikir nak jadi penceramah motivasi bebas lah, mula terfikir nak jadi pelukis komik dakwah lah. Boleh jana pendapatan sampingan. Boleh bagi talk keliling dunia, walhal ilmu tak banyak mana. Tauliah pun takda. Aku nak berhenti jadi anonymous, biarlah orang kenal aku.



Dan aku tersedar sesuatu,

Dari kesedaran ini, aku berhenti menulis buat tempoh yang amat lama.
Menjauhi dunia dakwah di alam maya, memberi tempoh khalwat untuk aku muhasabah diri. Aku padam segala poster dakwah dari page Teme, instagram Teme, dan Twitter Teme. (tindakan ini kurang bijak sebenarnya, kerana ketika itu aku terlampau takut yang diri aku semakin mengejar popularity atas alasan islam, bukan mengejar syurga). Memberi ruang untuk pembaca-pembaca 'lari' dari blog temerity dan penulisnya sekali. Kenapa? Kerana satu perkara. Nafsu nakal aku mula mempengaruhi otak aku untuk peroleh wang dan kemahsyuran dari dakwah.

Aku menyendiri,
Bersembunyi dari menjadi Teme Abdullah,
Cuba mencari erti yang sebenar. 
Adakah aku ingin menyumbang kepada islam, atau ingin mengambil kesempatan meraih keuntungan dan mengisi periuk nasi dengan beralasankan dakwah? Aku sedar yang perkara ini perlu diubah, lalu aku tuntut ilmu dari pelbagai punca, berkawan mahupun dengan orang gila!

Aku minta nasihat ibu tercinta.
Dari situ, aku fokus pada akademik, fokus pada cita-cita menjadi seorang arkitek. Aku pernah berniat nak berhenti belajar 'bidang keduniaan' ini, kini aku teruskan belajar ‘ilmu dunia’ ini untuk menjaga diri aku dari mengikut nafsu. Kenapa aku kata ianya untuk menjaga diri aku dari mengikut nafsu? Baca dulu.

Alhamdulillah,
Akhirnya aku ambil keputusan untuk terima tawaran menyambung pelajaran di London. Perancangannya, aku perlu menjadi professional dalam satu bidang selain dakwah, apabila aku ada professional qualification yang melayakkan aku mendapat professional career, barulah aku kembali terjun semula ke medan dakwah meluas.

Kenapa?

Kerana manusia perlukan sumber pendapatan untuk terus hidup. Khulafa Ar-Rashidin dahulu pun menjalankan perniagaan walaupun memegang jawatan khalifah untuk mengelakkan mereka 'cari makan' dari jawatan khalifah tersebut. Aku cuba contohi, aku wujudkan satu cabang untuk aku raih pendapatan tanpa melibatkan dakwah. Aku memilih untuk menjadi seorang arkitek, seorang yang professional dalam seni bina. Tidak rugi menjadi professional, kerana kelak ummah perlukan kemahiran pakar. Di samping itu, aku jalankan business kecil-kecilan, jual lukisan, buat tshirt, malah busking di tepi jalan. Semua ini untuk ‘menjaga’ diri aku daripada mengikut nafsu, daripada menyelewengkan nama dakwah.

Kini,
Seperti menjadi trending,
Semua nak jadi pendakwah,
Ramai nak jadi public figure islamik. Ilmu tak ada, tapi sembang kencang macam ada ilmu 7 petala. Itulah sampai keluar hukum pra-matang dari pendakwah maya muda. Imam Abu Hanifah, mazhabnya paling meluas digunakan oleh ummah islam sedunia. Beliau menuntut ilmu agama selama 18 tahun, bukan mengeluarkan fatwa ketika umurnya 18 tahun. Sebelum menjadi alim dalam ilmu agama, beliau merupakan seorang ahli perniagaan. Perniagaannya tidak 'dilariskan' dengan jenama dakwah dan ilmu agamanya.

Semua ini mengingatkan aku pada diri aku dulu,
Ada yang sesuka hati dengan umumnya mengatakan haram bergambar berdua dengan bukan mahram berlainan jantina. Perrgh.. Umum sangat hukum ni. Aku tak bantah fatwa ini jika ia adil. Ia perlu diperjelaskan & diperincikan lagi sheikh, fatwa anda ini yang menimbulkan fitnah pada islam! Adakah bergambar berdua dengan guru berlainan jantina yang jarak umur hampir 30 tahun pun haram dan mengundang fitnah? Ini barah dalam masyarakat.

Ada yang mengatakan cinta haram!
Ada juga yang seolah-olah memaksa para pemuda untuk berkahwin sedangkan masih tidak jatuh hukum wajib kahwin pada pemuda tersebut. Kalau anda seorang yang tidak boleh mengawal nafsu & perlu kawin, jangan paksa masyarakat untuk kawin. Boleh sangat jika kita nak menggalakkan para pemuda untuk nikah awal, tapi jangan menekan. Tidak semua pemuda dalam keadaan telah mampu secara emosi & kewangan lagi. Jangan menekan pemuda yang sedang menuntut ilmu. Aku taknak tengok penceraian banyak berlaku dalam generasi aku.

Begitu juga dengan hukum 'crush haram' yang kini popular,
Aku kurang pasti dari mana sumber asal 'fatwa' ini,
Ustaz atau sesiapa sahaja yang mengeluarkan hukum ini perlu bezakan maksud crush & fanaticism.. Rujuk kamus, bergaul dengan ‘native speaker of english’, cari apa maksud 'crush' yang sebenar, bukan buat macam perkataan kita sendiri. Susah kalau 'para alim' pakat haramkan fitrah secara umum begini, pengunaan bahasa mestilah betul. Dengan rendah diri aku katakan, ini perlu dihentikan.
Aku tak 'menyerang' individu.
Aku menyuarakan kurang selesa dengan definisi 'crush' yang sebegitu.
Kerana menurut pemahaman aku, erti 'crush' bukan seperti itu.

Ummah keliru sheikh..
Keliru..
Mereka nampak islam ini susah yang teramat.
Anda pula menikmati hasil populariti dari dakwah,
Hasil popularity dari 'fatwa keras' anda,
Sambil memekik mengatakan jalan dakwah ini tidak dibentang karpet merah dan kononnya penuh duri,
Walhal anda bukan sahaja berjalan di atas karpet merah, malah karpet anda sutera keemasan!
Popularity & harta itu alat. Bukan perkara yang dikejar.

Ini kritikan social. bukan kutukan social,
Dan kalau dah namanya kritikan, ianya terhasil daripada perasaan risau, bukan benci..
Artikel ini umum..

Jenama ‘agama’ kini dijadikan pelaris peniagaan.
Jual buku motivasi, diletakkan jenama islam agar buku itu laris. 
Jual air pun diletakkan jenama islam, kononnya air tersebut telah dijampi dan boleh dijual dengan harga yang mahal. Begitu murah islam dijual merata-rata. Bukanlah salah menjampi ayat-ayat suci pada air, tapi kalau ianya wajar dijadikan sumber pendapatan, aku ingat nak cadangkan supaya syarikat bekalan air bawa pelajar-pelajar tahfiz membaca al-quran di sekeliling empangan. Maka bolehlah harga air paip yang disalurkan ke rumah-rumah dinaikkan dan boleh bantu ekonomi negara. Perkara ini aneh, lagi mengelirukan, terutamanya kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan islam. Orang yang tidak faham tentang islam akan mentertawakan agama Allah ini.

Matlamat utama jihad ialah untuk menegakkan nama Allah. Tetapi, jika dakwah kita menambah kesukaran dan menyampah dalam kalangan masyarakat untuk kembali kepada islam, terus terang aku katakan.... Itu bukan jihad.

Aku harap diri aku sendiri, dan kita semua belajar betul-betul. Dengan kemahiran yang kita ada, kita boleh menyumbang kepada islam.

Tidak,
Aku tidak menyuruh kalian berhenti berdakwah sebelum ada 'secure job'. Aku nasihatkan kalian berhenti gunakan dakwah sebagai 'mandrem' dan pelaris untuk kepentingan diri sendiri, untuk raih popularity, dan meraut keuntungan duniawi. 

Kerana aku bimbang, semakin ramai yang bercita-cita nak jadi pendakwah sebab nak buat duit.
Biarlah kita yang menyumbang kepada islam, jangan pula kita mengambil kesempatan atas sumbangan islam kepada kita.

Dakwah bukan plan B untuk mereka yang malas dan gagal dalam akademik,
Bukan juga plan B untuk mereka yang gagal mencari pendapatan melalui cara lain.
Dakwah ini pertukaran pahala Allah untuk kita.

*tarik nafas panjang*




Setelah banyak merantau,
Setelah banyak kenal manusia dari serata dunia,
Setelah  bergaul dengan non-muslim di negara yang islam itu asing bagi mereka,
Setelah banyak sumber ilmu yang dah aku jadikan punca, aku menjadi semakin jahil dalam agama, semakin merasakan diri aku perlu tunduk.

Kini aku sedar,
Dakwah itu bukanlah hanya ceramah merata-rata,
Bukanlah pertandingan siapa yang paling hebat menyentap,
Bukanlah juga pertandingan siapa yang paling hebat mengeluarkan hukum yang paling pelik dan susah,
Bukan semata-mata usrah,
Bukan semata-mata keluar daurah, perang, dan menulis buku.

Dakwah itu bermula dari akhlak kita.
Hikmah kita dengan orang sekeliling kita. Bukan pendakwah sejati kalau keluarga sendiri menjauhkan diri dari kita, kerana islam itu mendekatkan, bukan memecahkan.

Bukan pendakwah sejati kalau kawan-kawan kita benci kita. Memang kita tak patut utamakan pandangan manusia. Memang bukan masalah kita kalau ada orang benci kita, maybe hati dia sakit. Tapi kalau dah ramai sangat tak selesa dengan kita, ramai sangat tegur cara kita, paham-pahamlah nak berubah, mungkin itu teguran lembut Allah untuk kita.

Jika cemerlang dakwah, maka orang sekeliling (terutama yang rapat) akan selesa dengan peribadi kita, kita akan menabur wangi pada agama,

Dakwah itu bukanlah bersama usrah semata-mata,
Jika kita bersama mereka yang kononnya 'baik-baik' sahaja, siapa yang akan membimbing dan memberi kesedaran kepada yang jauh dari agama?

Cakap banyak pun tak guna,
Berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum aku kembali ke bumi British untuk menyambung semester baru,
Aku bertanggungjawab atas apa yang aku tulis, tapi aku tak bertanggungjawab atas kefahaman kalian pada penulisan aku.
Nasihat aku satu je wahai sahabat-sahabat sebaya sekalian,
Nak jadi pendakwah sepenuh masa?

Get a job first!!


HOT POST!!